Assalamualaikum,

Bismillahirrahmanirahim, Segala puji bagi Allah, tuhan sekian alam.

Pertama sekali, saya sekeluarga bersyukur kepada Allah kerana kami sekeluarga telah selamat menunaikan Fardhu Haji yang merupakan Rukun Islam yang ke-5 buat kita semua umat Islam. Saya bersyukur kepada Allah kerana semua perjalanan haji kami sekeluarga telah dipermudahkan Allah dan kami sentiasa berada dibawah peliharaan Nya sepanjang perjalanan ini. Saya juga bersyukur kepada Allah kerana kami semua selamat pergi dan selamat balik ke rumah dan semua harta benda dan ahli keluarga kami turut berada dibawah lembayung rahmat Allah. Sujud syukur saya kepada Allah atas segala pertolongan yang diberikan Nya. Alhamdulillah.

Yang kedua, saya memohon maaf kepada para pembaca kerana saya mengambil masa yang terlalu lama untuk mula mengupdate blog ni. Ramai pembaca yang hantar mesej ke HP saya dan ke emel saya bertanya mengenai kepulangan saya. Terima kasih atas perhatian saudara. Ada yang sedar, saya sebenarnya dah balik ke Malaysia pada 21 November yang lepas, tapi blog ni sepi tanpa khabar berita. Puncanya, internet connection ke rumah sy 'down' selama sebulan dan baru saja ok dalam 3-4 hari lepas. Dan lepas internet dah ok, saya pulak sibuk dengan urusan menjual ayam. Dan saya kurang masa untuk menaip. Alhamdulillah, sekarang ni Allah dah berikan masa kepada saya untuk mula bercerita.

Azam saya, satu hari satu cerita untuk saya kongsi bersama dengan para pembaca blog ni. Semoga apa yang saya sekeluarga lalui sepanjang kami mengerjakan haji dapat memberi pengajaran bukan saja kepada kami sekeluarga, tapi juga kepada masyarakat di Malaysia. Insya Allah. Saya jangkakan ada sekitar 20-30 cerita yang saya nak kongsi dengan para pembaca. Saya mohon Allah memberi ilham yang terbaik kepada saya untuk saya mengolah ayat dan menyusun cerita, mudah mudahan apa yang saya tulis ni lebih mudah difahami dan memberi iktibar kepada kita semua.

Semasa di Mekah dan Madinah, saya dah rasa tak sabar untuk menulis pengalaman haji saya. Banyak kali dan ketika saya berada di sana, saya berasa seronoknya kalau saya boleh menaip terus waktu itu. Sebab waktu itu, ingatan saya masih segar dan saya pasti lebih boleh bercerita dengan penuh perasaan. Tapi, tanpa laptop mana mungkin saya boleh menaip. Jadi, saya terpaksalah menulis nota nota kecil dalam handphone saya, agar saya tak lupa apa yang saya lalui.

Sebelum saya pulang ke Malaysia, semasa dihadapan Kaabah. Saya berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, aku berhasrat untuk menulis pengalaman haji aku ini di blog aku. Untuk aku kongsi dengan sahabat-sahabat dan saudara maraku di Malaysia.

Ya Allah, apa yang aku nak tulis ni adalah semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Aku nak kongsi dengan sahabat sahabat ku sebab aku nak mereka rasa apa yang aku rasa. Aku nak mereka rasa Kehebatan Mu, aku nak berkongsi dengan mereka akan Kekuasaan Mu. Aku nak mereka dapat mengetahui dengan lebih jelas perjalanan haji ini. Aku nak lepas mereka baca, tertanam dihati mereka untuk pergi menunaikan haji di usia muda.

Ya Allah, aku takut, apa yang aku tulis nanti boleh menimbulkan perasaan riya' dalam diriku, aku mohon ampun kepada mu sekiranya ia berlaku. Tapi aku rasa penting untuk aku ceritakan kepada sahabat sahabatku supaya mereka sendiri tahu apa yang perlu dilakukan apabila berada di Mekah nanti. Mudah mudahan, mereka dapat melakukan lebih baik dari apa yang telah aku lakukan."

Bagi saya, perjalanan haji ini boleh dibahagikan kepada 4 bahagian. Bahagian pertama adalah persediaan sebelum pergi menunaikan haji. Persediaan dari segi ilmu, persediaan dari segi fizikal dan mental, persediaan dari segi kewangan. Yang kedua adalah amalan amalan yang perlu kita lakukan semasa berada di Mekah dan Madinah. Yang ketiga, perlaksanaan perjalanan haji yang hanya mengambil masa 5 hari dan yang keempat, apa yang perlu dilakukan selepas pulang ke Malaysia.

Sebagai mukaddimah penceritaan saya ni, saya akan bercerita mengenai Persiapan Menunaikan Haji dari segi persediaan ilmu haji. Mengapa saya mulakan dengan persediaan mencari ilmu haji, kerana ini adalah yang paling penting. Dan saya memang mengambil berat akan hal ini.

Saya rasa ramai pembaca tahu, saya mengerjakan Umrah pada April 2010 bersama Maria dan mak mertua saya. Dan niat kami untuk mengerjakan haji mula terdetik selepas beberapa bulan kami pulang dari menunaikan Umrah. Saya mula mencari ilmu mengenai haji sejurus lepas hati saya terdetik untuk mengerjakan haji.

BAHAN CERAMAH

Perkara pertama yang saya lakukan adalah membeli CD Kuliah Bab Haji yang disampaikan oleh Al Fadhil Dato' Ustaz Haji Shamsuri Bin Ahmad. Untuk makluman semua, saya memang pendegar setia kuliah Ustaz Shamsuri. Saya ada simpanan sebanyak 200 ceramah yang beliau sampaikan yang saya download dari internet. Dan kebiasaanya, saya dengar ceramah beliau di dalam kereta.

Bagi mereka yang baru dengan Al Fadhil Ustaz, cuba cari di internet ceramah ceramah beliau dalam mp3 dan cuba dengar, sekali anda dengar pasti anda akan tertarik. Dan 200 ceramah tu saya dah dengar berulang ulang kali. Dan ada yang saya dengar lebih dari 10 kali. Sebab itu sajalah 'hiburan' saya dalam kereta ketika memandu. Dan saya tak pernah rasa bosan walaupun dah dengar berkali kali.

Seperti ceramah ceramah yang lain, kuliah haji yang beliau sampaikan benar benar memberi kesan kepada saya. Saya rasa tuan tuan tak akan jumpa mana mana ceramah yang boleh memberi penerangan mengenai haji se'detail' seperti yang beliau sampaikan. Beliau akan menceritakan dari sebesar besar perkara hinggalah ke sekecil kecil perkara yang Nabi Muhammad lakukan semasa baginda menunaikan haji berdasarkan hadis-hadis sohih.

Dalam setiap CD ni, ada 15 buah ceramah yang tajuk tajuknya seperti yang tertera dibawah. Dalam 2 CD, saya telah dihidangkan dengan 30 buah ceramah yang begitu lengkap mengenai haji. Saya rasa Al-Fadhil Dato' telah menyentuh dengan begitu baik dan memberi nasihat-nasihat yang amat berguna semasa saya di sana. Apabila beliau bercerita dalam kuliahnya, kita akan berasa seolah olah kita turut berada di tempat yang diceritanya. Kita seolah olah dibawa mengembara bersamanya. Inilah kehebatan yang beliau miliki. Apa yang beliau katakan mudah memberi kesan kepada diri kita. Ada perkara yang kita dah dengar berpuluh puluh kali, tapi kita buat tak kisah. Tapi bila beliau yang bercakap perkara yang sama, kita rasa terdetik di hati untuk buat sesuatu yang selama ni kita buat tak kisah.


Ini adalah CD Pertama. Ada 15 tajuk seperti yang tertera.


CD Ke Dua. Juga mengandugi 15 Ceramah.


Sekiranya tuan-tuan berhasrat untuk membeli CD ceramah ni, pastikan kita beli yang original. Sebab untuk mencari keberkatan dalam ilmu yang kita peroleh. Harga satu CD adalah RM24. Dua CD RM48. Tuan tuan boleh beli CD ni di kedai kedai ataupun di www.cdustazshamsuri.com/kuliah_MP3_Haji_Detail.html . Untuk makluman, saya tiada kaitan dengan pengeluaran CD ni. Saya hanya mencadangkan tuan tuan dengar ceramah ceramah ni untuk memberi motivasi kepada tuan tuan untuk pergi menunaikan haji di usia muda.

BAHAN BACAAN

Sebenarnya, sebelum saya pergi menunaikan haji, banyak buku yang saya baca mengenai haji. Tetapi terus terang saya katakan hampir kesemua buku menceritakan perkara yang sama iaitu perjalanan haji. Sekiranya anda mencari buku yang menceritakan mengenai perjalanan haji, pada pandangan saya buku yang terbaik adalah buku Kursus Kesempurnaan Ibadah Haji Dan Umrah yang ditulis oleh yang berbahagia Dato' Md Daud Che Ngah. Buku yang saya rasakan lengkap dari pelbagai aspek dalam mengerjakan haji. Anda boleh cari buku ni internet.

Dalam banyak-banyak buku, saya nak mencadangkan kepada para pembaca untuk beli dan baca buku ni. Bagi saya, buku wajib baca sebelum pergi menunaikan haji. Buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman ditulis oleh Prof Muhd Kamil Ibrahim. Dalam buku ni, Prof telah menceritakan pengalaman beliau semasa pergi menunaikan haji dalam bentuk penceritaan yang bersantai. Beliau menceritakan bagaimana perjalanan haji yang beliau lalui benar benar telah mengubah sempadan iman beliau. Beliau menceritakan bagaimana beliau yang sebelum menunaikan haji tidak mengambil berat akan solat, tidak tahu membaca al-quran pada usia 40 tahun, berjudi ketika bermain golf dengan kawan menjadikan perjalanan haji sebagai sesuatu yang mengubah kehidupan beliau secara total selepas menunaikan haji.

Dalam buku ni, ada VCD Motivasi Haji. Saya rasa pasti akan mengalir air mata kalau kita dengar ceramah beliau dalam VCD tu. VCD tu menceritakan pengalaman beliau semasa menunaikan haji dalam bentuk audio visual. Dan ianya percuma. Ada didalam buku ni.


Belilah, bacalah, anda pasti akan rasa insaf dengan cerita yang beliau sampaikan.


Ni buku kedua yang beliau hasilkan. 50 Tips Motivasi Haji & Umrah.

Saya bersyukur kepada Allah sebab saya hanya berjumpa dengan buku ni 2 minggu sebelum saya pergi menunaikan haji. Masya Allah, tips tips yang ada dalam buku ni benar benar membantu. Saya rasa satu kerugian bagi mereka yang pergi haji kalau tak baca kedua dua buku ni. Bila kita baca dan kita amalkan, insya Allah langkah untuk menperoleh haji yang mambrur lebih mudah dicapai. Percayalah....


Walaupun anda masih belum bercita cita nak pergi menunaikan haji dalam masa terdekat, beli lah buku ni dan dengarlah. Pasti hati anda akan terdetik untuk menunaikan haji. Insya Allah.
.


Sebagai tambahan, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok hasil karya beliau yang penuh dengan motivasi dan tazkirah diri. Buku ini tidak berkaitan dengan ibadah haji, tetapi ia sebagai bahan bacaan untuk kita merenung dan muhasabah diri kita sendiri.


Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk beli dan baca buku ni, anda masih lagi boleh membaca hasil karya beliau secara percuma di http://www.muhdkamil.org/ Ada kawan saya yang lepas dia baca buku dan blog prof dah jadi ketagih dengan hasil karya prof. Saya pun begitu. Bukalah blog beliau, beliau dengan istiqamahnya boleh menaip tazkirah kehidupan untuk kita setiap hari. Kalau anda baca semua buku dan karya beliau dalam blog, anda akan kata...


"Subhanallah. Ada lagi orang macam ni dalam dunia hari ni. Dan anda akan rasa, macam mana aku nak buat macam yang dia buat."

Saya menekankan utk tuan tuan membaca buku karya Prof Kamil sebab bagi saya beliau adalah contoh terbaik yang kita boleh ikut pada zaman sekarang. Beliau menjadikan Perjalanan Haji sebagai medan untuk merubah diri menjadi insan yang lebih baik. Dan itu yang sepatutnya berlaku kepada kita semua yang pergi menunaikan haji.

Sekarang ini, Prof Kamil menetap di Madinah. Dan Alhamdulillah, Allah telah mempertemukan saya dengan dia di Masjidil Nabawi. Beliau secara langsung memberi tazkirah kepada saya sebanyak 3 kali. Insya Allah, saya akan menceritakan pengalaman saya bertemu beliau nanti.

Bagi saya, sesiapa pun wajar mendengar kuliah yang disampaikan oleh Al Fadhil Dato' Shamsuri dan membaca buku yang ditulis oleh Prof Kamil. Walaupun sekarang ini anda belum bercita cita nak pergi menunaikan haji. Percayalah, jika anda mendengar dan membaca kedua dua bahan ni, insya Allah akan terdetik dihati kecil anda, "Aku nak pergi haji dalam masa terdekat ni".

Jangan fikirkan masalah duit, jangan fikirkan masalah anak, jangan fikirkan masalah kerja, jangan fikirkan masalah perniagaan. Apa yang penting, niat dihati kita. "Ya Allah, aku nak pergi menunaikan haji. Bantulah aku dan permudahkan urusanku". Insya Allah, Allah akan atur segalanya untuk kita...

Insya Allah lepas ni saya akan menceritakan apa yang perlu kita lakukan lepas kita berazam untuk pergi menunaikan haji.


Wassalam

* Saya mohon kepada anda untuk kongsikan dengan sahabat atau saudara mara anda mengenai perjalanan haji yang telah saya lalui ini. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat dan semoga ia menjadi 'pencen kubur' saya suatu hari nanti. 

* Anda juga bebas untuk copy & paste segala artikel berkaitan haji dalam blog ini di blog anda asalkan anda letakkan linknya di situ selagi ia tidak bertujuan komersial. Anda juga boleh print segala doa doa yang telah saya tulis di dalam blog ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin.
Next
This is the most recent post.
Previous
Older Post

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top