Assalamualaikum,

Sekitar jam 3 petang, saya dan Maria tiba di rumah ibu bapanya di Keramat. Terima kasih kepada kakak ipar saya, Kak Aza yang menghantar saya dari Shah Alam. Hanya Allah yang membalas segala jasa.

Setibanya saya di rumah mertua, saya terkejut kerana bapa mertua saya mengatakan yang kami semua akan keluar rumah selepas solat Asar. Saya tergamam. Masya Allah. Awalnya. Perjalanan dari Keramat ke Kelana Jaya mengambil masa kurang dari sejam. Jadi, mengapa perlu keluar selepas Asar. Sedangkan lapor diri kepada waktu Zahafiz adalah pada pukul 10.30 malam. Padahal, perbincangan asal adalah kami akan keluar dari rumah selepas solat Isyak.

Rupa-rupanya, bapa mertua saya telah 'ditakutkan' oleh para sahabatnya yang datang ziarah sehari sebelum itu. Mereka mengatakan jalan sesak, kena pergi awal dan bermacam macam lagi.

Menyukarkan keadaan, ayah saya sudah menjemput para iman dan orang Masjid untuk datang ke rumah selepas Asar. Satu cabaran bagi saya. Saya masih lagi mengatakan, terlalu awal untuk keluar selepas solat Asar. Selepas Solat Maghrib pun masih awal. Tetapi bagi menghormati bapa mertua saya yang dah pun buat keputusan, saya tak mahu membantah.

Bagi saya, ini masalah kecil. Kalau di rumah pun saya kena tunggu, kalau di Kelana Jaya pun saya kena tunggu. Jadi, tiada bezanya. Saya tiada masalah nak keluar pukul berapa pun.

Rupa rupanya, abang ipar saya yang hendak menghantar kami ke Kelana Jaya meminta untuk keluar lewat sedikit bagi memberi ruang kepada dia balik dari kerja dan bersiap.

Alhamdulillah. Bapa mertua saya setuju dan menangguhkan waktu kami berangkat ke Kelana Jaya selepas solat Maghrib.

Selepas Solat Maghrib, sanak saudara dan jiran serta jemaah Masjid mula datang ke rumah. Dan kami bersedia untuk bertolak. Sebelum itu, saya sudah memaklumkan kepada bapa mertua saya, saya hendak membaca doa keluar rumah nanti. Dan dia mengatakan dia sudah menjemput imam untuk membaca doa keluar rumah. Saya memaklumkan, doa ini lebih afdhal kalau kita yang baca sendiri.

Mengapa saya berkata begini? Saya sebenarnya tidak berapa suka kalau doa dibaca dalam bahasa yang tidak kita fahami. Maksud saya, imam membaca doa dalam Bahasa Arab, dan kita hanya mengaminkan sahaja. Tanpa kita memahami apa yang kita baca.

Saya suka membaca doa dalam Bahasa Melayu. Dan apabila kita baca apa yang kita faham, hati kita akan lebih tersentuh. Orang yang nak pergi haji lebih bersemangat dan orang yang tidak pergi pun akan turut tersentuh hati mereka. Dan lebih penting, semasa saya sendiri baca doa, saya boleh minta apa yang saya mahu.

Apabila tiba masanya, imam membuat tahlil ringkas dan membaca doa selamat. Selepas beliau habis berdoa, saya meminta izin daripada dia untuk membaca doa saya sendiri pula. Yang pasti, doa saya baca akan dalam Bahasa Melayu. Saya nak kami semua faham apa yang saya minta.

Inilah doa yang saya baca semasa hendak keluar rumah:

Ya Allah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dikau ya Allah, Kaulah Tuhan yang Maha Esa, ya Allah. Kaulah yang kami sembah, tempat kami bergantung harap, tiada sekutu bagi Mu ya Allah, malah tiada sesiapa yang setara dengan Mu ya Allah. Ampuni kami ya Allah di atas segala kekhilafan kami ya Allah.

Ya Allah, kami akan memulakan perjalanan kami untuk menunaikan haji ya Allah, tetapi kami ini hamba Mu yang banyak melakukan dosa dan maksiat kepada Mu ya Allah. Dosa-dosa kecil, dosa dosa besar, dosa yang kami ketahui dan dosa yang tidak kami ketahui. Ya Allah Kau mulakanlah perjalanan kami ini dengan mengampuni dosa dosa kami. Sesungguhnya kami ini manusia yang kerdil lagi hina ya Allah.

Ya Allah, kami bertaubat pada Mu ya Allah. kami bertaubat Ya Allah. Kami bertaubat pada Mu ya Allah. Jika kami pernah mensyirikkan Mu, jika kami pernah menduakan-Mu ya Allah, ampunilah kami. Jika ia berlaku, bukan kerana kami ingin melakukannya, tetapi kerana kejahilan kami ya Allah. Maka Kau ampunilah kami..

Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamu Mu ya Allah. Tetamu yang paling istimewa ya Allah, tetamu yang paling-paling istimewa ya Allah. Kami tahu, Engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan. Ya Allah, ampunilah diri kami ya Allah.

Ya Allah, bantulah kami, pandulah kami ke jalan Mu. Ajarkan lah kami, berikan ilham kepada kami. Kami ingin pergi ke rumah Mu semata-mata kerana Mu ya Allah, semata-mata kerana Mu ya Allah.

Ya Allah, Kau ampunilah diri kami. Ya Allah, bersama-sama kami nanti adalah kedua ibu bapa kami. Ya Allah, kami pergi ke rumah Mu semata mata untuk beramal ibadah kepada Mu. Janganlah Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau sukarkan perhubungan antara kami.

Ya Allah, Kau berilah perasaan kasih sayang, cinta mencintai antara kami, saling maaf bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan bermasam muka. Jadikanlah kami saling faham memahami dan saling kasih mengasihi. Ya Allah, jauhilah kami dari bertelingkah dan berselisih faham yang boleh menjejaskan amal ibadah kami di sana nanti ya Allah. Jangan Kau uji kami dalam soal ini ya Allah.


Ya Allah, peliharalah kesihatan kami sepanjang berada di sana nanti. Mudah mudahan dengan kesihatan yang Kau kurniakan kepada kami. Kami dapat beramal ibadah sebaik mungkin dan dapat mendekatkan diriku kepada Mu. Namun ya Allah, jika kami ditimpa masalah kesihatan sekalipun, kami mohon pada Mu agar ia tidak mengganggu amal ibadah kami disana nanti. Kau kuatkan semangat kami, berikan kami kekuatan fizikal dan mental sepanjang kami berada dirumah Mu. Bantulah kami ya Allah.

Ya Allah, ya tuhan kami. Lindungilah penglihatan kami, lindungilah pendengaran dan lidah kami, agar kami tidak melakukan perkara yang buruk. Agar kami tidak terdengar cerita yang buruk. Agarkami tidak menzahirkan ucapan yang buruk ya Allah.

Ya Allah, Kau jauhi kami daripada mereka yang berniat jahat, yang suka menipu ya Allah. Temukanlah kami dengan mereka yang baik baik ya Allah. Ya Allah bantulah kami ya Allah.

Ya Allah, kami mahu berubah kepada yang lebih baik. Jadikanlah ibadah haji ini sebagai sempadan iman supaya kami berubah ke arah yang lebih baik. Jadikanlah kami seorang yang penyabar, seorang yang pengasih dan seorang yang penyayang. Ya Allah, kami mahu berubah ya Allah. Bantulah kami ya Allah.

Ya Allah ya Tuhanku, Kau permuhdakan segala urusan kami. Berikan perasaan bersabar kepada kami seumpama sabarnya Nabi Ayub. Ya Allah mudahkan urusan kami semasa menunaikan ibadah haji nanti. Jangan Kau uji kami dengan sesuatu yang tidak mampu kami menangggungnya Ya Allah.

Ya Allah, kami datang ke rumah Mu semata mata kerana Mu, kami ingin melakukan ibadah dengan penuh khusyuk lagi tawaduk. Berikanlah ruang kepada kami untuk beramal ibadah di tempat yang mustajab dan terbaik ya Allah. Dorongkan hati kami untuk melakukan amal ibadah yang terbaik dalam setiap amalan kami.

Ya Allah, bantulah kami dalam urusan tandas kami. Jangan sampai kami kerap ke tandas lantas menggangu urusan ibadah kami. Peliharalah ibadah kami. Peliharalah wuduk kami. Jangan sampai urusan tandas itu menyusahkan kami. Wahai tuhan, bantulah kami.

Ya Allah, apabila kami pulang ke Malaysia nanti, kami mohon kepada Mu agar kami menjadi manusia yang lebih baik di sisi Mu. Dekatkan diri kami dengan Mu. Permudahkan kami beramal ibadah kepada Mu sebagaimana kami beramal ibadah di Mekah dan Madinah.

Ya Allah, seandainya ini perjalanan pertama dan terakhir kami ke rumah Mu, jadikanlah ia yang terbaik buat kami. Sesungguhnya kami datang semata mata kerana Mu. Ikhlas beribadah kerana Mu. Seandainya Kau menjemput kami untuk bertemu dengan Mu ketika kami pergi menunaikan haji ini, Kau matikanlah kami dalam keadaan beriman. Kau masukkanlah kami ke syurgaMu. Wahai Tuhan, terimalah kami. Sesungguhnya hidup kami, mati kami, ibadah kami, semata mata kerana Mu.

Saya membaca doa dalam keadaan betul betul khusyuk sehingga saya menangis apabila merayu kepada Allah. Ramai tetamu yang turut tersentuh dan turut mengalirkan air mata. Inilah yang dikatakan kita betul betul berharap daripada Allah untuk mengkabulkan segala doa doa kita.

Dihati saya, semoga Allah memperkenankan segala doa tadi. Saya benar benar sebak. Terkenang, perjalanan ini yang sudah semakin hampir. Ya, ia sudah bermula. Bermula dengan perjalanan ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Imam mengazankan sebelum kami keluar dari rumah

Mak Long Kamariah (Memegang Beg) turut menangis ketika saya membaca doa. Mak Cik yang tinggal di depan rumah Maria turut mengalirkan air mata.

Ini yang saya mahu. Saya mahu mereka yang tidak pergi pun merasai apa yang kami rasa. Saya nak perasaan itu kalau boleh dikongsi bersama. Selepas saya habis membaca doa, Mak Long Kamariah datang meminta surat doa itu. Dia kata ada saudaranya yang turut akan menunaikan haji pada tahun ini yang pergi lewat sedikit daripada kami. Alhamdulillah, doa yang dibaca terbuku dihati saya. Moga ia terbuku juga dihati orang lain yang mendengarnya.. Amin..

Abah yang sudah bersiap sedia untuk keluar

Orang ramai yang sudah tiba di Kelana Jaya.

Sebelum pergi lagi, kami sudah berbincang. Hanya abang seorang sahaja yang pergi menghantar kami. Itu jugalah nasihat yang diberikan dalam buku Travelog Haji, tulisan Prof Kamil. Dan abang pun sekadar menurunkan beg kami dan kemudian terus balik. Saya rasa itu yang terbaik.

Sekiranya ramai saudara mara kita yang datang menghantar, akan ada beberapa masalah. Yang pertama akan memenuhkan ruang menunggu yang terhad. Dan yang kedua, jemaah haji yang akan pergi terpaksa 'entertain' saudara mara yang datang. Dan ini pasti meletihkan jemaah haji yang bakal menempuh perjalanan yang jauh dang mengambil masa yang lama.

Di sini, saya sekeluarga mudah kerana hanya kami berempat di sini. Kami tidak perlu 'melayan' sesiapa lagi disini. Kami ada sedikit masa untuk berehat, sementara menunggu untuk dipanggil oleh pihak Zahafiz pada jam 10.30 malam dan Tabung Haji pada jam 1.30 pagi.

Kami tiba di sana sekitar jam 9 malam. Semasa sampai di sana, saya lihat orang ramai sudah memenuhi ruang menunggu di Kompleks Tabung Haji. Masya Allah, ramainya orang. Tetapi, saya tidak nampak pun jemaah Zahafiz. Yang ada, jemaah dari syarikat syarikat lain.

Pada awalnya, saya menyangka, kami jemaah yang terakhir sampai. Rupa rupanya, jemaah yang berkumpul dihadapan kami adalah jemaah dari penerbangan KT20. Kami pula KT21. Selepas tersedar, baru saya tahu kamilah jemaah dari KT21 antara yang terawal sampai. Tiada masalah bagi kami, kami merehatkan diri di ruang yang ada.

Jam 10.30 malam, pihak Zahafiz mula menyuruh jemaah mereka membuat pendaftaran. Di sini, kami menerima pelbagai bentuk hadiah yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk dibawa ke Tanah Suci. Yang menjadi masalahnya, disebabkan terlalu banyak hadiah yang diterima, kami terpaksa membuka beg besar yang dah pun kami kunci kemas untuk mengisi barang yang diberikan.

Banyak barang yang diberikan, antaranya payung, botol spray untuk mengambil wudhu, buku panduan haji, gelang tangan, krim cuci muka, sabun, krim pelembap, dan bermacam macam lagi.

Pengurusan Zahafiz, Ustaz Salehuddin menyampaikan taklimat ringkas kepada kami semua para jemaah.

Ahli keluarga yang menghantar keluarga mereka menunaikan haji di luar Kompleks. Ketika ini, kami para jemaah sudah bersedia untuk mendaftar masuk dengan Tabung Haji.

Penerangan yang diberikan oleh pihak Tabung Haji.

Ketika berada disini, kami diperdengarkan dengan lagu dari kumpulan Raihan, I'tiraf. Nasyid yang betul betul menyentuh perasaan saya. Saya dan Maria memejamkan mata dan mengikuti bait bait lirik lagu ni. Tanpa kami sedari, air mata mula mengalir. Air mata keinsafan yang memberi motivasi kepada kami untuk melakukan yang terbaik di Tanah Suci nanti. Insya Allah.

Seterusnya, kami dibawa menaiki bas menuju ke KLIA. Sebanyak 9 buah bas yang dikawal oleh pihak polis yang membawa kami terus ke KLIA. Terasa perjalanan ini dipermudahkan Allah kerana semua trafik terpaksa berhenti untuk memberi laluan kepada kami.

Bas terus masuk ke dalam kawasan KLIA, berhampiran tempat 'parking' kapal terbang. Sebelum membawa kami terus ke pintu berlepas. Berhampiran dengan Kapal Terbang Saudi Airlines yang sudah bersedia menanti kami.

Maria dan Mak di pintu berlepas

Kami bersiap sedia untuk menaiki kapal terbang.

Saya sempat bergambar sebelum menaiki kapal terbang
.
Inilah kisah perjalanan kami dari rumah sehingga ke KLIA sebelum menaiki bas. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Sehingga waktu ini, segalanya dipermudahkan Allah.
.
Insya Allah, selepas ini akan saya kongsi pengalaman pengalaman yang seterusnya.
.
Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top