Assalamualaikum,

Segala ibadah saya di Madinah, semuanya sudah dirancang sejak di Malaysia lagi. Ini penting. Jika tidak, saya tidak akan mempunyai perancangan yang tersusun apabila tiba di bumi Madinah.

Sejak di Malaysia, saya sudah mempunyai 'target' apa yang perlu dilakukan apabila berada di Malaysia. Semua 'target' ini dibuat berdasarkan buku Prof Kamil, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman dan juga hasil pengalaman saya menunaikan umrah yang lepas lepas.

Pokoknya, saya mahu lakukan yang TERBAIK. Dan lakukannya, SEMATA MATA KERANA ALLAH. SEMATA MATA KERANA ALLAH. Itu matlamat saya. Saya mahu Haji yang saya lakukan dapat MERUBAH SEMPADAN IMAN saya.

Masa 46 hari sepanjang berada di Tanah Suci perlu digunakan sebaiknya, supaya apabila pulang ke Malaysia nanti. Saya boleh menjadi INSAN YANG LEBIH BERTAKWA. Mohd Firdaus dan Kam Maria mesti berbeza apabila pulang nanti, supaya 'title' Haji dan Hajjah yang dibawa tidak 'mencemarkan' status itu sendiri.

Sasarannya, saya mesti menjadi contoh terbaik buat anak saya. Saya mesti menjadi contoh terbaik untuk keluarga saya. Saya mesti menjadi contoh terbaik untuk masyarakat saya. Saya mesti menjadi contoh terbaik untuk sahabat sahabat saya. Pokok pangkalnya, SAYA MESTI MENJADI CONTOH TERBAIK.

Bukan mudah untuk berubah. Tetapi Allah memberi peluang kepada saya. Allah menjemput saya menunaikan haji pada usia yang amat muda. 46 hari yang bakal dilalui mesti digunakan sebaiknya. Dan saya tidak mungkin boleh melakukan amalan yang terbaik tanpa perancangan yang rapi untuk beribadah di sana.

PERANCANGAN IBADAH DI MADINAH

"Ya Allah, aku takut untuk menulis ya Allah. Aku takut sekiranya aku berlaku riya' dengan apa yang telah aku lakukan. Sekiranya ia berlaku, ia bukan di atas kemahuan ku. Tetapi, ia berlaku di atas kejahilan aku. Ampunkan aku ya Allah. Terimalah amal ibadah ku"

Dalam ibadah. Inilah yang saya takutkan. Saya takut sekiranya terdetik dilubuk hati saya untuk berasa riya' dengan apa yang sudah saya lakukan di Tanah Suci. (Nauzubillah). Sekiranya ia berlaku, habislah pahala ibadah saya di sana. Tetapi, sekiranya saya tidak tulis, bagaimana para pembaca hendak mengetahui apa yang perlu dilakukan disana apabila menunaikan haji nanti.

"Ya Allah, aku lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Ikhlaskanlah hatiku menulis agar aku dijauhkan dari perasaan riya' dan bongkak"

Apa yang saya tulis adalah apa yang saya rancangkan. Dan saya sedaya upaya telah berusaha untuk melaksanakan apa yang dirancang. Ini tidak bermakna saya melakukan kesemuanya.

1) Saya mesti berjumpa dengan Prof Kamil. Saya mahu beliau memberi tazkirah kepada saya secara khusus. Saya nak dengar sendiri pengalaman haji beliau yang telah merubah kehidupan beliau secara total. Kalau boleh, saya nak rasa apa yang Prof Kamil rasa sepanjang menunaikan haji ini. Pastinya, banyak lagi rahsia yang perlu saya pelajari dari beliau.

2) Saya mesti melakukan Qiamullail. Setiap malam. Bangun seawal jam 1.30 pagi dan berada di Masjid Nabawi pada pukul 2.00 pagi. Setiap hari. Ya, setiap hari.

3) Saya mesti habis menghafaz satu juzuk Al-Quran, iaitu Juzuk 30 sepanjang saya berada di sana Madinah dan Mekah. Mesti dihabiskan dalam tempoh 46 hari itu.

4) Apabila bersolat di masjid, saya mesti berada di saf yang terkehadapan. Sasarannya, 10 saf pertama.

5) Selepas menunaikan solat fardhu, saya mesti menziarahi Makam Rasulullah sebagai tanda cinta dan kasih sayang saya kepada baginda.

6) Saya mesti berusaha untuk masuk bersolat dan berdoa di Raudhah setiap hari. Walaupun orang ramai.

7) Saya mesti berusaha untuk mengangkat jenazah ke perkuburan Baqi selepas solat jenazah.

8) Perancangan harian. Bangun seawal 1.30 pagi, berada di Masjid pada pukul 2.00 pagi. Pulang ke Hotel pukul 6 pagi. Bersarapan dan tidur. Kembali ke Masjid pada pukul 10.00 pagi. Pulang selepas Solat Zuhur pada pukul 1.00 petang untuk makan dan tidur. Kembali ke Masjid pada pukul 3.00 petang dan balik selepas Solat Isyak pada pukul 8 malam. Makan dan tidur sebelum pukul 9.00 malam.

Bila dilihatkan apa yang nak dibuat, memang jadual kehidupan saya di Madinah padat. Tetapi, hakikatnya, saya tidak dapat melakukan kesemuanya. Kerana, untuk melakukan sesuatu yang dirancang, saya terpaksa mengorbankan sesuatu yang lain. Saya bersyukur, kerana saya ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan.

Dan yang penting, saya sesuaikan perancangan saya dengan realiti semasa pada waktu itu. Sekurang-kurangnya, saya sentiasa ada 'back up plan' dan masa saya sentiasa terisi apabila berada di Masjid. Alhamdulillah.

Di sini saya bukan hendak mendabik dada kata saya sudah buat segalanya di bumi Madinah. Apa yang ditulis hanyalah sekadar cadangan. Saya hanya manusia biasa. Dan saya sendiri merasakan masih banyak ruang untuk saya perbaiki jika saya diberi peluang sekali lagi berada di sana. Cuma, bagi diri saya, saya berasa puas.

Puas kerana saya memang sudah bersedia untuk beribadah di sana. Dan saya sudah melakukan yang terbaik setakat yang saya mampu. Alhamdulillah. Sekali lagi, terasa urusan dipermudahkan Allah. Sujud syukur saya kepada Nya.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top