Assalamualaikum,

"Ya Allah, gerakkanlah hati kami untuk melakukan umrah sunat sebanyak mungkin. Ya Allah, gerakkanlah hati kami bagi membanyakkan amal ibadah di Masjidil Haram. Berikanlah perasaan kasih sayang, cinta dan keinginan untuk berada di sana. Ya Allah, mudahkanlah untuk kami melakukan ibadah tawaf, saie, bertahlul, bersembahyang dan membaca al quran di sana nanti."


Kalau anda perasan, doa inilah yang saya tulis dalam Travelog Haji Part 6. Doa Sebelum Menunaikan Haji. Salah satu doa yang saya baca sebelum saya pergi menunaikan haji. Doa yang saya baca berulang ulang kali. Memohon agar Allah menggerakkan hati saya untuk memperbanyakkan amal ibadah ketika berada di bumi Mekah.

Doa tanpa usaha, itu bukan caranya.

Bagi memastikan doa ini dimakbulkan Allah, kami sekeluarga memberi motivasi antara satu sama lain untuk memperbanyakkan Umrah sunat buat diri kami sendiri serta melakukan amal ibadah yang lain.

Alhamdulillah. Ada kalanya, kami pergi berempat. Adakalanya kami pergi bertiga. Adakalanya kami pergi berdua. Dan ada kalanya saya pergi seorang diri.

Jika tanya kenapa setiap kali bilangannya berubah. Jawapannya, bergantung kepada tahap kesihatan. Ada kalanya bapa mertua saya tidak sihat, ada kalanya emak mertua saya tidak sihat. Ada kalanya kedua dua tidak sihat. Ada kalanya, Maria pun tidak sihat. Dan Alhamdulillah. Saya sihat. Maka saya akan pergi seorang diri.

Sekadar berkongsi pengalaman, di Mekah sendiri terdapat beberapa tempat untuk para jemaah berniat bagi menunaikan Umrah Sunat. Tempat untuk kita berniat ini dinamakan Miqat. 3 tempat yang popular adalah Tanaim, Hudaibiyah dan Ja'ranah.

Majid Ja'ranah. Tempat Miqat terjauh bagi penduduk Mekah

Masjid Tanaim. Tempat Miqat terhampir bagi penduduk Mekah. Sekitar 7 km dari Masjidil Haram. Lihat van van sewa yang banyak terdapat di luar Masjid. Perjalanan sehala dari Tanaim ke Masjidil Haram adalah SR5 seorang.

Pihak Zahafiz ada membawa kami menziarahi kawasan kawasan bersejarah di sekitar Mekah. Dan setiap kali lawatan ini, kami akan di bawa ke tempat Miqat untuk melakukan Niat bagi Umrah Sunat.

Dah namapun Umrah Sunat, maka ia tidak wajib. Hanya mereka yang hendak melakukan Umrah Sunat sahaja yang akan melakukan umrah.

Pihak Zahafiz juga turut menyediakan bas secara percuma sekiranya kami mahu pergi menunaikan Umrah dengan berniat di Tanaim. Kami hanya perlu mendaftar nama kepada mereka sehari sebelum itu dan mereka akan menyediakan bas mengikut jumlah jemaah yang pergi menunaikan umrah.

Ada kalanya, saya turut pergi berniat mengerjakan umrah di Tanaim dengan menaiki teksi ataupun van sewa. Kadar sewa sebuah teksi untuk perjalanan pergi dan balik adalah sekitar SR40-SR50 untuk 3-5 orang. Manakala kadar sewa menaiki van sewa pula adalah SR5 untuk pergi dan SR5 untuk perjalanan pulang bagi setiap orang.

Satu peringatan yang ingin saya tekankan. Apabila menaiki teksi, pastikan jemaah lelaki yang naik dahulu ke dalam teksi dan kemudian baru jemaah wanita naik. Dan apabila turun teksi, pastikan jemaah wanita turun teksi dahulu kemudian baru jemaah lelaki turun. Nasihat ini nampak macam remeh. Tapi amat signifikan.

Ada kes dimana pemandu teksi melarikan jemaah wanita yang turun kemudian dari teksi. Dan sebolehnya, elaklah dari menaiki teksi sekiranya tiada jemaah lelaki yang turut serta. Janganlah membahayakan keselamatan kita semata mata hendak melakukan ibadah sunat ini.

Perjalanan dari Hotel ke Masjid Tanaim dan pulang semula ke hotel mengambil masa sekitar 1 jam - 1 jam setengah. Bergantung kepada keadaan trafik semasa anda pergi dan pulang.

Sekiranya saya hendak cepat, saya akan pergi ke Masjid Tanaim menaiki teksi. Dalam hal ini, saya tidak mahu 'berkira' kerana terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk keselesaan kami semua. Saya sanggup mengeluarkan SR40 untuk satu trip perjalanan pergi dan pulang. Jika untuk keselesaan. Duit yang sahabat handai sumbangkan kepada saya sekitar RM2500-RM3000 perlu saya gunakan sebaiknya di sana.

Setiap kali saya menggunakan duit duit sumbangan orang ramai ini, saya akan mendoakan buat mereka.

"Ya Allah, sesungguhnya ramai saudara dan sahabat ku di Malaysia yang memberi sumbangan kepada ku sebelum aku pergi menunaikan haji. Sekarang aku gunakan duit mereka ini untuk kebaikanku di sini. Aku mohon kepada Mu, Engkau murahkan rezeki mereka yang membantu ku dan Kau permudahkan urusan mereka di dunia dan di akhirat"


Hanya kiriman doa dapat saya lakukan buat mereka yang ikhlas menderma kepada saya sebelum saya datang menunaikan haji ini.

Pada hari hari awal saya berada di Mekah, saya mula mengkaji masa yang terbaik untuk saya pergi menunaikan umrah.

Jika masa itu ditetapkan oleh pihak Zahafiz. Saya tidak dapat berbuat apa. Saya terpaksa mengikut sahaja jadual bas yang mereka tetapkan.

Tetapi jika saya pergi sendiri untuk menunaikan Umrah, saya mencuba beberapa waktu antaranya selepas Subuh dan Selepas Asar. Mencari mana yang lebih sesuai dengan saya.

UMRAH SELEPAS SUBUH

Pada peringkat awal, saya pergi menunaikan Umrah selepas waktu Subuh. Selepas Solat Subuh di Masjid, saya akan balik ke Hotel untuk bersarapan dan bersiap sedia memakai ihram untuk menuju ke Masjid Tanaim untuk berniat ihram di sana.

Saya bertolak keluar dari hotel sekitar jam 7.00 pagi.

Apa yang saya perhatikan, sekiranya saya keluar dari hotel untuk menuju ke Tanaim pada pukul 7.00 pagi, perjalanan pergi dan pulang saya ke Tanaim akan mengambil masa yang panjang. Ini kerana van yang saya naiki terpaksa 'bertembung' dengan kesesakan warga Saudi yang ingin pergi kerja pada waktu itu.

Saya hanya dapat kembali ke Masjidil Haram sekitar jam 8.45 pagi.

Keluar dari hotel pada pukul 7.00 pagi sering menyebabkan saya tersangkut dalam trafik jam untuk ke Tanaim.

Ditambah pula sekarang ini musim haji. Memang jemaah dari negara negara lain turut mengambil peluang mengerjakan Umrah Sunat apabila berkelapangan.

Setibanya di Masjidil Haram, orang sudah ramai dan mengambil masa lebih untuk bertawaf dan saie. Waktu ini terlalu ramai orang sedang melakukan tawaf.

Rupa rupanya, waktu pagi ini merupakan waktu 'favourite' semua jemaah kerana tidak panas. Maka, bertambah sesaklah keadaan di jalan, di Tanaim dan di Masjidil Haram apabila mengerjakan Tawaf dan Saie.

Memandangkan waktu ini adalah waktu puncak, bilangan jemaah yang melakukan tawaf amat ramai. Dan tempoh untuk tawaf juga meningkat kepada 1 jam - 1 jam 15 minit untuk siap 7 pusingan. Dan Saie juga mengambil masa sekitar 1 jam untuk disempurnakan 7 pusingan. Maka saya hanya selesai mengerjakan umrah sekitar jam 11 pagi. Satu jangka masa yang agak panjang.

Yang menjadi masalahnya, waktu Zuhur di Masjidil Haram sekitar jam 12.00 tengah hari. Sedangkan umrah saya hanya selesai pada jam 11.00 pagi.

Selesai Umrah sekitar jam 11 pagi. Nak balik ke hotel pun tak berbaloi. Nak tunggu di Masjid terus pula terlalu penat. Akhirnya, kena rehat di Masjid juga.

Saya hendak balik ke hotel pun, masa dah terlalu singkat. Tak sempat nak berehat pun di hotel. Kesannya, saya terpaksa 'parking' di Masjid dahulu sementara menunggu waktu Zuhur. Sedangkan badan saya juga sudah kepenatan akibat terlalu banyak berjalan.

Kemudian, saya mengatur strategi lain.

Pada pengamatan saya, saya kena keluar ke Masjid Tanaim lebih awal dari orang lain. Saya memakai kain ihram untuk pergi menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram. Kemudian, sesudah selesai solat Subuh, saya akan terus pergi ke Tanaim menaiki van sewa. Saya hanya membawa sedikit bekal makanan untuk ke sana. Kebab berharga SR4 menjadi kegemaran saya.

Saya memakai ihram semasa ke Masjid bagi menunaikan Solat Subuh. Selesai Solat Subuh, saya terus mencari van sewa untuk ke Tanaim bagi menunaikan Umrah Sunat. Cara ini paling pantas kerana trafik masih kurang di jalan pada awal pagi.

Subhanallah. Strategi saya menjadi. Tempoh masa untuk pergi dan balik dari Masjidil Haram - Tanaim - Masjidil Haram hanya sekitar 50 minit. Sekitar jam 7 pagi saya sudah pun berada kembali di Masjidil Haram.

Dan apa yang saya perhatikan, pada waktu ini orang masih kurang di Kaabah. Ini pasti memudahkan saya untuk melakukan Tawaf dan Saie.

Ia terbukti kerana tempoh untuk saya mengerjakan Tawaf hanya sekitar 35-40 minit dan Saie mengambil masa sekitar 45 minit.

Maka, saya dapat menyelesaikan Umrah saya sekitar jam 8.45 pagi. Kesannya, saya dapat pulang ke hotel awal dan dapat tidur buat seketika sementara menanti masuk waktu Zuhur. Alhamdulillah.

Pada saya, ini pilihan terbaik yang saya ada.

UMRAH SELEPAS SOLAT ASAR

Ada kalanya, kami pergi menunaikan Umrah selepas Solat Asar. Semasa saya mengerjakan Umrah pada tahun 2010 (Sila Baca Travelog Umrah 2010 saya) , saya dan Maria lebih gemar menunaikan umrah pada waktu ini.

Rupa rupanya, perkara yang sama tidak berlaku pada musim Haji.

Jika semasa musim Umrah 2010, sekitar bulan April. Kami boleh keluar ke Tanaim selepas Solat Asar. Kami boleh kembali ke Masjidil Haram dan mengerjakan Tawaf sebelum masuk waktu Maghrib.

Maka kami boleh mengelak kesesakan orang ramai dan mencari ruang bersolat Maghrib di kawasan Saie. Selesai solat Maghrib, kami menyambung ibadah Saie kami dan umrah kami selesai sebelum masuk waktu Isyak. Ia perjalanan yang amat mudah pada waktu itu.

Pada musim Umrah dahulu, orang agak kurang di Masjidil Haram. Maka tidak sukar untuk kami melakukan ibadah Tawaf dan Saie. Kami boleh menyempurnakan Umrah sebelum masuk waktu Isyak pada Musim umrah dahulu.

Namun ia tidak berlaku pada waktu haji ini.

Apabila saya keluar ke Tanaim selepas solat Asar. Ia mengambil masa yang agak lama untuk pergi dan kembali ke Tanaim. Dan saya selalu terkandas di Masjidil Haram ketika tawaf semasa Solat Maghrib.

Apa masalahnya?

Yang menjadi masalahnya sekarang adalah Maria dan mak mertua saya. Sekitar 15 minit sebelum masuk waktu Maghrib, jemaah wanita perlu berhenti dari tawaf dan pergi ke ruang untuk jemaah wanita bersolat Maghrib.

Jemaah wanita perlu mengosongkan dataran Kaabah sekitar 15 minit sebelum waktu Solat. Agak sukar untuk mereka keluar dari kawasan ini kerana sudah dipenuhi oleh jemaah lelaki.

Pada waktu ini, teramat sukar untuk mereka keluar dari kawasan dataran Kaabah kerana terlalu padat dengan jemaah lelaki.

Itu masalah pertama buat mereka, masalah kedua adalah untuk mencari ruang solat buat mereka. Semua tempat sudah penuh pada waktu ini. Banyak kali juga mereka terpaksa bersolat di sebelah tong air zam zam. Bersolat dalam keadaan berhimpit dan teramat tidak selesa.

Saya pula langsung tidak mempunyai sebarang masalah. Sebagai jemaah lelaki, saya masih boleh meneruskan tawaf saya sehingga masuk waktu Maghrib dan terus bersolat di dataran Kaabah.

Namun, kami akan 'terpisah' buat sementara.

Kesannya, Maria dan Mak mertua saya terpaksa menyambung ibadah Tawaf mereka selepas solat Maghrib. Pada waktu ini pula, terlalu ramai jemaah yang melakukan Tawaf Sunat.

Subhanallah. Tempoh masa tawaf di luar waktu puncak sekitar 35-45 minit sekarang sudah menjadi 1 jam lebih buat mereka berdua.

Suasana di dataran Kaabah selepas solat Maghrib. Bukan mudah untuk tawaf pada ketika ini. Terutama buat jemaah wanita.

Selepas mereka habis tawaf, baru kami berjumpa kembali untuk mengerjakan Saie bersama.

Akibat terlewat, kami hanya boleh menghabiskan ibadah Saie kami selepas waktu Isyak. Ini bermakna kurang waktu rehat untuk kami.

Saya melihat ini dari dua perspektif.

Yang pertama, pada musim haji. Memang terlalu ramai jemaah di Masjidil Haram. Jadi, kita tidak boleh mengharapkan keselesaan di sana. Jika kita mahu yang terbaik. Kita pasti 'kurang selesa'. Terpaksa berhimpit dan berebut dengan orang ramai untuk berada di tempat yang terbaik.

Pada musim haji ini, jika hendak melakukan Umrah sunat. Pasti ia akan mengambil masa yang lebih lama berbanding Umrah sunat pada musim Umrah. Maka, janganlah kita tergopoh gapah hendak menyelesaikan ibadah ini. Lakukan dengan tenang dan tawadduk. Kerana setiap langkah kita akan diberikan pahala oleh Allah. Maka tiada apa yang perlu dikhuatirkan kerana kita pergi ke sana, MEMANG UNTUK BERIBADAH.

Janganlah sesekali kita memberi alasan tidak mahu melakukan sesuatu ibadah hanya kerana orang ramai. Pada waktu haji ini, orang memang sentiasa ramai. Tiada masa orang tidak ramai. Bak kata Prof Kamil, "Jangan takut dengan ramai orang, dan kalau ramai sekali pun. Ayuh!! Biar kita yang meramaikan golongan yang ramai itu."

Bila waktu tidak ramai semasa musim Haji? Ia memang sentiasa padat. Memang sentiasa ramai. Ayuh.. Biar kita yang meramaikannya.

Dari sudut yang lain, saya berpendapat kita perlu menyusun startegi yang terbaik dari segi masa supaya kita boleh melakukan ibadah yang optimum dan rehat yang mencukupi.

Misalnya, keluar ke Tanaim selepas solat Subuh adalah lebih baik berbanding keluar ke Tanaim pada pukul 7.00 pagi. Kita mungkin terpaksa memakai ihram semasa pergi menunaikan Solat Subuh, dan terpaksa bersarapan sendiri. Tetapi, sedikit kesusahan ini memberi kemudahan yang amat besar selepas itu. Saya dapat tidur dan berehat untuk mengumpul tenaga bagi ibadah ibadah saya yang seterusnya untuk hari itu.

Saya tidak pasti para pembaca dapat memahami atau tidak apa yang saya ceritakan ini. Tapi apa yang pasti jika anda belum pergi menunaikan umrah sebelum ini, pasti anda tak dapat nak gambarkan keadaan apa yang saya ceritakan untuk entri kali ini.

Kalau anda tidak faham dengan membaca sekali, bacalah dua kali. Jika tak faham dengan membaca dua kali. Bacalah tiga kali. Kalau masih tak faham. Buat buatlah faham. Insya Allah, anda hanya akan faham apabila anda pergi menunaikan haji atau umrah nanti. Semoga mereka yang membaca lebih memahami daripada saya yang menulis.

Wassalam.

* Saya mohon kepada anda untuk kongsikan dengan sahabat atau saudara mara anda mengenai perjalanan haji yang telah saya lalui ini. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat dan semoga ia menjadi 'pencen kubur' saya suatu hari nanti. 

* Anda juga bebas untuk copy & paste segala artikel berkaitan haji dalam blog ini di blog anda asalkan anda letakkan linknya di situ selagi ia tidak bertujuan komersial. Anda juga boleh print segala doa doa yang telah saya tulis di dalam blog ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin.

1 comments:

  1. terima kasih Hj Firdaus untuk panduan mengerjakan umrah sunat,semoga dengan panduan itu saya dapat melakukannya sebaik mungkin nanti In Shaa Allah.tahun ini saya dapat jemputan ke tanah suci.

    ReplyDelete

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top