Assalamualaikum,

Sebelum saya pergi menunaikan haji, saya ada memaklumkan di dalam blog saya ini jika ada mereka yang berhajat untuk mewakafkan Al Quran di Masjidil Haram.

Sebelum ini, saya tidak 'arif' mengenai wakaf Al Quran di Masjidil Haram. Namun, ziarah Umrah saya pada tahun 2010 menambah pengetahuan saya. Mutawif yang membawa kami menggalakkan kami para jemaah untuk mewakafkan Al Quran di Masjidil Haram.

PAHALA WAKAF

Ganjarannya amat besar. Selagi Al Quran itu berada di dalam Masjidil Haram dan dibaca oleh para jemaah di situ, selagi itulah pahalanya akan sampai kepada kita. Sudahlah kita ni baca Quran pun kurang. Semoga dengan mewakafkan Al Quran ini, pahalanya akan sedikit sebanyak sampai kepada kita. Amin.

Tahukah anda apa yang Raja Saudi lakukan?

Beliau mewakafkan kesemua Al Quran yang terdapat di dalam Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Dan beliau juga mewakafkan senaskah Al Quran untuk setiap jemaah haji yang datang menunaikan haji pada setiap tahun.

Bayangkan betapa besar pahala yang beliau peroleh apabila kita semua membaca Al Quran yang diwakafkan oleh beliau di Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram.

BAGAIMANA HENDAK MEWAKAFKAN AL QURAN
Cara termudah adalah dengan meminta pertolongan Mutawif yang mengetuai rombongan anda. Semasa menunaikan Umrah pada tahun 2010, Mutawif saya menolong menguruskan urusan ini. Senaskah Al Quran berharga SR35.

Namun, semasa saya menunaikan haji kali ini lain pula ceritanya. Pihak Zahafiz tidak menawarkan pertolongan untuk menguruskan Wakaf Al Quran ini. Maka ia perlu diuruskan sendiri.

Maka saya perlu menguruskan sendiri 'amanah' yang diterima di Malaysia tempoh hari.

PEMBELIAN AL QURAN

Semasa di Madinah, kami dibawa untuk menziarahi Kilang Mencetak Al Quran. Di sini Al Quran dijual pada harga SR31 senaskah. Al Quran yang dicetak disini adalah yang sama dengan Al Quran yang terdapat di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Di Kilang Mencetak Al Quran yang terletak di Madinah, Al Quran ini dijual pada harga yang lebih murah. Yang kecil berharga SR31. Yang besar berharga SR50. Dan super besar berharga SR137. Jika anda hendak Wakaf di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Belilah di sini. Ia lebih murah dan ia sama seperti yang terdapat di dalam kedua dua masjid.

Saya harus membeli Al Quran ini untuk diwakafkan di masjid-masjid ini.

Namun, saya tersalah percaturan. Ketika di Madinah, saya menyangka yang pihak Zahafiz akan menguruskan wakaf Al Quran di Mekah nanti.

Maka, saya pun tidak membeli sebarang Al Quran di sini. Ini kerana jika saya membeli Al Quran di sini, saya terpaksa membawa Al Quran ini ke Mekah pula.

Setibanya di Mekah, saya sedar saya sudah tersalah langkah kerana tidak membeli Al Quran di Kilang Mencetak Al Quran tempoh hari.

Saya mula keluar ke kedai kedai di sekitar Masjidil Haram bagi membeli Al Quran yang sama untuk diwakafkan.

Subhanallah. Harganya SR50 setiap satu. Tiada diskaun.

Jumlah kutipan yang saya peroleh untuk "Projek Wakaf Quran" adalah sekitar SR1000. Jika saya beli di Kilang Mencetak Al Quran di Madinah tempoh hari, saya boleh mendapat 33 naskah Al Quran. Namun, di Mekah saya hanya mendapat 20 naskah Al Quran bila dibeli di kedai kedai sekitar Masjidil Haram.

Nak buat macam mana?

Saya terus mencari dari satu kedai ke satu kedai. Macam ada perjanjian di antara mereka. Semua kedai tidak mahu memberi diskaun walaupun saya hendak membeli dengan jumlah yang banyak.

Sehinggalah saya tiba ke satu kedai. Kedai itu mahu memberikan saya harga SR38 untuk senaskah kerana saya membeli dalam jumlah yang banyak.

Sebelum membeli, saya terperasan bahawa Al Quran yang dijual oleh kedai itu merupakan Al Quran yang telah diwakafkan oleh Raja Saudi. Dihadapan Al Quran itu tertulis dalam Bahasa Arab "Diwakafkan Oleh Khadam Dua Masjid, Raja Saudi. Tidak Boleh Dijual Beli".

Rupa rupanya, Al Quran ini telah diseludup keluar oleh pihak pihak yang tidak bertanggung jawab. Mereka mahu mendapat keuntungan dengan cara yang mudah.

Saya tidak bersetuju membeli Al Quran itu. Ini kerana terdapat unsur syubhah di situ. Saya tidak mahu melakukan perkara yang haram semata mata mahu melakukan perkara yang sunat.

Tauke kedai itu memarahi saya kerana tidak mahu membeli Al Quran itu.

Saya keluar dari kedai itu dan menuju ke kedai lain. Dan akhir sekali, saya mendapat Al Quran yang dijual pada harga SR45. Inilah yang paling murah. Saya membeli 23 naskah Al Quran untuk diwakafkan di Masjidil Haram bagi menunaikan 'amanah' yang saya terima di Malaysia tempoh hari.

Saya membeli 23 Naskah Al Quran untuk diwakafkan di Masjidil Haram. Jika saya beli di Kilang, saya boleh mendapat 33 naskah dengan harga yang sama.

Sebelum itu, saya meminta peniaga itu untuk dicop Al Quran itu dengan tanda 'WAKAF LIL HARAM' supaya Al Quran ini tidak diambil keluar oleh jemaah dari Masjidil Haram.

Penjual mengecop dahulu pada Al Quran sebelum saya memasukkan Al Quran ini ke dalam Masjid.

CONTOH AL QURAN DI MASJIDIL HARAM

Jika anda hendak membeli Al Quran untuk diwakafkan. Pastikan ia benar benar sama seperti yang terdapat di dalam Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Ini adalah Kulit Al Quran yang digunakan di kedua dua masjid ini. Pastikan ia sama. Jika tidak, ia akan dikeluarkan dari Masjid oleh para petugas.

Contoh tulisan Al Quran di muka surat dalam.

Jika tidak sama, Al Quran yang diwakafkan itu akan dikeluarkan dari Masjid oleh para petugas di dalam Masjid.

Jadi, pastikan anda betul betul arif dengan Al Quran yang sebenar ini. Di Mekah, terdapat pelbagai jenis Al Quran yang kelihatan seakan akan sama seperti yang terdapat di Masjid. Maka, berhati hatilah anda.

DI MANA HENDAK DILETAKKAN AL QURAN

Sebelum memasukkan Al Quran ke dalam Masjid, saya mengkaji tempat tempat yang strategik untuk diletakkan Al Quran ini. Tempat yang saya maksudkan adalah tempat yang orang ramai duduk disitu tetapi kurang terdapat Al Quran.

Sekiranya saya meletakkan Al Quran disitu, maka kebarangkalian untuk Quran itu dibaca oleh para jemaah lebih tinggi berbanding saya letakkan Al Quran itu ditempat yang kurang menjadi tumpuan jemaah.

Kesannya, apabila saya letakkan Al Quran dirak itu, kurang dari satu minit Al Quran itu diambil dan dibaca oleh para jemaah haji. Secara automatiknya, pahalanya akan terus sampai kepada mereka yang mewakafkan Al Quran ini walaupun mereka semua berada di Malaysia.

Jutaan terima kasih kepada mereka yang 'mempercayai' saya untuk diberikan amanah ini.

Semoga usaha kecil kita ini mendapat perhatian Allah dan mendekatkan diri kita kepada Nya.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top