Assalamualaikum,

Pada hari pertama saya di Madinah, saya menghubungi Prof Kamil. Beliau lapang pada hari keesokannya. Jadi, kami berjanji untuk bertemu berhampiran tandas 11A sekitar jam 10.30 pagi. Hari Jumaat.

Seperti dijanjikan, beliau tiba tepat pada masanya. Saya dan bapa mertua bersalam dan memeluknya. Saya rasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan orang sehebat ini. Seorang yang banyak memberi kesedaran kepada saya tentang konsep ibadah dalam kehidupan. Hanya melalui penulisan beliau dalam buku, blog dan ceramah.

Kami masuk ke dalam masjid dan menunaikan Solat Tahiyatul Masjid dan Solat Sunat Dhuha. Beliau membawa kami ke satu sudut masjid. Di sebelah kiri, kemudian, beliau terus memulakan tazkirah beliau.

Secara keseluruhannya, saya sempat mendengar tazkirah daripada beliau sebanyak 3 kali. Jumlah masa sekitar 4 jam. Tetapi 4 jam yang terasa singkat. 4 jam yang amat bermakna. 4 jam yang mengubah perjalanan haji saya. Dan 4 jam yang mengubah hidup saya.

Prof Kamil sedang memberi tazkirah kepada saya dan bapa mertua di ruang sebelah kiri masjid

Oleh kerana terlalu banyak pengajaran yang saya peroleh melalui 3 sessi tazkirah yang beliau sampaikan. Saya bahagikan nasihat nasihat beliau kepada dua entry. Supaya tidak memenatkan saya menulis dan tidak memenatkan anda membaca. Yang penting, kita sama sama dapat mengambil iktibar daripada apa yang beliau cuba sampaikan. Antara nasihat beliau:

1) BERUBAH

"Firdaus, saya mahu you berfikir, bagaimana you nak berubah. Bagaimana you nak menjadikan haji yang you lalui sebagai sempadan untuk merubah iman. Meletakkan iman ke tahap yang lebih tinggi."

Prof memulakan perbualan. Saya mendengar dengan penuh khusyuk. Kerana, saya terasa seperti ada aura yang keluar dari mulut Prof dan terus masuk ke hati saya. Bukan mudah saya nak terasa begini.

Saya perlu pastikan semua yang Prof cakapkan ini dicatat dengan baik untuk berkongsi dengan para pembaca blog saya nanti. Saya tak mahu anda terlepas nasihat nasihat penting yang ingin beliau sampaikan. Jari jemari saya pantas menaip nota nota penting di telefon sambil mendengar tazkirah dari beliau.

Prof meneruskan bicara, "Pernah tak kita fikir, bagaimana haji yang kita lalui akan menjadikan kita insan yang lebih bertakwa. Saya nak you sedar, inilah peluang terbesar yang Allah berikan kepada you untuk berubah. Peluang yang datang sekali seumur hidup. Sekiranya semasa haji ini you tidak boleh berubah, jangan mimpi you boleh berubah apabila pulang ke Malaysia."

Tegas amaran yang cuba dilaungkan oleh Prof. Meminta saya berfikir kepetingan haji yang bakal saya lalui. Saya semakin teruja. Peluang yang Allah berikan kepada saya dan tak seharusnya saya lepaskan. Peluang yang pertama, dan mungkin yang terakhir.

Saya mula terfikir, amat malanglah bagi seseorang yang menunaikan haji, apabila dia pulang amalannya masa sama seperti sebelum dia menunaikan haji. Nauzubillah. Saya tidak mahu jadi begitu.

Pengajaran yang pertama, seharusnya bagi jemaah haji, sebelum datang menunaikan haji lagi. Mereka perlu beriltizam dan beriktiqad untuk 'BERUBAH'. Tanamkan dalam hati kita. "YA ALLAH, AKU NAK BERUBAH, JADIKANLAH IBADAH HAJI KU INI SEBAGAI MERUBAH SEMPADAN IMANKU"

2) HAJI MABRUR

"Firdaus, sebelum menunaikan haji. Dalam hati kita mesti ada perasaan. AKU MAHU HAJI YANG MABRUR. Ini mesti clear." Tegas Prof. Meminta saya menanam dalam hati untuk memperoleh haji yang mabrur.
Prof kemudian membaca sebuah hadis Nabi yang bermaksud "Haji Mabrur itu tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga". Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kefahaman saya bertambah jelas. Sekiranya kita memperoleh haji yang Mabrur, kita akan pulang ke Malaysia dalam keadaan suci. Bersih dari segala dosa. Kerana kita sudah bertaubat semasa kita berada di Tanah Suci. Itu yang kita semua mahu.

Prof kemudian menerangkan bukan mudah untuk memperoleh haji yang mabrur. Kita perlu berubah sekiranya kita ingin memperoleh Haji Mabrur.

Dan, memperoleh Haji Mabrur bukan sekadar kita memenuhi syarat rukun dan wajib haji. Ia lebih daripada itu. Segala persiapan kita, perlaksaan haji kita dan kesan terhadap diri kita selepas haji akan menentukan adakah kita layak menerima haji yang mabrur.

Hakikatnya, pemberian Haji Mabrur itu milik Allah jua. Bersamalah kita berdoa.

3) KEMATIAN

Sambil memerhatikan ke arah kami berdua. Prof mengajak kami berdua berfikir dengan sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud. "Di akhirat kelak, Allah menyuruh Nabi Adam membawa seluruh umatnya. Hanya seorang dalam seribu dari umatnya yang akan masuk ke dalam syurga tanpa dihisab."
Prof kemudian menjelaskan "Maksudnya, 999 orang yang lain akan dimasukkan ke dalam neraka terlebih dahulu sama ada sesaat. Seminit. Sejam. Sehari. Seminggu. Sebulan Setahun atau pun selama lamanya. Nauzubillah. Bergantung kepada amalan mereka ketika hidup di dunia"

Prof mahu kami berdua faham betul betul dengan angka ini. Hanya seorang dari seribu. Hanya 0.1% akan masuk syurga tanpa dihisab. Yang lain akan 'singgah' di neraka sama ada sekejap atau selama lamanya.

Statistik ini menakutkan saya. Adakah saya termasuk dalam yang satu itu. Kalau bukan yang satu, saya termasuk ke dalam golongan 999 orang. Nauzubillah. Saya tak mahu. Saya tak mahu masuk neraka.

Prof kemudian bertanya kepada kami berdua, "Andai katalah, Allah menjemput kita bertemu dengan Nya sekarang ini. Adakah amalan amalan yang telah kita lakukan sebelum ini melayakkan kita untuk menjadi insan terpilih, termasuk ke dalam golongan yang 'satu'?"

Prof melihat ke arah saya. Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Kemudian Prof melihat ke arah bapa mertua saya. Dia turut menggelengkan kepala.

"Jadi, kira sekarang ni sanggup la untuk masuk ke dalam neraka barang sesaat. Sanggup tak masuk neraka untuk satu saat? Satu saat sahaja?" Prof bertanya balik kepada kami berdua. Sekali lagi kami menggelengkan kepala.

"Mana boleh macam ni, hanya ada satu pilihan. Menjadi golongan terpilih, iaitu golongan yang satu ataupun golongan yang 999 orang tu. Kita kena pilih satu."

Kira ini soalan perangkap untuk kami berdua. Saya mula tersedar, amalan saya selama ini tidak melayakkan saya untuk dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Tapi, saya juga tak nak masuk ke dalam neraka walaupun sesaat. Itu pasti.

Prof menerangkan lagi, "Inilah masanya untuk merubah sempadan iman kita, mudah mudahan kita boleh termasuk ke dalam golongan yang 'satu' ini. Dan peluang ini hanya datang sekali sahaja. Kalau kita tak gunakan masa yang Allah berikan semasa menunaikan haji kali ini. Kita takut kita tak diberi peluang yang sama lagi selepas ini". Prof memotivasikan kami berdua.

Soalan seterusnya yang datang kepada kami berdua.

"Firdaus sekarang umur berapa?". "30 tahun"
. Saya menjawab pantas.

"Pak cik?".

Ayah saya menjawab, "64 tahun".

Prof kemudian memaklumkan kami. "Tahu tak, mengikut perangkaan purata umur rakyat Malaysia adalah 74 tahun. Maksudnya, secara purata, pak cik hanya ada 10 tahun lagi untuk hidup. Dan cara untuk menjadi insan yang terpilih, masuk ke dalam golongan yang 'satu' hanyalah dengan melakukan yang terbaik semasa menunaikan haji. Berubah menjadi lebih baik. Buat ibadah yang terbaik disini. Bertaubat sesungguh sunguhnya. Dan kekalkan ibadah ini apabila pulang ke Malaysia. Insya Allah, kita mampu untuk masuk ke dalam golongan insan yang terpilih ini. Jika tidak, kita akan termasuk ke dalam golongan 999 "

Rahsia menjadi golongan yang satu ini dedahkan Prof. Bahasanya mudah. Senang difahami. Analoginya juga tidak sukar difahami. Alhamdulillah. Saya faham.

Saya bergambar bersama Prof selepas habis sessi tazkirah
.
Insya Allah, nasihat nasihat Prof yang seterusnya akan saya sambung dalam entry yang seterusnya. Wassalam

Semoga anda yang membaca lebih memahami dan dapat mengamalkan dengan baik daripada saya yang menulis.

1 comments:

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top