Assalamualaikum,

Nasihat Prof Kamil yang berikutnya:

4) QIAMULLAIL & PERANCANGAN WAKTU IBADAH

Prof Kamil mengajak kita semua para jemaah haji untuk bangun seawal 1.30 pagi, dan pergi ke Masjid untuk menunaikan Qiamullail pada pukul 2.00 pagi.

Subuh hanya masuk pada pukul 5.00 pagi.

Dalam hati saya terdetik "Gila apa nak bangun pukul 1.30 pagi. 30 tahun aku hidup tak pernah buat macam ni. Pukul 2 pagi dah di Masjid. Nak buat apa lama lama kat sana. Mesti mengantuk."

Tapi, sejahil jahil saya, saya terfikir. Kalau Prof Kamil boleh buat, kenapa aku tak boleh buat. Dia pun orang, aku pun orang. Dia sedikit berumur. Aku lebih muda. Tak sepatutnya dia boleh buat aku tak boleh buat. Tetapi saya mendiamkan sahaja.

Prof Kamil kemudiannya mendedahkan rahsianya.

"Rahsianya. Tidur di Tanah Suci ini seperti waktu Malaysia. Jangan ubah waktu tidur. Kalau ubah waktu tidur, pasti tidak boleh buat macam ni", Prof menjelaskan.

Saya sebenarnya dah pun baca tips ni dalam buku Travelog Haji dan 50 Tips Motivasi Haji. Sebelum ke sana, saya 50-50 aja boleh buat. Hati nak buat, tapi tak yakin boleh buat. Tapi, bila mendengar sendiri nasihat dari Prof, auranya terasa lebih kuat. Lebih menusuk kalbu. Percentage untuk buat tiba tiba meningkat.

"Disini, cuba tidur seawal jam 9 malam. Di Malaysia waktu ini jam 2 pagi. Waktu yang amat sesuai untuk tidur. Kemudian bangun seawal 1.30 pagi. Ketika ini, jam di Malaysia sudah pun 6.30 pagi. Memang waktu ini kita sudah bangun pun kalau di Malaysia. Jam 2.00 pagi kita ke Masjid. Di Malaysia jam 7.00 pagi kita sudah pun ke pejabat. Apabila kita bangun, kita tidak akan mengantuk kerana kita tidur ikut jam di Malaysia". Prof menambah.

Saya memikir. Ada logiknya.

"Dan selepas solat Subuh, kita balik ke hotel untuk makan dan bersiap. Sekitar jam 8 pagi. Di Malaysia waktu ini jam 1 tengah hari. Apa yang paling 'best' untuk kita buat waktu tengah hari di Malaysia. Tidur la kan. Di sini kita tidur 2 jam. Di sini, kalau hantu tidur pun tak boleh tidur 2 jam. Pukul 10 pagi kita bangun. Bersiap dan terus ke Masjid untuk Solat Sunat Dhuha dan Solat Zuhur."

"Selepas Solat Zuhur, balik ke hotel makan dan tidur sekejap dalam 45 minit - 1 jam. Kemudian, bangun untuk pergi Solat Asar, dan beramal ibadah di Masjid sehingga waktu Isyak. Dan ulang perkara yang sama setiap hari", panjang lebar Prof menerangkan.

Saya semakin faham dengan jadual waktu ini. Nampaknya, kalau saya ikut jadual ini insya Allah waktu saya di Masjid akan lebih lama berbanding waktu saya di hotel. Ini yang saya mahu. Nampak praktikal dan mampu dibuat.

Saya semakin gembira. Bersyukur tak terhingga, kerana semua tips ini saya dapat pada hari kedua saya di Madinah. Masih awal dan masih boleh diperbaiki seperti yang dicadangkan.

"Satu perkara yang nak cakap. Kalau hati betul betul nak buat, insya Allah boleh buat. Jangan hipokrit. Mulut saja cakap nak buat tapi hati tak bersungguh pun." Prof memberi amaran.

Saya kemudian bertanya, "Prof, masa Qiamullail nak buat apa? 3 jam di Masjid. Dari pukul 2 pagi sampai pukul 5 pagi. Lama tu"

Prof menceritakan, "Firdaus, kalau boleh masa sampai, jam 2 pagi kita masuk ke Raudhah. Solat Tahiyatul Masjid dan Solat Hajat serta berdoa. Sekitar jam 2.30 pagi, kita keluar dari Raudhah. Kemudian kita duduk di saf hadapan. Kita solat tahjud 6 rakaat. 2 rakaat - 2 rakaat - 2 rakaat. Tapi, jangan la kita solat macam kita solat di Malaysia. Di sini, kita solat dengan khusyuk dan baca perlahan lahan. Hati sentiasa ingat kepada Allah. Boleh menitis air mata kita masa solat. 6 rakaat ni kalau boleh buat dalam 30 minit."

"Pukul 3 pagi, bermunajat kepada Allah. Berdoa kepada Allah. Minta Ampun dari Allah. Mohon segala hajat daripada Allah pada waktu ini. Berdoa dan munajat sekitar 30 minit. Jam 3.30 pagi. Bersolat lagi. Solat Sunat Taubat. Solat Sunat Hajat. Solat Sunat Hajat. Habis 30 minit. Jam 4 pagi. Baca Quran dan berzikir sementara menunggu waktu Subuh. Hampir waktu Subuh, Solat Sunat Witir. Kalau boleh buat semua ni, insya Allah. Masa 3 jam akan terasa singkat."

Sekali lagi, saya nampak ia satu nasihat yang amat praktikal. Dan boleh dibuat dan dicuba.

Kemudiannya, Prof membuat 'libasan' terakhir kepada saya dengan menceritakan kelebihan bangun Qiamullail pada waktu malam. Seperti yang terdapat dalam sebuah hadis Qudsi.

"Allah turun ke langit dunia, ketika satu pertiga malam masih tersisa. Allah menyeru: Adakah hantar hambaku yang mahu berdoa kepadaku supaya aku mengkabulkan permintaannya? Adakah antara hambaku yang meminta ampun kepadaku supaya aku mengampunkannya? Adakah antara hambaku yang meminta kepadaku supaya aku memenuhinya?" (Hadis direkodkan Bukhari dan Muslim)

Nah. Satu pakej yang lengkap. Saya semakin teruja untuk melakukannya. Nasihat yang padat dan disertai dengan motivasi yang sangat baik. Saya gembira. Bersyukur dapat berjumpa Prof. Bersyukur kepada Nya atas segalanya.

Tidak sabar menanti waktu malam. Akan saya praktikkan apa yang Prof nasihatkan. Insya Allah.

1 comments:

  1. beruntung Haji Firdaus dapat berjumpa Prof Kamil,dapat motivasi lansung dari beliau,kamipun secara tak lansung dapat juga pelajaran membaca blok ini ,Alhamdulillah

    ReplyDelete

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top