Assalamualaikum,

"Tuan tuan dan puan puan, pihak Tabung Haji menasihatkan agar bakal bakal haji tidak membawa duit tunai dalam jumlah yang banyak. Tuan tuan boleh keluarkan duit ketika di Tanah Suci di bangunan Tabung Haji"

Inilah nasihat yang diberikan kepada kami ketika kursus Tabung Haji.

Nasihat yang sama diberikan kepada kami ketika di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Sejurus sebelum kami berlepas ke KLIA. Pihak Tabung Haji menekankan agar kami tidak membawa wang tunai yang banyak. Mereka mengatakan tiada had pengeluaran ketika di Mekah nanti.

Pada peringkat awal, saya bercadang untuk membawa wang tunai sekitar RM5000. Namun, atas nasihat pihak Tabung Haji, saya hanya membawa wang tunai sekitar RM1500 sahaja. Maria pula hanya membawa RM1000 tunai.

Sekiranya kami memerlukan lagi wang di Tanah Suci, kami akan keluarkan wang di bangunan Tabung Haji seperti yang disyorkan oleh mereka.

Ketika di Madinah, saya dan Maria sudah membelanjakan sekitar RM2000 untuk membeli barangan untuk di pos ke Malaysia. Ini bermakna baki wang saya dan Maria hanya tinggal sekitar RM500. Saya perlu membuat pengeluaran duit di Tabung Haji.

Di Madinah, bangunan Tabung Haji bagi urusan pengeluaran duit terletak bersebelahan dengan hotel saya. Hotel Tabung Haji ini ialah Hotel Al Haram. Kawan kawan yang sudah pergi mengeluarkan wang di situ memaklumkan terlalu ramai orang yang menunggu untuk mengeluarkan wang.

Mendengar masalah ini, saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan duit di Mekah sahaja. Saya tidak mahu membuang masa saya dengan beratur di pejabat Tabung Haji itu. Lebih baik masa itu saya gunakan untuk berehat agar saya dapat lebih beramal ibadah di Masjid.

Setiba di Mekah, mimpi ngeri saya bermula.

Wang saya hampir kehabisan. Mahu tidak mahu saya terpaksa pergi ke bangunan Tabung Haji untuk membuat pengeluaran wang. Apabila di tanya kepada para petugas, bangunan tabung haji yang terdekat untuk membuat pengeluaran wang adalah di Hotel Janadariah.

Saya tiada pilihan melainkan ke situ.

Subhanallah. Hotel Janadariah terletak agak jauh dari hotel saya. Sekitar 400m-500 meter dari hotel saya. Tetapi dalam keadaan mendaki bukit. Masya Allah.

Saya pun berjalan bersama Maria ke sana. Tujuan saya adalah untuk menemankan Maria untuk mengambil ubat di Farmasi Tabung Haji dan saya pula untuk membuat pengeluaran wang.

Setibanya di sana, saya terkejut melihat bilangan orang yang menunggu untuk mengambil duit di Tabung Haji. Masya Allah. Ramainya orang. Apabila saya mengambil nombor giliran, saya terkejut. Nombor saya sekitar 300 lebih dari nombor giliran sekarang. Berapa lama saya harus menunggu kalau macam ni. Apabila dilihat jam, saya boleh terlepas solat Zuhur di Masjidil Haram kalau mahu mengeluarkan duit ini.

Saya berputus asa. Dan bersembang dengan salah seorang jemaah haji yang juga menunggu di situ untuk membuat pengeluaran wang.

Pak cik ni tinggal di Hotel Janadariah itu juga. Hotel yang sama dengan bangunan Tabung Haji itu. Boleh dikatakan, Hotel Janadariah adalah pusat operasi bagi Tabung Haji di Mekah.

"Anak tinggal di hotel mana?" Pak cik bertanya kepada saya.

"Saya tinggal di Hotel Azeeb Mawaddah. Berdekatan dengan Hotel Dyar Inn."

"Oh!!! Dekatlah dengan Masjid kalau macam tu. Kami ni duduk di Hotel ni, jauh dari Masjid. Kena mendaki bukit pulak tu. Tak ramai yang boleh pergi menunaikan Solat berjemaah penuh di Masjidil Haram" Saya mendengar keluhan pak cik ini.

"Pak cik, orang yang menunggu untuk mengambil duit memang ramai macam ni ka hari hari?"

"Memang hari hari macam ni. Kalau anak nak cepat, nah ambil nombor pak cik ni. Pak cik duduk di hotel ni. Pak cik boleh datang lagi lain kali."

"Alhamdulillah". Pucuk dicita ulam mendatang.

Apabila saya lihat nombor pak cik ni, Subhanallah. Nombor dia pun lagi 200 lebih untuk ditunggu. Taklah jauh sangat dengan nombor saya.

Apabila ditanya, pak cik menceritakan tempoh menunggu sekitar 2 jam.

Dia turut menerangkan lagi. "Kita beratur panjang panjang macam ni. Kita boleh keluar SR500 sahaja sehari. Tak boleh keluar lebih"

Masya Allah.

Macam mana boleh jadi macam ni. Di Malaysia hari tu Tabung Haji kata saya boleh membuat pengeluaran wang tanpa had. Kalau macam ni, susah lah saya. Saya bercadang untuk mengeluarkan sekitar SR3000. Ini bermakna saya perlu datang beratur macam ni selama 6 hari.

"2 jam ni kira cepat la ni, kadang kadang 'server down'. Habis. Yang menunggu pun tak boleh keluarkan duit". Pak cik menceritakan lagi pengalamannya.

Bagi mereka yang tinggal di hotel itu masih ok. Mereka boleh ambil nombor giliran dan naik ke bilik mereka. Tetapi saya pula tiada tempat untuk menunggu melainkan terpaksa menunggu juga di situ.

Saya 'fade-up'. Saya tak mahu beratur lagi. Kalau saya masih menunggu. Pasti dan pasti saya akan terlepas solat Zuhur di Masjidil Haram nanti. Saya pulang ke hotel dan memikirkan jalan penyelesaiannya.

Alhamdulillah. Tiba tiba saya teringat yang cikgu saya di MRSM Taiping, Cikgu Khairul Anuar akan datang ke Mekah dalam masa 2 hari lagi. Saya menelefon dia dan meminta dia membawa untuk saya duit RM3500. Saya akan minta abang saya untuk 'bank in' kan duit ke akaun dia.

Alhamdulillah. Dia sedia membantu membawa duit tunai kepada saya dari Malaysia.

Bila saya selidik balik apa yang berlaku di Tabung Haji, saya mendapat makluman bahawa pihak Arab Saudi yang mengehadkan jumlah maksimum pengeluaran wang kepada SR500 sehari bagi setiap jemaah. Sebab itulah Tabung Haji terpaksa menghadkan kepada para jemaah.

Dan pihak Tabung Haji juga dalam proses untuk membuka 'cawangan' baru tempat pengeluaran wang di Hotel Shorouk. Berhampiran dengan hotel saya bagi mengatasi masalah jemaah terpaksa beratur panjang.

Dan setelah berbincang dengan pihak Kerajaan Arab Saudi, akhirnya mereka membenarkan kembali Tabung Haji memberi pengeluaran wang oleh para jemaah tanpa had. Ini pastinya memudahkan kami untuk mengeluarkan wang di sana.

Alhamdulillah. Kiranya adalah juga tindakan dari pihak Tabung Haji untuk menambah baik sistem yang ada.

Selain daripada pengeluaran wang, saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak Tabung Haji terutama semasa kami berlepas ke Madinah, perjalanan kami ke Mekah, Perjalanan Haji kami dan perjalanan pulang kami ke Malaysia yang diuruskan oleh pihak Tabung Haji.

Saya berdoa agar pihak Tabung Haji dapat mempertingkatkan lagi 'servis' kepada para jemaah pada tahun tahun akan datang. Semoga masalah yang berlaku pada tahun ini tidak berulang lagi pada tahun tahun hadapan.

Sekian. Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top