Assalamualaikum,

19hb November 2011. Kami semua para jemaah dalam kumpulan KT21 dijadualkan untuk pulang ke Malaysia.

Sebelum pulang ke Malaysia, para jemaah haji diwajibkan untuk melakukan Tawaf Wida'. Tawaf Wida' ini adalah Tawaf Selamat Tinggal.

Dan ia perlu dilakukan buat mereka yang hendak keluar dari Mekah melebihi 91km.

Ia dilakukan sebagai 'penghormatan' kita apabila hendak meninggalkan Kaabah. Jika kita tidak melakukannya, kita perlu membayar dam.

Kami para jemaah dijangka bertolak keluar dari Mekah pada jam 7.00 pagi. Maka kami semua diminta untuk melakukan Tawaf Wida' bermula pada jam 3.00 pagi. Kemudian, pulang ke hotel dan bersolat Subuh di hotel sahaja.

Jam 3.00 pagi kami sekeluarga menuju ke Masjidil Haram.

Perasaan saya bercampur ketika waktu ini. Sedih dan hiba kerana terpaksa meninggalkan Kaabah dan Masjidil Haram. Perasaan cinta terhadap Kaabah yang terjalin selama sebulan ketika berada di bumi Mekah bakal ditinggalkan.

Perasaan gembira juga ada kerana kerja haji sudahpun disempurnakan dan teringat wajah wajah ahli keluarga di Malaysia.

Saya dan Maria melakukan Tawaf berdua. Manakala Ibu dan Bapa saya melakukan tawaf berdua.

Setelah selesai Tawaf, saya berdoa di Multazam buat kali terakhir.

"Ya Allah, aku bersyukur kepada Mu kerana Engkau telah memudahkan segala urusanku sepanjang aku mengerjakan haji ini.

Ya Allah, aku bersyukur kepada Mu kerana Engkau telah memelihara kesihatanku selama aku berada di sini. Aku bersyukur kepada Mu kerana Engkau tidak menguji aku dengan sesuatu yang tidak mampu aku menanggungnya ketika berada di sini.

Ya Allah, sekejap lagi aku akan berangkat pulang ke Malaysia. Aku berdoa kepada Mu agar Engkau tidak menjadikan ziarah aku kali ini sebagai ziarah yang terakhir buatku. Jemputlah lagi aku untuk menziarahi Masjidil Haram dan Kaabah selepas ini.

Ya Allah, aku mohon kepada Mu, ampunkanlah dosa ku sekiranya aku ada melakukan syirik kepada Mu. Jika ia berlaku, ia bukan diatas kemahuan ku. Ia berlaku di atas kejahilan ku. Ampunkanlah dosa syirikku.

Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi ku ketika ku masih kecil.

Ya Allah, aku mohon pada Mu, masukkanlah kami sekeluarga ke dalam syurga Mu tanpa dihisab. Jauhilah kami sekeluarga daripada dimasukkan ke dalam neraka Mu.

Ya Allah, aku mohon kepada Mu, matikanlah kami sekeluarga dalam keadaan husnul khatimah. Jauhilah kami mati dalam keadaan suilkhatimah. Ya Allah, akhirkanlah kalam dari mulut kami dengan kalimah Lailahaillalah.

Ya Allah, aku mohon kepada Mu, jadikanlah kubur kami sebagai salah satu daripada taman taman syurga Mu. Jangan Kau biarkan kubur kami menjadi salah satu daripada lubang lubang neraka Mu.

Ya Allah, berilah peluang kami sekeluarga untuk minum air daripada telaga al kauthar. Mudah mudahan dengan minuman itu kami tidak akan haus buat selama lamanya.

Ya Allah, berilah kami menerima kitab kami dengan tangan kanan. Janganlah Kau beri kitab kami dengan tangan kiri.

Ya Allah, permudahkanlah kami sekeluarga untuk melintas titian siratul mustaqim. Permudahkanlah kami sampai ke syurga Mu. Jauhilah kami daripada terjatuh ke dalam lubang neraka Mu.

Ya Allah, aku mohon kepada Mu. Murahkan lah rezeki kepadaku daripada rezeki yang halal. Jauhilah aku daripada rezeki yang haram dan syubhah. Ya Allah, jika rezeki ku masih di langit, Kau turunkanlah. Jika rezeki ku di bumi, Kau keluarkanlah. Jika rezekiku jauh, Kau dekatkanlah. Jika rezeki ku sukar, Kau permudahkanlah.

Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu kepadaku sebagaimana yang telah Engkau limpahkan kepada hamba hamba Mu yang soleh.

Ya Allah, aku mohon kepada Mu untuk aku berkongsi pengalaman yang aku lalui sepanjang menunaikan haji ini bersama saudara mara ku dan sahabat sahabat ku. Aku mohon kepada Mu untuk menulis di blog aku.

Aku mahu mereka merasai kehebatan Mu. Aku mahu mereka merasai kekuasaan Mu. Aku mahu mereka merasai apa yang telahpun aku rasa.

Berilah petunjuk Mu kepadaku.

Ya Allah, jauhilah aku daripada perasaan riya' dan bangga diri semasa aku menulis nanti. Sekiranya timbul perasaan itu dihatiku, aku memohon ampun kepada Mu. Aku tidak berniat begitu.

Aku menulis nanti semata mata kerana Mu. Untuk aku menceritakan kehebatan Mu kepada mereka semua. Semoga apa yang aku ceritakan nanti akan memberi sedikit pengajaran dan kesedaran buat mereka. Untuk kami semua sama sama mendekatkan diri kami kepada Mu. Semoga kami menjadi hamba Mu yang soleh.

Ya Allah. Bantulah aku dalam menyiapkan Travelog Haji aku sendiri.

Ya Allah, aku mohon kepada Mu. Berilah aku dapat istiqamah dari segi amal ibadahku apabila aku pulang ke Malaysia nanti. Berilah aku dapat istiqamah untuk bersolat secara berjemaah. Berilah aku dapat mengekalkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Berilah aku dapat istiqamah untuk menunaikan solat Sunat Dhuha setiap hari. Berilah aku dapat istiqamah untuk bersedekah setiap hari. Berilah aku dapat istiqamah untuk sentiasa menjadi pendakwah untuk memperjuangkan agamamu.

Ya Allah, sesungguhnya banyak lagi yang ingin aku mohon kepada Mu. Apa yang Nabi Muhammad pernah mohon, itulah yang aku mohon. Apa yang Nabi Muhammad pernah tolak. Itulah yang aku tolak.

Berikanlah yang terbaik kepada ku dalam kehidupanku di dunia dan akhirat.

Amin.

Air mata mengalir berjujuran. Saya menunaikan solat sunat tawaf. Dan berdoa buat kali terakhir.

Dengan perasaan sayu, saya melangkah kaki meninggalkan Masjidil Haram.

Di lubuk hati saya terdetik, "Ya Allah, jemputlah aku untuk datang ke sini lagi selepas ini"

Hati kecil saya teringat saat saat indah semasa berada di Madinah dan di Mekah. Teringat menziarahi makam Rasulullah, teringat mula menghafal Juzuk 30 di Masjidil Nabawi, teringat menolak pak cik ke masjid, teringat pesanan pesanan yang Prof Kamil berikan, teringat saat saat indah menunaikan Qiamullai bermula jam 2.00 pagi, teringat menunaikan solat sunat Dhuha saban hari, teringat bersedekah kepada orang miskin di Mekah. Teringat pengalaman menunaikan haji.

Aduh.... Indahnya pengalaman yang Allah berikan.

Saya mohon kepada Allah agar menjadikan saya 'Mohd Firdaus' yang lebih baik apabila pulang ke Malaysia nanti.'Mohd Firdaus' yang lebih mendekatkan diri kepada Nya. 'Mohd Firdaus' yang lebih tawadduk kepada Allah.

Di bahu saya, tergalas satu bebanan. Mampukah saya istiqamah melakukan apa yang sudah saya lakukan di Tanah Suci apabila saya pulang ke Malaysia. Saya berdoa agar Allah beri saya kekuatan untuk melakukannya.

Jam 7.00 pagi, bas bergerak meninggalkan bumi Mekah.

Selamat tinggal Kaabah. Selamat tinggal Masjidil Haram. Selamat tinggal bumi Mekah.

Syukur kepada Allah yang memberikan hampir segala-galanya kepada saya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Thank you Allah.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top