Assalamualaikum,

5 Oktober 2011. Inilah tarikhnya. Hari yang dinanti sudah tiba. Segala persiapan telah pun sempurna. Semua beg telahpun disiapkan pada malam sebelumnya. Saya dan Maria berangkat ke Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi.

Kami dikehendaki mendaftar dengan Zahafiz di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada pukul 10.30 malam dan kemudian mendaftar dengan Tabung Haji pada pukul 1.30 pagi.

Beg yang dibawa. Satu beg masuk kargo dan satu beg 'hand luggage'. Yang pasti, dalam beg Maria tiada barang saya. Dalam beg saya ada barang Maria. Biasalah. Perempuan. Beg kami ada tanda khas dengan dililit dengan kain. Ini bagi memudahkan proses mencari beg di airport nanti.

Pada awal pagi, sekitar pukul 8.00 pagi, sahabat baik saya datang. Ustaz Saufi. Dia mengucapkan selamat jalan kepada saya. Dan berdoa untuk saya. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada beliau. Beliau lah sahabat saya yang telah pergi menunaikan haji sebanyak 7 kali. Beliau banyak membantu saya untuk memberi pemahaman mengenai perjalanan haji. Kursus haji bersiri selama 17 minggu, beliau simpulkan hanya dalam 30 minit. Dan 30 minit itu yang betul betul memberi kefahaman kepada saya. Syukran jazilan kepada beliau. Hanya Allah sahajalah yang membalas jasa baiknya.

Masa berangkat semakin hampir. Pada masa ini, perasaan saya bercampur. Sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga. Gembira kerana masa yang dinanti telah tiba. Sebak kerana dikalangan berjuta rakyat Malaysia. Saya antara yang terpilih. Terasa diri ini bertuah. Berdebar debar kerana bakal melalui pengalaman baru dalam hidup.

Saya memang tidak menjemput jiran jiran untuk datang ke rumah semasa saya hendak berangkat. Tujuannya, kalau lebih ramai yang datang, lebih ramai yang akan bersedih, dan saya takut saya turut bersedih.

Hanya jiran sebelah rumah yang datang. Ayah saya menjemput dia untuk azan sebelum saya keluar rumah.

Sebelum keluar dari rumah, saya menunaikan Solat Sunat Musafir. Lantas saya berdoa. Dengan penuh kesyahduan, dengan linangan air mata saya berdoa.

"Ya Allah, aku bersyukur kepada Mu, Engkau telah memilih aku untuk menunaikan haji pada tahun ini. Aku memohon kepada Mu, ampunkanlah dosa ku.

Ya Allah, jadikanlah kami sekeluarga tetamu Mu yang istimewa. Tetamu Mu yang paling istimewa. Tetamu Mu yang paling paling istimewa.

Ya Allah, aku serahkan keluargaku kepada Mu. Aku serahkan harta benda ku untuk berada dibawah peliharaan Mu. Berikan yang terbaik kepadaku.

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami ketika menunaikan haji. Berikan yang terbaik kepada kami"

Ringkas saya membacanya. Perlu segera kerana orang sudah menanti saya dimuka pintu untuk saya berangkat.

Dipintu, sebelum keluar ayah saya dan Hj Hassan membaca doa selamat. Dan kemudian saya meminta untuk membaca sendiri doa keluar rumah yang saya olah dari bukut Travelog Haji: Merubah Sempadan Iman.

Air mata meleleh. Cuba untuk khusyuk semasa berdoa. Semoga, apa yang didoakan didengar oleh Allah.

Selesai membaca doa. Saya bersalam dengan kedua ibu bapa. Memohon ampun dan maaf. Memohon dihalalkan segalanya. Emak saya menangis. Air mata saya dan Maria turut mengalir. Perasaan masa ini memang sebak. Hanya Allah yang tahu. Saya bersalaman dengan semua yang ada. Alhamdulillah. Perasaan sebak dan sedih itu berjaya dikawal.

Yang terakhir, saya memeluk Farees seerat eratnya. Air mata saya bertambah laju. Farees seperti faham yang dia akan ditinggalkan. Selepas memeluknya, giliran Maria mengambil tempat. Dan selepas itu, kami serahkan Farees kepada bibik. Farees seakan faham. Dia tenang didakapan bibik.

Ini jarang berlaku. Biasanya, kalau kami naik kereta dia mesti nak ikut. Alhamdulillah. Allah permudahkan. Dia faham.


Muka Farees yang agak cuak. Takut ditinggalkan. Ummi bergambar dengan Farees.

Farees seakan tidak mahu melepaskan saya. Selamat jalan Farees. Selamat jalan semua.

Bergambar sebelum pergi
.
Azan dilaungkan. Kami masuk ke dalam kereta dan membaca doa menaiki kenderaan. Kereta bergerak. Semua ahli keluarga ditinggalkan. Kepada Nya jua dipohon untuk memberi perlindungan.
.
Kami berangkat menuju ke Shah Alam. Ke rumah abang saya. Kereta akan ditinggalkan di rumah abang kerana disitu lebih banyak ruang untuk parking kereta didalam kawasan rumah.
.
Setibanya di Shah Alam, kami makan tengah hari dan kemudian Kak Aza menghantar kami ke rumah Maria di Keramat. Jutaan terima kasih kepada Kak Aza yang banyak meluangkan masa untuk menghantar kami ke sana. Hanya Allah yang membalas.
.
Di sebelah petang, kami tiba di rumah Maria. Alhamdulillah, perjalanan kami dipermudahkan setakat ini.
.
Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top