99 episod pengalaman sebelum, semasa dan selepas menunaikan Haji tahun 2011.

Travaelog Haji - Part 43 - Pengenalan Haji

Assalamualaikum,

Bagi kita yang kurang mengambil berat mengenai Haji ( sama macam saya dulu ), rasanya kita hanya belajar mengenai haji semasa di Tingkatan 5. Setakat itu sahajalah ilmu kita mengenai haji.

Saya tidak terkecuali. Walau pun sudah beberapa kali mengerjakan Umrah, Haji masih berbeza. Pergi menunaikan umrah tidak sama seperti menunaikan haji. Menunaikan umrah hanya memberi sedikit gambaran mengenai haji. Tidak keseluruhan.

Setahun sebelum menunaikan haji, saya masih 'jahil' mengenai haji. Alhamdulillah, selepas mencari ilmu haji melalui kursus haji bersiri, membaca buku, mendengar ceramah, berbincang dengan mereka yang sudah mengerjakan haji. Ilmu haji saya bertambah.

Sebelum saya membawa para pembaca mengembara bersama saya dalam kerja kerja haji, saya rasa lebih baik saya kongsi dulu dengan para pembaca mengenai Haji itu sendiri.

Saya mahu, selepas para pembaca habis membaca blog saya. Para pembaca dapat memahami apa itu haji dan cara perlaksanaannya. Sekurang kurangnya, ia dapat membantu para pembaca membayangkan apa itu Haji.

PENGERTIAN HAJI

Haji pada maksudnya adalah mengunjungi Baitullah Al Haram ( Kaabah ) di Mekah pada bulan bulan haji untuk mengerjakan ibadat ibadat tertentu mengikut syarat syarat tertentu.

Inilah haji.

Kalau kita mengunjungi Kaabah diluar bulan bulan haji, ini bermakna kita tidak melakukan haji.

Dan sekali pun kita mengunjungi Kaabah pada bulan bulan haji iaitu Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah, kita masih perlu mengerjakan ibada ibadat tertentu mengikut syarat syaratnya. Barulah kita dikatakan mengerjakan haji.

SEJARAH HAJI

Haji telah difardhukan kepada Rasulullah pada tahun ke 5- Hijrah. Pada tahun ke-9 Hijrah, Rasulullah mengutuskan Saidina Abu Bakar bersama 300 para sahabat untuk mengerjakan haji.

Pada 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah, Rasulullah bersama isteri isteri baginda telah memulakan perjalanan mengerjakan haji bersama 124,000 para sahabat.

Haji tersebut dikenali sebagai Haji Wada'. Ini kerana Rasulullah hanya mengerjakan haji sekali seumur hidup baginda. Rasulullah mengerjakan Haji Ifrad. Namun ada para sahabat baginda yang melakukan Haji Tamattuk dan ada yang melakukan Haji Qiran.

JENIS JENIS HAJI

1) Haji Ifrad

Apa itu Haji Ifrad? Haji Ifrad ialah mengerjakan haji dahulu dalam bulan bulan haji. Selepas habis mengerjakan haji, baru mengerjakan umrah.

Kalau ditanya haji mana yang lebih afdhal. Jawapannya Haji Ifrad. Kerana melakukan Haji Ifrad memerlukan mujahadah yang tinggi untuk menjaga semua pantang larang ihram dalam jangka waktu yang lebih lama.

Mengapa?

Ini kerana, sekiranya kita melakukan Haji Ifrad, kita perlu menjaga pantang larang ihram bermula dari waktu kita berniat sehinggalah tiba waktu mengerjakan haji.

Misalnya, semasa saya menunaikan haji tempoh hari. Semasa bertolak ke Mekah dari Madinah, kami mempunyai tempoh masa selama 21 hari sebelum melakukan haji. Sekiranya saya memilih untuk membuat Haji Ifrad, ini bermakna saya perlu menjaga pantang larang ihram selama 21 hari.

Satu mujahadah yang tinggi diperlukan di sini.

Jadi, dalam kumpulan saya seramai 500 orang yang menaiki Penerbangan Awal dari Malaysia. Hanya 4 orang memilih untuk mengerjakan Haji Ifrad. 496 orang lagi memilih untuk mengerjakan Haji Tamattuk.

Ini bermakna, semasa di Bir Ali iaitu tempat bermiqat semasa perjalanan kami dari Madinah ke Mekah, mereka yang mengerjakan Haji Ifrad akan berniat "Sahaja aku mengerjakan haji dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala"

Bermula dari saat ini, mereka yang mengerjakan Haji Ifrad perlu sentiasa berada dalam keadaan ihram. Dan tidak boleh melakukan larangan ihram selama 21 hari.

Namun, kebiasaannya hanya mereka yang menaiki penerbangan akhir akan melakukan Haji Ifrad. Ini kerana tempoh masa untuk menjaga pantang larang ihram adalah pendek kerana mereka tiba di Mekah sudah hampir dengan waktu haji. Iaitu 9,10,11,12,13 Zulhijjah.

Memandangkan Haji Ifrad menuntut mujahadah yang tinggi dan Haji Ifrad juga berniat haji di Miqat yang ditetapkan, mereka tidak perlu membayar dam seekor kambing.

Mereka hanya boleh 'keluar' dari pantang larang ihram selepas melakukan Tahlul Awal pada 10 Zulhijjah nanti.

Dan mereka ini hanya akan melakukan Umrah Wajib selepas habis mereka mengerjakan kerja kerja haji.

2) Haji Tamattuk

Berbanding Haji Ifrad, mereka yang memilih untuk melakukan Haji Tamattuk lebih mudah dan boleh dikategorikan sebagai haji yang bersenang lenang. Memang mudah. Ini bersesuaian dengan takrifan Haji Tamattu' itu sendiri iaitu:

Mengerjakan Umrah dahulu dalam bulan bulan haji sebelum mengerjakan haji di tahun yang sama.

Bagi rakyat Malaysia, Haji Tamattu' yang paling popular.

Mengapa?

Ia mudah dan tidak perlu lama berada dalam larangan ihram. Inilah sebabnya, daripada 500 jemaah Zahafiz dalam penerbangan awal, seramai 496 memilih untuk mengerjakan Haji Tamattuk. Termasuklah saya sekeluarga.

Mari saya ringkaskan.

Semasa kami menuju ke Mekah dari Madinah, ketika sampai di Bir Ali iaitu tempat bermiqat, kami yang mengerjakan Haji Tamattuk hanya berniat untuk melakukan umrah iaitu.

"Sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala"
Bermula dari saat ini, saya menjaga pantang larang ihram. Tetapi setibanya di Mekah, selepas saya menunaikan Tawaf, Saie dan Bercukur. Saya sudah bebas dari pantang larang ihram.

Ini bermakna, dalam tempoh 21 hari sementara menunggu hari Wukuf, kami yang melakukan Haji Tamattu' ini boleh memakai pakaian biasa sepanjang masa di sana. Dan tidak terikat dengan mana mana pantang larang ihram.

Bukankah ia sesuatu yang mudah. Memandangkan ia mudah, ia kurang afdhal berbanding Haji Ifrad.

Namun, ada juga jemaah Zahafiz yang pergi dengan Penerbangan Akhir yang tiba di Mekah sekitar 3-4 hari sebelum hari Wukuf yang melakukan Haji Tamattu'. Ia bukan suatu kesalahan. Ia adalah pilihan.

Bagi kami yang melakukan Haji Tamattuk, kami hanya berniat mengerjakan haji sehari sebelum hari wukuf. Iaitu ketika kami keluar hotel menuju ke Arafah, niatnya sama seperti Haji Ifrad, "Sahaja aku mengerjakan haji, dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala"

Dan kami hanya berada di dalam ihram selama 2 hari. Lebih mudah dan pendek tempoh pantang larangnya.

Pilihan terletak di tangan anda. Sekiranya anda yakin anda mampu untuk menjaga pantang larang ihram, ini bermakna lebih baik anda melakukan Haji Ifrad. Sekiranya tahap mujahadah anda tidak cukup tinggi, memadailah dengan melakukan Haji Tamattuk.

Jangan rasa bersalah jika memilih Haji Tamattuk. Ini kerana Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, "Haji yang aku lakukan adalah Haji Ifrad, TETAPI sekiranya aku diberi peluang sekali lagi untuk melakukan ibadah haji. Pasti aku akan melakukan Haji Tamattuk"
Buatlah pilihan sebaiknya. Ikut kemampuan kita.

Tetapi, jemaah haji yang muda dan pergi bersama suami atau isteri. Sebaik baiknya, lakukanlah Haji Tamattuk sekiranya anda pergi dengan penerbangan awal. Janganlah menduga iman dengan melakukan Haji Ifrad. Takut nanti, mengejar yang afdhal, terbuat yang haram pula.

Apabila kita melakukan Haji Tamattuk, kita perlu membayar dam seekor kambing bernilai SR350. Ini kerana kita melanggar perkara Wajib Haji iaitu melakukan Niat Haji di Miqat yang betul.

Bagi penduduk Mekah yang memilih untuk melakukan Haji Tamattuk, mereka tidak perlu membayar dam seekor kambing kerana tempat miqat bagi mereka adalah di rumah mereka sendiri. Kita perlu faham ini.

Memandangkan saya sekeluarga memilih untuk mengerjakan Haji Tamattuk, maka 4 ekor kambing perlu 'dikorbankan' sebagai dam melanggar kesalahan itu.

Kalau anda tanya saya secara peribadi, haji jenis mana yang perlu dipilih. Jawapan saya, sekiranya anda pergi dengan penerbangan awal. Buatlah Haji Tamattuk. Tetapi sekiranya anda pergi dengan penerbangan akhir dan yakin anda mampu menjaga pantang larang ihram. Buatlah Haji Ifrad.

Jangan sesekali men'cerca' orang yang melakukan haji itu dan ini. Kerana apa yang mereka lakukan juga merupakan syariat yang diturunkan oleh Allah.

3) Haji Qiran

Haji Qiran agak kurang popular dikalangan rakyat Malaysia. Haji Qiran biasanya dilakukan oleh mereka yang pergi menunaikan haji dalam tempoh yang paling pendek. Misalnya pergi haji dalam tempoh 7 hari.

Haji Qiran adalah mengerjakan haji dan umrah dalam masa yang sama. Niatnya pula, "Sahaja aku mengerjakan haji dan umrah, dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala".Haji Qiran ini biasanya dilakukan oleh jemaah Mesir dan Arab yang pergi menunaikan haji dalam tempoh 7-10 hari. Mereka tidak mempunyai ruang masa untuk melakukan umrah sebelum atau selepas menunaikan haji. Sebab itulah mereka menunaikan Haji Qiran dimana haji dan umrah dilakukan secara serentak.

Mereka yang mengerjakan Haji Qiran juga diwajibkan membayar dam seekor kambing.

Saya rasa, cukuplah dahulu saya menjelaskan kepada para pembaca mengenai jenis jenis haji. Saya sebenarnya pun pening memikirkan bagaimana cara terbaik untuk saya menerangkan kepada para pembaca mengenai jenis jenis haji ini. Supaya anda yang membaca mudah faham dengan apa yang saya ceritakan.

Saya mohon kepada para pembaca, memberi komen sama ada anda faham atau tidak dengan apa yang saya ceritakan mengenai jenis jenis haji ini. Sekiranya ramai yang tidak faham, maksudnya, saya perlu mengubah cara penceritaan supaya lebih mudah difahami. Sekiranya ramai yang faham, Alhamdulillah.

Wassalam

Post a Comment

Saya mulai faham tuan. Terima kasih. Saya sedang habiskan membaca travelog tuan sbg panduan & pencetus semangat...

saya tumpang bertanya puan. apa yg dilakukan oleh jemaah haji ketika di mekah, jika mlakukn haji ifrad sekiranya tiba pada 6 zulhijah dr malaysia?

Alhamdulillah...terima kasih byk2 tuan...dgn mmbaca Travelog Haji tuan telah mnjawab persoalan sy knape ihram hj ifrad lama...

Alhamdulillah...terima kasih byk2 tuan...dgn mmbaca Travelog Haji tuan telah mnjawab persoalan sy knape ihram hj ifrad lama...

[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Alif Ba Ta - Travelog Haji 2011. Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget