Assalamualaikum,

Sebelum saya bercerita perjalanan haji saya yang seterusnya, saya rasa lebih penting bagi saya untuk memahamkan para pembaca mengenai Tahallul Awal & Thani, Nafar Awal dan Thani.

Sekiranya anda sudah faham dengan jelas mengenai Tahallul Awal dan Tahallul Thani, Nafar Awal dan Nafar Thani, insya Allah anda akan lebih faham apa yang akan saya ceritakan nanti.

TAHALLUL AWAL & TAHALLUL THANI

Apa itu Tahallul?

Tahallul ialah melepaskan diri daripada larangan ihram.

Tahallul Haji terbahagi kepada dua iaitu Tahallul Awal dan Tahallul Thani.

Tahallul Awal terhasil apabila jemaah haji selesai melakukan 2 daripada 3 perkara berikut:

1) MELONTAR JAMRAH KUBRA
2) TAWAF RUKUN DAN BERSAIE
3) BERCUKUR/BERGUNTING

Ingat, kita perlu melakukan dua daripada tiga perkara di atas untuk mengatakan kita sudah melakukan Tahallul Awal.

Kita boleh melakukan dua daripada tiga perkara diatas tanpa mengikut turutan.

Misalnya:

1) Melontar Jamrah Kubra kemudian Bercukur/Bergunting
2) Tawaf Rukun Dan Bersaie kemudian Bercukur/Bergunting
3) Melontar Jamrah Kubra kemudian Tawaf Rukun dan Bersaie

Selepas memperoleh Tahallul Awal, para jemaah haji sudah boleh melakukan segala pantang larang ihram kecuali 3 perkara:

1) Berkahwin
2) Mukaddimah Bersetubuh
3) Bersetubuh

Maksudnya, selepas Tahallul Awal kita sudah boleh menanggalkan kain ihram dan boleh berpakaian biasa. Kita sudah boleh memotong kuku, memakai minyak wangi, mencabut bulu pada badan dan segala pantang larang yang lain, KECUALI 3 PERKARA DI ATAS.

TAHALLUL THANI pula terhasil apabila jemaah haji sudah mengerjakan ketiga tiga amalan tadi iaitu:

1) MELONTAR JAMRAH KUBRA
2) TAWAF RUKUN
3) BERCUKUR/BERGUNTING

Selepas memperoleh Tahallul Thani, jemaah haji sudah boleh melakukan segala pantang larang ihram, termasuk yang 3 perkara yang diharamkan dalam Tahallul Awal tadi.

Dalam erti kata yang lain, jemaah haji sudah boleh:

1) Berkahwin
2) Mukaddimah Bersetubuh
3) Bersetubuh
Saya harap para pembaca kini sudah faham apa itu Tahallul Awal dan Tahallul Thani. Jika anda tidak faham, sila baca sekali lagi.

NAFAR AWAL & NAFAR THANI

Para jemaah haji perlu faham apa itu Nafar Awal dan apa itu Nafar Thani supaya ia memudahkan kita membuat keputusan di Mina nanti.

Nafar Awal adalah kita meninggalkan bumi Mina pada 12 Zulhijjah tanpa mabit dan melontar jamrah pada 13 Zulhijjah dengan syarat syarat berikut:

1) Telah sempurna bermalam di Mina pada malam 11 dan 12 Zulhijjah
2) Telah melakukan lontaran ketiga tiga jamrah pada 11 dan 12 Zulhijjah
3) Berniat untuk melakukan Nafar Awal
4) Meninggalkan Mina sebelum terbenam matahari pada 12 Zulhijjah
5) Tidak berazam untuk kembali lagi ke Mina untuk musim haji itu
Jika kita memilih untuk melakukan Nafar Awal, maka kita tidak perlu bermabit di Mina pada 13 Zulhijjah dan melontar di ketiga tiga jamrah pada hari itu.

Nafar Thani adalah jemaah haji itu memilih untuk meninggalkan Mina dengan bermabit pada 13 Zulhijjah dan melontar 3 Jamrah pada waktu siangnya.

Dalam erti kata yang lain, mereka yang memilih untuk membuat Nafar Thani akan berada di Mina sehari lebih lama berbanding mereka yang memilih untuk melakukan Nafar Awal.

Saya rasa inilah sahaja perkongsian saya dengan para pembaca mengenai Tahallul Awal dan Tahallul Thani serta Nafar Awal dan Nafar Thani.

Saya amat amat berharap para pembaca memahami apa yang saya tulis ini. Jika anda tidak faham, saya harap anda dapat membaca sekali lagi. Jika masih tidak faham, tanyalah sesiapa yang sudah pergi menunaikan haji.

Jika anda tidak faham entri kali ini, anda tidak akan faham apa yang akan saya ceritakan selepas ini.

Semoga Allah membuka hati kita untuk faham perjalanan haji ini.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top