Assalamualaikum,

Alhamdulillah, syukur kepada Allah saya sudah selamat sampai ke Malaysia.

Pengembaraan mencari redha Illahi selama 45 hari berakhir. Dan ia perlu diteruskan apabila berada di Malaysia.

Menunaikan haji pada usia muda, sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan sebelum ini.

Apa yang berada di benak hati saya dahulu adalah untuk 'menyibukkan' diri dengan usaha mencari wang. Mencari habuan 'dunia' untuk kesenangan hidup di dunia.

Setiap hari saya berfikir, apa lagi yang aku boleh buat untuk mencari wang? Ada saja jalan yang saya nampak macam boleh buat, akan saya cuba usahakan.

Dan saya rasa, apa yang saya lakukan dahulu sama dengan kebanyakan di antara kita. Kita mempunyai mentaliti yang sama. Dunia, dunia dan dunia.

Sehinggalah Allah membuka pintu hati saya untuk menunaikan Umrah pada April 2010. Dan Allah temukan saya dengan Dr Nazri yang begitu menggalakkan saya menunaikan haji pada usia muda.

Allah menghantar Dr Nazri untuk mengetuk pintu hati saya bagi menunaikan Haji pada usia muda. Dan selepas itu, saya mula terfikir. Ya, saya perlu berusaha ke arah itu.

Segala cabaran yang 'menghalang' untuk saya menunaikan haji perlu diatasi satu persatu.

Kewangan faktor utama. Dan Alhamdulillah. Allah permudahkan saya dan isteri mengumpul RM50,000 untuk kami berdua menunaikan haji dalam tempoh satu tahun sahaja.

Masa faktor kedua. Kesibukan saya menguruskan perniagaan saya sedikit sebanyak 'menggangu gugat' iman saya. Sehingga, ada waktu saya terasa seolah olah "Aduh, kenapalah aku register pi haji tahun ni. Banyak lagi kerja yang belum selesai ni."

Namun, saya kuatkan hati. Saya katakan pada diri saya. Inilah pengorbanan yang perlu aku lakukan untuk mencari redha Illahi. Mungkin pengorbanan terbesar dalam hidup yang perlu saya lakukan. Sedangkan, RM50 000 tu kalau di'rolling'kan boleh menjana lebihan wang buat saya.

Saya cuba meletakkan akhirat sebagai matlamat hidup saya. Dan dalam kes ini, saya beriktikad dalam diri saya. Apa jua yang berlaku, aku akan pergi menunaikan haji tahun ini. Saya berazam untuk 'membuang' perasaan negatif jauh jauh. Segala keuntungan dunia perlu diletakkan ketepi.

Pada peringkat awal, saya rasa banyak kelebihan melakukan haji pada usia muda. Yang pertama, saya akan menjadi contoh kepada sahabat sahabat saya yang lain. Saya rasa, ramai di antara kita yang tidak pernah terfikir bila kita akan menunaikan haji.

Ramai di antara kita yang berfikiran haji hanya untuk orang tua sahaja. Selepas kita pencen nanti, masa itulah kita pergi menunaikan haji.

Sedangkan, pernahkah kita terfikir? Adakah Allah akan memberi umur kepada kita sehingga kita pencen nanti. Adakah kita pasti kita masih hidup di usia 57 tahun nanti?

Jika kita tidak pasti, maka ayuh! Fikir fikirkanlah bagaimana dan apa yang perlu kita lakukan untuk menunaikan haji dalam masa terdekat.

Semasa berada dalam jemaah Zahafiz, saya dapati purata umur semua jemaah haji Zahafiz sekitar 45-50 tahun. Bagi saya, purata umur ini agak rendah berbanding purata umur jemaah haji yang menunaikan haji menggunakan Tabung Haji secara Muassasah. Purata umur mereka mungkin sekitar 55-60 tahun.

Setiba di sana, saya berjumpa dengan jemaah haji Malaysia dari pelbagai peringkat umur. Kebanyakannya, mereka sudah berusia sekitar 60 tahun ke atas.

Bila mengetahui umur saya 30 tahun, hampir ke semua mereka mengatakan, "Syukurlah, datang haji muda muda. Banyak perkara boleh buat. Pak cik yang dah tua ni, nak buat amal ibadah pun dah terhad. Dah tak larat."
Bukan sedikit yang berkata begitu. Terlalu ramai. Ini bermaksud, di lubuk hati mereka terdetik perasaan menyesal kerana datang haji lewat.

Kepada yang muda, saya nasihatkan pergilah haji pada usia muda. Anda akan dapat menikmati kemanisan haji itu sendiri. Dan anda akan rasa lebih dekat dengan Allah selepas ini.

Bayangkanlah, Allah suka orang tua yang beribadah kepada Nya. Namun, Allah lebih suka jika orang muda yang beribadah kepada Nya.

Maka kita seharusnya menjadi 'orang muda' itu.

Tak perlulah kita memberi alasan demi alasan untuk menangguh pemergian haji kita. Sebaliknya, carilah jalan penyelesaian kepada masalah yang menghalang kita dari menunaikan haji itu.

Kalau kita hendak memberi alasan anak, fikirkan lah. Jika anak masih kecil, inilah masa yang terbaik untuk kita pergi menunaikan haji. Ini kerana, apabila mereka sudah bersekolah. "Anak nak" periksa akan menjadi alasan pula. Selepas itu, duit nak guna untuk "Anak nak masuk U" pula akan menjadi alasan. Kemudian, duit nak guna untuk "Anak nak kahwin" pula menjadi alasan.

Akhirnya, kita termasuklah golongan yang pergi menunaikan haji di usia tua.

Bukan salah menunaikan haji di usia tua.

Namun, apa yang saya perhatikan. Menunaikan haji pada usia muda banyak kelebihannya.

Yang pertama dari segi fizikal. Alhamdulillah, jemaah haji muda biasanya mempunyai keadaan fizikal yang lebih baik. Bersesuaian dengan kerja haji yang menuntut tenaga dan kudrat yang baik.

Banyak yang boleh dilakukan oleh jemaah haji muda, tetapi tidak boleh dilakukan oleh jemaah haji yang berumur.

Misalnya, jemaah haji muda boleh 'bersesak-sesak' untuk mencium Hajarul Aswad. Sedangkan, jemaah haji berumur, nak ke situ pun dah tak sanggup.

Saya bersyukur menunaikan haji pada usia muda. Taktala jemaah yang berumur mengatakan dataran Kaabah terlalu sesak dan tak boleh melakukan tawaf sunat. Saya berada di dalam golongan yang 'menyesakkan' dataran Kaabah itu. Saya termasuk mereka yang berhimpit himpit melakukan tawaf sunat.

Ramai jemaah yang berumur tidak boleh menunaikan solat secara berjemaah di Masjidil Haram. Mereka hanya bersolat fardhu di hotel. Amat rugi buat mereka. Namun, apakan daya. kudrat mereka amat terhad.

Kalau nak dikatakan, memang terlalu banyak kelebihan buat jemaah haji muda. Jemaah haji muda dapat membantu mereka yang uzur seperti mana yang saya dan Haji Amir lakukan kepada Pak Cik Tajudin.

Pendek kata, ruang untuk membuat pahala jauh lebih besar buat jemaah haji muda. Cuma, mahu tak mahu sahaja.

Akhir sekali, saya menyeru kepada para sahabat yang membaca blog ini. Ayuh, marilah kita semua berazam untuk menunaikan haji pada usia muda. Mulalah mendaftar untuk menunaikan haji di Tabung Haji.

Tahukah anda, jika anda mendaftar menunaikan haji pada hari ini 16 Mac 2012. Anda hanya akan dijadualkan menunaikan haji pada tahun 2047. Fikir fikirkanlah.

Syukur Alhamdulillah. Selepas saya dan Maria menunaikan haji tahun lepas, dua orang abang saya tergerak hati untuk menunaikan haji bersama kakak ipar saya tahun ini. Mereka sudah pun mendaftar untuk menunaikan haji menggunakan pakej. Insya Allah, jika ada rezeki buat mereka. Mereka akan pergi menunaikan haji pada tahun ini. Sama sama kita semua doakan. Agar Allah mengurniakan haji yang Mabrur untuk mereka.

Semoga, ia menjadi titik perubahan dalam hidup kami semua sekeluarga untuk mendekatkan diri kepada Allah. Semoga kami semua berkumpul kembali di Syurga Firdaus suatu hari nanti.

Amin. Amin. Amin. Ya Rabbal Alamin.

Wassalam

4 comments:

  1. Travelog Haji tulisan prof Modh Kamil saya tak pernah jemu membacanya,terlalu banyak pengajaran saya dapat didalamnya.setiap kali membacanya hati mesti sebak dan air mata akan jatuh dengan sendirinya. Saya baru habis baca travelog Haji Firdaus pula.terima kasih ,banyak ilmu yg dapat saya ambil darinya,semoga bermamfaat bagi bakal2 haji dan juga sesiapa yg membacanya.terima kasih atas cerita pengalaman selama menunaikan haji.semoga dapat jadi pedoman bagi saya yg mendapat jemputan dariNya untuk ketanah suci tahun ini,InShaa Allah saya akan cuba buat yg terbaik mengikut panduan yg Haji tunjukkan,semoga Allah mempermudahkan pekerjaan haji saya nanti Amin.semoga Allah mencucuri rahmat kepada Haji Firdaus yg telah menulis pengalaman semasa menunaikan Haji,terima kasih banyak

    ReplyDelete
  2. Saya juga telah tamat mbaca travelog haji tn hj firdaus. terima kasih tidak terhingga...membacanya menimbulkan berbagai2 perasaan di jiwa saya sehingga tak sabar rasanya nak pergi menunaikan haji....in shaa allah tahun ni saya tlh pun menerima jemputannya...alhamdulillah....terlalu byk iktibar dan panduan yg tlh saya perolehi dr bacaan ini tak lupa juga saya membaca travelog prof kamil...moga allah jua membalas segala kebaikan hambnya yg telah sama2 berkongsi demi kebaikan umat islam jua....terima kasih sekali lagi ....

    ReplyDelete
  3. Terima kasih di atas perkongsian yg sangat bermanfaat ini. Insya allah saya akan ke sana sebulan lagi... doakan saya mendapat haji mabrur

    ReplyDelete
  4. Kalau mengikut giliran saya pd 2026...tapi hati ini selalu merintih rindukan masjidil haram. Termimpi2 untuk ke sana.

    ReplyDelete

 
Alif Ba Ta - Travelog Haji 2011 © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top