Assalamualaikum,

Alhamdulillah, sehingga kini saya sudahpun memperoleh Tahallul Thani. Saya sudah selesai bermalam di Mina pada 11 Zulhijjah. Selesai melontar di Jamrah Kubra. Selesai bercukur. Selesai Tawaf dan Saie.

Jika anda tanya saya. Adakah ia sukar? Alhamdulillah. Allah permudahkan segala urusan saya setakat ini. Tiada sebarang masalah.

Selesai Solat Isyak di Masjidil Haram pada 11 Zulhijjah. Kami perlu bergerak semula ke Mina ( Tempat Jamrah). Bagi melontar di ketiga tiga jamrah pada 11 Zulhijjah dan bermalam di Mina pada 12 Zulhijjah.

Jika diperhatikan, aktiviti haji saya yang seterusnya adalah melontar di ketiga tiga jamrah hari 11 Zulhijjah.

Selepas Solat Isyak, sekitar jam 9.30 malam. Kami semua berkumpul di lobi hotel. Ustaz Shamsudin ketua guru agama Zahafiz memberi penerangan kepada kami mengenai perjalanan yang akan kami tempuhi sebentar nanti.

Motifnya, kami akan berjalan secara berkumpulan menuju ke tempat melontar. Untuk melontar di ketiga tiga jamrah untuk hari 11 Zulhijjah.

Ustaz menekankan agar kami berhati hati melontar di Jamrah Kubra. Kami tidak boleh berjalan melebihi Jamrah Kubra. Kerana separuh dari Jamrah Kubra itu berada dalam kawasan Mekah. Sekiranya kami terlepas masuk ke kawasan itu, maka dikhuatiri kami tidak dikira Mabit di Mina pada 12 Zulhijjah.

Kami perlu tiba di Mina sebelum waktu tengah malam 12 Zulhijjah supaya kami dapat Mabit di Mina pada malam itu.

Selepas melontar di ketiga tiga jamrah, kami perlu bermalam di Mina untuk mendapat Mabit di Mina pada 12 Zulhijjah.

Selepas semua jemaah faham apa yang diterangkan. Kami mula bergerak ke Jamrah.

Laluan masuk untuk menuju ke Jamrah. Terowong ini terletak disebelah bahagian Bukit Marwah. Berdekatan dengan bangunan tempat Rasulullah dilahirkan.

Perjalanan melalui terowong ini membawa kami ke tempat jamrah.
Pemandangan di dalam terowong. Jika semalam perjalanan kami menurun bukit. Hari ini perjalanan 4.5km adalah mendaki bukit.

Lagi gambar pemandangan di dalam terowong. Dalam gambar ini adalah Tuan Haji Azmi Che Nazran. Banyak gambar dalam blog ini diambil dari facebook beliau.

Akibat terlalu banyak berjalan pada hari ini dan malam sebelumnya, kaki saya kekejangan. Masya Allah. Saya tak boleh berjalan dengan betul.

Alhamdulillah, entah macam mana saya teringat untuk masukkan minyak panas dalam beg sandang saya. Saya sapukan minyak panas di betis saya. Dan saya berdoa kepada Allah agar disembuhkan kaki saya yang kejang ini dengan segera.

Alhamdulillah. Ia pulih seperti sedia kala. Allah Maha Berkuasa. Saya kemudiannya meneruskan perjalanan ke Jamrah.

Dalam perjalanan menuju ke Jamrah

Papan tanda menuju ke Jamrah.

Papan tanda jelas kelihatan. Jangan takut. Insya Allah. Anda tak akan sesat di sana.

MELONTAR DI KETIGA TIGA JAMRAH PADA 11 ZULHIJJAH
Kami para jemaah Zahafiz sudah tiba di kawasan Jamrah. Alhamdulillah. Semua jemaah tiba sebelum waktu tengah malam. Ini penting kerana kami perlu Mabit di Mina pada 12 Zulhijjah. Untuk sah Mabit ini, kami perlu berada sekurang kurangnya separuh daripada malam 12 Zulhijjah itu.
Lihat kepada papan tanda. Small Jamrah bermaksud Jamrah Ula.
Kami terus melakukan lontaran di ketiga tiga jamrah. 7 biji batu setiap satu Jamrah. Bermula dari Jamrah Ula, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

Lubang Jamrah

Kemudian menuju ke Jamrah Wusta. Atau Middle Jamarah. Jarak antara satu Jamrah ke Jamrah yang lain adalah sekitar 300 meter.

Melontar di Jamrah Wusta. Juga 7 biji batu.

Kemudian, kami menuju ke Jamrah Kubra atau Big Jamrah. Juga 7 biji batu.

* AWAS. SEMASA MELONTAR DI JAMRAH KUBRA. SAYA TIDAK BOLEH BERJALAN TERUS KE HADAPAN. SAYA PERLU BERPATAH BALIK KE BELAKANG. INI KERANA DI HADAPAN JAMRAH KUBRA SUDAH MASUK KAWASAN MEKAH. DAN JIKA SAYA TERKELUAR DARI SINI, MAKA MABIT SAYA DI MINA PADA 12 ZULHIJJAH TIDAK SAH DAN SAYA PERLU MEMBAYAR DAM.

Bagi anda yang nak tahu macam mana bentuk jamrah di bahagian dalam, inilah gambarannya. Batu yang dilontar harus masuk ke dalam. Perlu diingat, kita melontar batu masuk ke dalam kawah ini. Jika kita lontar dan tidak masuk ke dalam kawah. Maka lontaran kita tidak sah.

MABIT DI MINA 12 ZULHIJJAH

Selepas habis melontar, kami para jemaah haji disuruh untuk berehat di kawasan sekitar Jamrah. Ustaz memaklumkan, di kawasan ini amat sesak. Dan pihak polis sentiasa menghalau para jemaah yang tidur di sini.

Maka, ustaz meminta kami menjadi seperti 'lalat'. Bila dihalau, bangun dan bergerak ke tempat lain. Duduk di situ sehingga dihalau lagi. Pindah lagi. Dihalau lagi, pindah lagi. Asalkan jangan keluar dari kawasan Jamrah.

Pemandangan para jemaah haji sedang Mabit di Mina pada malam 12 Zulhijjah

Mula mula kami duduk di sini, kemudian kami 'dihalau'. Berpindah ke tempat lain pula. Beginilah kami pada malam itu. Secara keseluruhannya, kami berpindah randah sebanyak 5 kali.

Inilah pemandangan para jemaah yang sedang Mabit di Mina pada 12 Zulhijjah. Dinasihatkan anda bawalah tikar atau alas untuk anda duduk atau berbaring di sana.
Saya sedang tidur disebelah bapa mertua saya. Hanya beralaskan tikar yang diberikan oleh pihak TM. Terima kasih TM. Berbantalkan beg sandang yang saya bawa.

Menjelang pukul 4 pagi, saya terasa seperti hendak membuang air kecil. Saya terus mencari tandas.

Subhanallah.

Tandas di situ teramat daif. Terlalu kotor dan busuk. Serta orang ramai menunggu giliran untuk masuk ke dalam tandas. Bayangkan, puluhan ribu orang berada di kawasan itu berkongsi hanya sedikit tandas. Sekitar 10-20 tandas. Tak dapat dibayangkan.

Masya Allah. Saya rasa nak loya berada di situ. Baunya teramat busuk.

Akhirnya, saya tiada pilihan. Saya tak mampu lagi nak beratur menunggu giliran. Saya terpaksa menggunakan 'skill' yang diajar oleh Ustaz sebelum ini. Untuk kencing di dalam botol.

Anda jangan gelakkan saya.

Saya pasti ramai dikalangan jemaah haji lelaki yang terpaksa melakukannya.

Saya membawa dua botol air. Satu botol kosong dan satu botol berisi air. Saya pergi ke tandas itu. Dan menuju ke satu penjuru. Rupa rupanya, dipenjuru itu sudah ada ratusan botol berisi air kencing. Usah dikenang dengan bau di situ.

Saya menyegerakan 'urusan' di situ dan terus keluar dari kawasan tandas itu. Bertambah lagi satu botol disitu. Ia satu pengalaman yang amat 'menarik'. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Selepas itu, saya menunaikan solat Sunat Tahjud dan solat Hajat dikawasan sekitar Jamrah.

Saya sedang menunaikan Solat Sunat Tahjud.
Saya dan Maria sementara menunggu waktu Subuh

Menunaikan Solat Sunat Qabliah Subuh. Selepas solat Subuh, kami berdoa dan terus menuju ke tempat melontar. Untuk melontar di ketiga tiga jamrah pada hari 12 Zulhijjah.

Selesai melontar diketiga tiga jamrah, saya dan Maria bergambar. Memandangkan saya melakukan Nafar Awal. Maka selesailah sudah segala kerja kerja haji saya. Dan mulai saat ini, saya baru sah diberi title "HAJI MOHD FIRDAUS BIN MAT SAAD".

Macam mana pula dengan Maria? Pada waktu ini, dia belum lagi bergelar Hajjah. Kerana belum melakukan Tawaf dan Saie Haji.

Selepas selesai kami semua melontar, kami berniat untuk keluar dari Mina menuju ke Mekah. Dan berniat untuk tidak kembali lagi ke Mina dalam masa haji kali ini. Dan niat ini perlu dilakukan semasa masih berada di dalam kawasan Mina.

Selepas itu, kami sekeluarga berdoa.

"Ya Allah, kami bersyukur kepada Mu kerana Engkau telah mempermudahkan segala urusan kami sepanjang perjalanan kami ini. Kami bersyukur kepada Mu Engkau telah mempermudahkan segala urusan haji kami. Kami mohon kepada Mu, Kau terimalah amal ibadah kami ini. Kurniakanlah kami Haji yang Mabrur. Ampunkanlah segala dosa kami dan masukkanlah kami ke dalam syurga Mu tanpa dihisab."

Anak panah jika kita hendak berjalan kaki pulang ke Mekah. 4.5km berjalan kaki menuruni bukit.
Selepas itu, kami mula bergerak keluar meninggalkan jamrah. Menuju ke Mekah. Di sini, kami diberi pilihan oleh pihak Zahafiz, mereka yang mahu ke Mekah dengan berjalan kaki sejauh 4.5km boleh balik sendiri sambil diiringi oleh petugas Zahafiz. Sesiapa yang mahu menaiki bas, bas akan disediakan oleh pihak Zahafiz. Tetapi jemaah perlu berjalan kaki berkumpul di suatu tempat sekitar 1km dari tempat Jamrah. Pihak Zahafiz memaklumkan, mereka yang berjalan kaki akan sampai lebih awal dari mereka yang menaiki bas. Jadi, pilihan ditangan kami para jemaah.

Kami sekeluarga memilih untuk pulang ke Mekah dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak Zahafiz. Kami diminta memenuhi bas ini sepenuh penuhnya. Dah jadi macam sardin kami.

Perjalanan pulang menaiki bas ini mengambil masa lebih dari satu jam. Ditambah dengan tempoh menunggu sekitar 45 minit. Benarlah apa yang pihak Zahafiz katakan, mereka yang berjalan kaki akan tiba lebih awal di hotel berbanding mereka yang menaiki bas.

Pemandangan di Mekah pada 12 Zulhijjah selepas kami semua tiba dari tempat Jamrah dengan menaiki bas.

Alhamdulillah. Kami sekeluarga bersyukur. Segala urusan kami dipermudahkan. Saya segera sujud syukur berterima kasih kepada Allah yang menjadikan kami tetamu Nya pada kali ini. Syukur Alhamdulillah.

Persoalannya kini, adakah anda faham apa yang telah saya ceritakan sepanjang 10 entri terakhir ini yang berkaitan haji? Kalau boleh, saya harap anda dapat memberi sedikit komen agar saya dapat perbaiki lagi entri ini agar ia lebih mudah difahami oleh orang lain yang membaca selepas ini.

Wassalam

1 comments:

  1. Alhamdulillah ,setakat ini saya faham,yg menariknya bila buat nafar awal meninggalkan Mina pada 12 hb,nampak agak senang dibandingkan untuk mabit 3 hari di Mina dan agak selesa jika ada kudrat untuk berjalan.dari jumrak ke kemahpun agak jauh,lebih baik terus ke Makkah berThahlul awal,terus buat tawaf dan sai...In Shaa Allah kalau keadaan mengizinkansaya akan ikut cara Haji Firdaus ,In Shaa Allah

    ReplyDelete

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top