Assalamualaikum,

Pergi menunaikan haji dengan Syarikat Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, kita akan 'kenyang' dengan ziarah. Pelbagai tempat menarik untuk diziarahi diatur oleh mereka untuk kami para jemaah.

Hari Ahad, seawal jam 6.30 pagi, kami para jemaah mula berkumpul di lobi hotel untuk menaiki bas bagi aktiviti ziarah luar Madinah.

Kalau bukan kerana fadhilat ziarah Masjid Quba, saya mungkin tidak akan menyertai ziarah ini. Ini kerana saya sudah pun beberapa kali melawat tempat tempat ini dalam umrah saya yang terdahulu.

Bangun seawal jam 1.30 pagi dan beribadah di Masjid sehingga jam 5.30 pagi pasti memenatkan saya. Saya teramat mengantuk. Namun disebabkan ingin turut serta, saya abaikan perasaan mengantuk ini. Saya bercadang, kalau mengantuk sangat nanti. Saya akan tidur dalam bas sahaja.
Di atas bas, Ustaz Yazid mula menerangkan mengenai sejarah dan kelebihan tempat tempat yang kami ziarahi.


1) MASJID QUBA

Ustaz Yazid padanya menceritakan sejarah Masjid Quba. Masjid ini dibina pada tahun 622M iaitu semasa Rasulullah S.A.W berhijrah dari Mekah ke Madinah. Apabila tiba sampai di sini, perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah ialah mendirikan Masjid Quba ini. Dan inilah masjid yang pertama dibina atas dasar takwa.

Allah SWT telah mengakuinya sebagaimana firmanNya :

“…sesungguhnya Masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. (at-Taubah : 108)
Kelebihan Masjid Quba
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW selalu datang ke Masjid Quba’ ini pada setiap hari Sabtu sama ada menaiki unta atau berjalan kaki. Kadang-kadang Rasulullah SAW datang pada hari Isnin dan Khamis.
“Sesiapa yang berwudhu’ di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba’ untuk solat, akan diberi ganjaran pahala seperti pahla menunaikan umrah” (HR Ibnu Majah).
Selepas wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat sentiasa menziarahi Masjid Quba’ dan bersolat di sana. Zaid bin Aslam berkata : “Segala puji bagi Allah yang telah mendekatkan kita dengan Masjid Quba’. Sekiranya ia berada jauh di hujung dunia, nescaya kami akan bermusafir kepadanya”.
Melihat betapa cintanya Rasulullah dan para sahabat akan Masjid Quba ini menyebabkan saya mengenepikan perasaan mengantuk saya untuk turut serta.
Saya sekeluarga sudah berwudhuk sejak kami berada di hotel lagi. Sebab inilah yang dituntut oleh Rasulullah. Berwudhuk di rumah dan bersolat sunat di Masjid Quba. Dijanjikan pahala seperti satu umrah.
Kami mula tiba di Masjid Quba. Bergerak berkumpulan dengan baju vest Kuning Zahafiz yang boleh kelihatan dari jarak jauh. Satu kredit untuk Zahafiz kerana memberi baju ini kepada para jemaah. Memudahkan pengurusan semasa ziarah luar dalam keadaan sesak.

Jemaah perlu menaiki tangga ini untuk ke Masjid Quba. Setibanya di sana, kawasan masjid ini sudah pun sesak dengan jemaah jemaah dari negara lain yang sudah tiba. Namun, vest kuning kami unik. Mudah untuk membezakan jemaah Zahafiz dengan yang lain.

Saya bergambar di Masjid Quba

Masjid Quba dari luar. Masjid yang dibina atas dasar takwa dan salah satu masjid yang amat dicintai oleh Rasulullah.

2) LADANG KURMA

Tempat ziarah seterusnya ialah Ladang Kurma. Tidak jauh dari Masjid Quba. Ladang kurma ini dipenuhi dengan pokok kurma dan terdapat sebuah kedai yang menjual produk segar dari ladang.

Juga ada pelbagai coklat, kurma pelbagai jenis dan lain lain lagi. Tetapi, harga di sini agak mahal jika dibandingkan dengan harga yang dijual di kedai kedai sekitar hotel di Madinah.

Jemaah mula turun dari bas menuju ke Kedai Kurma itu

Kedai kurma ini terletak di dalam ladang kurma. Bolehlah kita melihat pokok pokok kurma yang seakan akan pokok kelapa sawit.

Gambaran di dalam kedai. Para jemaah Zahafiz sudah sibuk memilih coklat kurma, produk berasaskan kurma, kacang, kurma dan sebagainya di kedai ini.

Bayangkan kami jemaah Zahafiz seramai 400 orang menyerbu kedai ini secara serentak. Ini tak termasuk jemaah dari luar. Keadaan dalam kedai amat sesak.

Selepas berebut memilih barang. Sekarang kena berebut untuk membayar pula. Nampaknya, jemaah sudah memulakan aktiviti 'melontar' di sini. Iaitu melontar wang ke kedai. Rukun haji yang ketujuh agaknya.

3) JABAL UHUD & MAKAM SYUHADA

Tempat ziarah seterusnya ialah di Jabal Uhud dan Makam Syuhada. Jabal Uhud adalah bukit yang terpanjang dan terbesar di Madinah. Memang besar bukit ini.

Masa ni, terbayang besarnya pahala yang Allah berikan buat mereka yang menunaikan solat jenazah. Kerana pahala menunaikan solat jenazah adalah pahala sebesar Bukit Uhud. Subhanallah. Dan lagi satu Bukit Uhud ganjaran pahala bagi mereka yang mengangkat jenazah ke kubur. Besarnya pahala yang Allah janjikan.

Di sini lah juga tempat berlakunya Perang Uhud. Rasulullah bersama 700 orang muslim Madinah berperang dengan 3000 orang kafir yang datang dari Mekah. Rasulullah pada awalnya menyuruh tenteranya berkubu di Jabal Al Rumah.

Pada peringkat awal, semasa diserang, tentera Islam berjaya mematahkan serangan dari pihak musuh. Ramai tentera musuh yang terkorban. Tak kurang, ramai tentara musuh yang melarikan diri serta meninggalkan harta mereka di bawah bukit Jabal Al-Rumah.

Rasulullah sudah berpesan kepada tentera Islam supaya tidak meninggalkan Jabal Al-Rumah. Tetapi, mereka terpedaya untuk berebut harta rampasan perang peninggalan tentera musuh. Lalu mereka meninggalkan tempat pertahanan mereka.

Menyedari apa yang berlaku, Panglima Perang Khalid Al-Walid yang ketika itu mengetuai tentera musuh dan belum memeluk Islam menawan Jabal Uhud. Dan terus menyerang umat Islam. Kesannya, ramai tentera Islam meninggal dunia. Syahid di situ. Antaranya Saidina Hamzah.

Ustaz Yazid menceritakan mengenai sejarah Uhud kepada para jemaah.

Bukit yang dibelakang itulah Jabal Uhud. Amat besar dan panjang. Besarnya pahala yang dijanjikan Allah buat orang yang menunaikan solat jenazah. Pahala sebesar Bukit Uhud.

Di hadapan Perkuburan Syuhada Uhud.

Jabal Al-Rumah. Di sinilah tentera Islam disuruh bertahan ketika berperan Uhud.

Di sini juga ada dijual kurma. Saya membeli sedikit untuk makan di hotel.

4) MASJID QIBLATAIN

Tempat seterusnya yang dilawati adalah Masjid Qiblatain. Iaitu Masjid dua kiblat.

Kiblat asal umat Islam adalah Baitul Muqaddis.

Ketika sedang bersolat Zuhur, baginda menerima wahyu untuk ditukarkan kiblat dari Baitul Muqaddis di Palestin ke Baitullah Mekah.

Sebab itulah masjid ini diberi nama Masjid Qiblatain. Iaitu Masjid Dua Kiblat.

Memandangkan tiada fadhilat khusus untuk bersolat di masjid ini dan mengejar waktu solat Zuhur di Masjid Nabawi. Kami hanya menziarahi masjid ini dari luar.

Masjid Qiblatain dari luar.

Pemandangan dalam masjid dibahagian hadapan.

5) UNIVERSITI MADINAH

Sebelum keluar ke hotel, kami dibawa menziarahi pintu hadapan Universiti Madinah. Hanya dihadapan pintu. Tidak dibenar masuk ke dalam. Rupa rupanya, Universiti ini hanya ada pelajar lelaki. Tiada pelajar perempuan.

Universiti Madinah. Papan tanda.

Pintu gerbang masuk ke Universiti Madinah.
.
Sekian. Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top