Assalamualaikum,

Salah satu syarat yang ditetapkan oleh Tabung Haji untuk pergi menunaikan haji ialah jemaah perlu mengikuti Kursus Asas Haji Bersiri yang mereka anjurkan. Itulah yang dimaklumkan kepada saya semasa saya berdaftar dengan Pakej Swasta.

Kursus 17 minggu yang mengambil masa 4 bulan. Diadakan pada setiap hari Ahad, bermula jam 8.30 pagi hingga 11 pagi. Daerah Kerian, tempat tinggal saya saja dianjurkan di 3 buah masjid. Masjid Bagan Serai, Masjid Tanjung Piandang dan Masjid Parit Buntar. Bayaran yang dikenakan untuk kursus 17 minggu ini adalah RM60.

Terus terang saya katakan, tempoh 17 minggu satu tempoh yang panjang. Bagi mereka yang sibuk, akan mula mencari pelbagai alasan untuk tidak pergi ke kursus haji ini. Niatkan kerana Allah, ini pengorbanan pertama yang perlu kita lakukan. Setiap masa yang kita 'labur'kan adalah langkah untuk kita memperoleh haji yang mabrur. Sebab, Haji Mabrur bermula sebelum kita pergi lagi.

Pada peringkat awal, kefahaman saya mengenai haji amat terhad. Saya tahu secara basic tapi belum tahu secara detail. Jadi amat penting untuk saya faham bila pergi mengikuti kursus sebegini.

Wakil agen di Bagan Serai memaklumkan kepada saya, penceramah di Masjid Bagan Serai hebat. Disebabkan itu, untuk minggu pertama, saya mengikuti kursus di Masjid Bagan Serai. Walaupun Masjid itu jauh dari rumah saya berbanding Masjid Parit Buntar. Saya suka mendengar ceramah ceramah dari penceramah yang hebat bagi memudahkan pemahaman saya. Namun, apabila saya menghadiri kursus pada minggu yang pertama, saya rasa cara penceramah memberi penerangan tidak memenuhi kemahuan saya. Saya rasa agak sukar faham apa yang dibicarakan. Dari segi ilmu, memang penceramah ini hebat. Tapi dari segi penyampaian masih banyak ruang untuk diperbaiki.

Minggu kedua, saya berpindah ke Masjid Parit Buntar. Saya terpaksa mendaftar sekali lagi. Kali ini, wakil dari Tabung Haji membuat ucapan aluan. Beliau meminta para hadirin yang datang dari pelbagai latar belakang meninggalkan segala jawatan di luar masjid. Di dalam masjid, semua jemaah adalah sama dan cuba terima apa yang disampaikan oleh penceramah dengan hati yang terbuka.

Bagus. Satu nasihat yang bagus. Ini latihan pertama untuk bakal jemaah haji supaya sentiasa merasa rendah diri dan tidak terbawa bawa dengan jawatan kita apabila pergi ke Mekah nanti.

Di Masjid Parit Buntar, saya dapati cara penyampaian oleh penceramah lebih mudah difahami. Ceramah di sini disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Sulaiman. Imam Masjid Kampung Kedah.

Pada pandangan anda, sebelum anda menghadiri Kursus Asas Haji Bersiri ni, anda patut berjumpa dengan mereka yang sudah menunaikan haji dan minta mereka beri tunjuk ajar supaya anda sudah faham secara asas akan kerja kerja haji. Apabila anda faham secara asas, anda akan lebih mudah faham apa yang disampaikan oleh pihak penceramah.

Ustaz Sulaiman sedang menyampaikan ceramah berkaitan haji

Gambaran ceramah yang sedang dilangsungkan

Replika Kaabah untuk memudahkan pemahaman para jemaah

Antara jemaah yang hadir

Beberapa perkara yang nak dikongsi dengan para pembaca:

1) Pihak Tabung Haji mengatakan kursus ini wajib. Tetapi saya lihat ada sahaja jemaah yang pergi menunaikan haji tanpa menghadiri kursus ini.

2) Bagi saya, apa yang penting adalah kita pergi menunaikan haji dalam keadaan kita faham apa yang akan kita lakukan. Saya mencari ilmu haji dari pelbagai aspek, mendengar pelbagai ceramah, membaca pelbagai buku, berbincang dengan ramai orang mengenai haji, menghadiri kursus haji anjuran Tabung Haji. Semuanya saya lakukan, semata mata untuk memastikan saya faham apa yang akan saya lakukan ketika berada di sana nanti.

3) Itupun, apabila berada di Tanah Suci masih ada beberapa perkara haji yang saya hanya faham apabila berada di sana. Terasa ceteknya ilmu apabila pergi menunaikan haji.

4) Apabila menghadiri kursus haji, anda akan rasa kenapa benda yang sama diulang berkali kali. Kenapa cara penyampaian agak 'perlahan'. Dalam kes ini, anda perlu berlaku adil kerana mereka yang hadir terdiri dari orang tua. Jadi, penceramah perlu mengulang perkara perkara yang sama berulang ulang kali. Supaya semua jemaah faham.

5) Apabila pergi mengikuti ceramah haji, niatkan kerana Allah. Walaupun kita boleh bercakap lagi hebat dari penceramah, tanamkan rasa rendah diri dalam diri kita. Kutiplah semua ilmu sebanyak mungkin.

6) Pastikan anda pergi mengikuti kursus haji dalam keadaan anda ada kefahaman mengenai haji. Jika tidak, anda akan rasa 'blur' apabila penceramah bercerita. Kadang kala, saya faham apa yang disampaikan kerana saya sudah faham perkara itu. Kalau saya tidak faham, saya mungkin sukar nak faham apa yang cuba disampaikan.

7) Tahukah anda, walaupun para jemaah mengikuti kursus haji ini, Masya Allah. Terlalu ramai warga emas yang tidak faham mengenai haji ini. Ada yang pergi kursus selama 3 tahun, tetapi tidak faham secara keseluruhannya mengenai haji. Kesannya, mereka banyak melakukan kesalahan ketika berada di sana. Dan ini semestinya menjejaskan langkah kita memperoleh haji yang mabrur.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top