Assalamualaikum,

"Ya Allah, Kau tetapkanlah masa yang terbaik untuk aku pergi menunaikan haji. Sekiranya Kau takdirkan aku pergi ke menunaikan haji pada tahun ini, Kau permudahkanlah urusanku ke arah itu, jika tidak Kau tetapkan lah masa lain yang lebih baik untuk aku pergi menunaikan haji"

Inilah doa yang saya baca selepas membuat pendaftaran dengan pihak Zahafiz. Saya memohon kepada Allah agar Dia menetapkan masa yang terbaik untuk saya pergi menunaikan haji. Selama 9 bulan saya berdoa sebegini.

Apabila berdoa sebegini, hati saya tenang kerana saya tahu Allah pasti memberikan yang terbaik kepada saya sekeluarga. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan. Allah lebih mengetahui apa yang tidak saya ketahui.

Alhamdulillah, Allah memilih saya untuk menjadi tetamunya pada tahun ini. Lalu dikirimnya saya kad jemputan ini.



Kad Jemputan ini saya harap mampu menjadikan saya insan yang lebih baik dan bertakwa kepada Nya. Amin.


Surat ini saya terima pada 21 September 2011. 15 hari sebelum tarikh saya berangkat pergi ke Tanah Suci.

Alhamdulillah, segala persiapan ilmu telah pun hampir sempurna.

Saya selalu menjadikan buku Travelog Haji: Merubah Sempadan Iman ( THMSI ) sebagai panduan saya sebelum menunaikan haji. Bukan sekali, bukan dua kali, tapi hampir 4 kali saya membaca buku itu. Semuanya dilakukan untuk memberikan semangat kepada saya untuk kuat melakukan amal ibadah ketika berada di sana.

Saya sebenarnya kagum melihat apa yang telah dilalui oleh Prof Kamil, sebelum, ketika dan selepas beliau melakukan ibadah haji.

Sebagai contoh, cuba bayangkan isteri Prof Kamil terpaksa berdoa selama hampir 6 tahun untuk Allah membuka hati suaminya untuk pergi menunaikan haji. Kak Roza berdoa bermula dari tahun 2000 dan akhirnya hanya pada tahun 2006 doanya dimakbulkan. Tapi beliau tetap berdoa tanpa rasa jemu. Sesuatu yang saya rasa tak ramai orang yang mampu buat.

"Ya Allah, aku ingin menunaikan haji ketika usia muda. Aku ingin pergi tetapi aku ingin pergi bersama suamiku. Ya Allah, Kau lembutkan hatinya, Kau bukakan pintu hatinya agar mahu menunaikan haji bersamaku. Kau yang Maha Berkuasa Ya Allah"

Inilah doa Kak Roza. Doa yang mudah. Tetapi dilakukan setiap malam.

Setahun sebelum Prof Kamil menunaikan haji, pintu hati beliau telah dibuka oleh Allah untuk kembali ke pangkal jalan dan beliau mula mendekatkan diri kepada Allah dengan Solat Hajat, Tahjud dan Taubat. Setiap malam. Ya, dua jam setiap malam. Sesuatu yang saya tak tahu siapa pada zaman ini boleh secara konsisten melakukan qiamullail dua jam setiap malam.

Dan beliau selalu berdoa selama hampir setahun memohon kepada Allah agar Allah mempermudahkan segala urusan dia ketika menunaikan haji. Dan Allah Maha Mendengar dan telahpun memakbulkan segala doanya.

Saya kagum. Beliau dapat semua yang beliau nak. Segala urusannya dipermudahkan Allah sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji. Kenapa? Kerana beliau berdoa tanpa jemu, dua jam setiap malam kepada Allah. Mengapa semua doanya termakbul. Sebab itu adalah janji Allah kepada mereka yang meminta.

Anda boleh dengar ceramah beliau yang terdapat dalam VCD yang diberikan percuma apabila anda membeli buku Travelog Haji: Merubah Sempadan Iman versi Terkini.

Nampaknya, Kak Roza dan Prof Kamil membuat persediaan doa begitu awal. Mereka bersedia untuk ke sana. Saya juga harus begitu. Saya pun mahu lakukan apa yang Prof Kamil dah lakukan.

"Ya Allah, Kau berilah aku peluang untuk merasai apa yang Prof Kamil rasa semasa menunaikan haji"

Saya menambah doa saya. Cumanya, saya hanya ada tempoh masa dua minggu untuk berdoa.

Dari awal lagi, saya sudah jauh terkebelakang berbanding Prof Kamil dari segi berdoa sebelum menunaikan haji. Tetapi, saya harus berdoa.

Saya menjadikan koleksi doa beliau di dalam buku Travelog Haji sebagai doa saya. Saya sesuaikan dengan apa yang saya mahu minta. Saya taip semula dan saya mula membaca doa doa ini.

Pada waktu ini, saya dan Maria mula bangun malam melakukan Qiamullail menunaikan Solat Tahjud, Solat Taubat dan Solat Hajat. Meminta doa kepada Allah. Walau pun sudah terlambat. "Better late than never"

Kepada para pembaca, saya mohon para pembaca membaca doa doa yang saya tulis dibawah. Walau pun panjang, saya mahu anda faham apa yang saya baca supaya anda akan faham apa yang saya akan ceritakan dalam entry entry yang berikutnya. Saya akan menceritakan betapa hebatnya berdoa kepada Allah di mana Allah mempermudahkan dan memperkenankan segala doa saya.

"Ya Allah, kami memohon keampunan Mu ya Allah. Kami memohon rahmat Mu ya Allah. Kami memohon taufik dan hidayah Mu, ya Allah. Kami dijemput oleh Mu bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Kami bersyukur atas segala nikmat yg Engkau berikan kepada kami sekeluarga.

Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamu Mu ya Allah. Tetamu yang paling istimewa ya Allah, tetamu yang paling-paling istimewa ya Allah. Kami tahu, Engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan. Ya Allah, ampunilah diri kami ya Allah.

Ya Allah, Kau peliharalah keselamatan dan kesihatan ahli keluarga kami di Malaysia. Tenangkanlah hati mereka. Jangan Kau cetuskan rasa rindu kepada kami sepanjang kami menjadi tetamu Mu ya Allah. Kau hilangkan lah rasa rindu kami kepada mereka semasa kami berada di sana.

Ya Allah, berikanlah kesihatan kepada ibu bapa ku dan pembantu rumah ku serta kakak ku. Kau lindungilah mereka. Masukkanlah mereka dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Kau balaslah budi baik mereka yang sanggup bersusah payah menjaga anak kami dengan memberi kemuliaan, kesejahteraan dan kebahagian di dunia dan akhirat. Kau ampunilah dosa dosa mereka ya Allah.


Ya Allah, Kau ampunilah diri kami. Ya Allah, bersama-sama kami nanti adalah kedua ibu bapa kami. Ya Allah, kami pergi ke rumah Mu semata mata untuk beramal ibadah kepada Mu. Janganlah Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau sukarkan perhubungan antara kami.

Ya Allah, Kau berilah perasaan kasih sayang, cinta mencintai antara kami, saling maaf bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan bermasam muka. Jadikanlah kami saling faham memahami dan saling kasih mengasihi. Ya Allah, jauhilah kami dari bertelingkah dan berselisih faham yang boleh menjejaskan amal ibadah kami di sana nanti ya Allah. Jangan Kau uji kami dalam soal ini ya Allah.


Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami. Bermula dari kami keluar dari rumah ini sehinggalah kami kembali ke sini. Janganlah kami terjebak dengan sebarang kesulitan yang menyukarkan kami untuk sampai ke rumah Mu. Jauhilah kami dari mala petaka atau bencana yang akan menimpa kami Ya Allah.

Ya Allah, jangan Kau pisahkan kami. Berilah ketengan, keamanan dan kemudahan terutamanya dalam soal-soal kesihatan sepanjang perjalanan kami. Elakkan kami dari perasaan kerap membuang air kecil. Peliharalah kesihatan kami, mudah mudahan dengan kesihatan yang Kau berikan. Dapatlah kami beramal ibadah untuk mendekatkan diri kami kepada Mu.


Ya Allah, hanya pada Mu lah, tempat kami bergantung harap. Berikanlah kemudahan kepada kami sekeluarga. Berikanlah keistimewaan kepada kami dalam segala perkara. Tempatkanlah kami dikawasan yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Ya Allah, kami memohon kepada Mu agar tempat tinggal kami tidak menjadi penghalang kepada tujuan kedatangan kami ke Tanah Haram ini.

Ya Allah, kami mahu beramal ibadah kepada mu. Semata mata untuk Mu, ya Allah. Permudahkanlah makan minum kami dan berikanlah kesihatan yang baik sepanjang kami di sana. Kau berikanlah kesabaran kepada kami dalam menghadapi sebarang cabaran dan dugaan disana nanti.

Ya Allah, semasa kami di Madinah nanti, Kau berikanlah rasa cinta, rasa sayang dan rasa kasih kepada Masjidil Nabawi. Ya Allah, kami mahu yang terbaik. Kamu mahu beramal ibadah di sana. Berikanlah kami peluang menziarahi dan melalui Makam Rasulullah. Berilah kami ruang untuk bersembahyang di Raudah. Cukupkanlah sembahyang kami sekurang kurangnya 40 waktu secara berterusan.

Berilah kami peluang untuk melakukan yang terbaik di sana nanti ya Allah.

Ya Allah, kami akan mengerjakan haji Tamattuk. Kau terimalah ibadah ini ya Allah. Semasa kami di Mekah nanti, mudahkanlah kami melakukan ibadah umrah wajib.

Berikanlah laluan dan lorongan bagi kami melakukan tawaf umrah. Permudahkanlah kami melakukan sai’. Ya Allah, berikanlah kekuatan dan kesihatan untuk kami melakukan amal ibadah ini. Ya Allah, jangan Kau uji kami dengan rasa jarak yang jauh, hati yang malas dan tenaga yang tiada.


Ya Allah, semasa kami berada di Tanah Haram nanti, janganlah Kau lalaikan kami dengan bersenang lenang dan malas beramal ibadah. Ya Allah, kami hadir sebagai tetamu Mu dalam keadaan jahil. Kaulah yang dapat membantu kami.

Ya Allah, berikanlah kami perasaan jatuh cinta kepada Masjidil Haram. Gerakkanlah hati kami supaya sentiasa berada di sana. Beramal ibadah di sana. Itulah cita-cita kami ya Allah. Kami datang semata mata kerana Mu ya Allah. Kerana Mu ya Allah. Ya Allah, tutuplah pintu hati kami daripada lalai bershopping di sana nanti.


Ya Allah, penuhilah ruang masa kami dengan melakukan amal ibadah yang sepatutnya kami lakukan. Ya Allah, kami ingin khatam Al Quran di Masjidil Haram Ya Allah. Ya Allah, kami ingin bersembahyang di Hijir Ismail Ya Allah. Ya Allah, kami ingin mencium Hajar Aswad. Ya Allah, kami ingin berdoa dihadapan Multazam ya Allah. Berilah ruang kepada kami apabila kami memerlukannya ya Allah. Berikanlah rasa kasih yang mendalam kepada Masjidil Haram.

Ya Allah, Kau ajarlah kami. Kau bantulah kami. Kau tunjukkanlah dengan sebaik-baik pengajaran. Kau berikanlah ilham untuk kami melakukan yang terbaik. Hanya yang terbaik untuk Mu ya Allah. Ampunilah kami ya Allah, hanya kepada mu tempat kami berserah dengan sesungguhnya.


Ya Allah, gerakkanlah hati kami untuk melakukan umrah sunat sebanyak mungkin. Ya Allah, gerakkanlah hati kami bagi membanyakkan amal di Masjidil Haram. Berikanlah perasaan kasih sayang, cinta dan keinginan untuk berada di sana. Ya Allah, mudahkanlah untuk kami melakukan ibadah tawaf, bersembahyang dan membaca al quran.


Ya Allah, ampunilah kami. Permudahkanlah perjalanan kami dari Mekah ke Arafah. Jauhilah kami daripada sebarang mala petaka. Jangan Kau uji kami dengan sesuatu yang tidak dapat kami memikulnya Ya Allah. Berikanlah kesihatan kepada kami. Amankan hati kami. Tenangkan perasaan kami. Ingatkan kami untuk bertalbiah di sepanjang jalan.


Ya Allah, mudahkan urusan kami ketika berada di Arafah. Berikanlah kemudahan bilik air kepada kami sekeluarga. Janganlah ia menjadi masalah yang besar kepada kami. Ya Allah, tetapkan hati kami untuk beramal ibadah. Ya Allah, kuncilah mulut kami daripada bercakap perkara yang tidak memberi faedah. Jauhilah kami daripada mereka yang suka bersembang, menghabiskan masa dan membazir waktu.

Ya Allah, semasa wukuf nanti, berikanlah ruang kepada kami diluar khemah untuk mengadap Mu bersama ahli keluarga. Ya Allah, Kau izinkan kami untuk beramal ibadah dari gelincir matahari sehinggalah terbenam matahari. Ya Allah, berikanlah kesihatan yang baik semasa wukuf. Jangan Kau lalaikan kami daripada pelbagai perkara yang menyusahkan.

Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami ke Muzdalifah. Izinkan kami untuk bermabid di sana. Dan mudahkanlah perjalanan kami ke Mina. Berikanlah kesihatan yang terbaik semasa kami di sana. Mudahkanlah urusan melontar kami ya Allah. Jauhilah kami daripada kesesakan manusia. Berikanlah ruang dan lalauan untuk kami berjalan dan melontar di semua jamrah. Jauhilah kami daripada sebarang kecelakaan semasa kami melakukan ibadah ini. Kami berserah kepada Mu ya Allah. Permudahkanlah kami menyelesaikan segala rukun dan wajib haji di sana nanti.

Ya Allah, berikanlah taufik dan hidayah Mu kepada kami. Kau berikanlah kerahmatan Mu kepada kami. Ya Allah,selepas selesai segala-galanya, kami memohon kepada Mu, permudahkanlah perjalanan pulang kami. Jauhilah kami dari malapetaka sepanjang perjalanan pulang kami. Berikanlah keselamatan kepada kami sehingga kami dapat berjumpa dengan ahli keluarga kami. Ya Allah, Kau berkatilah kami ya Allah. Ampunilah kami ya Allah.

Ya Allah, kami ini adalah manusia jahil. Kami ini manusia yang kerdil. Kami banyak dosa kepada Mu. Ampunilah kami. Kami pergi menunaikan fardu haji semata mata kerana ketakutan dan keinginan untuk menyampaikan rasa syukur kami kepada Mu. Kau yang Maha Berkuasa. Kau yang memakbulkan segala permohonan hamba Mu. Ya Allah, kami mahu yang terbaik, yang teristimewa dan yang terpilih diantara jutaan hamba-hamba Mu.

Ya Allah, berikanlah dan kurniakanlah haji yang mabrur kepada kami sekeluarga, haji yang Kau redhai dan yang mulia disisimu. Ya Allah, apabila kami pulang ke Malaysia nanti, kami mahu berubah ya Allah. Kami mahu menjadi manusia yg lebih baik disisimu.

Ya Allah, berikanlah kebahagian kepada kami sekeluarga. Berikanlah rezeki yang halal dan jauhilah kami daripada mereka yang suka membuat fitnah. Kaulah yang mencipta kami dan kami hanyalah hamba Mu yang hina dan tidak berpengetahuan.


Ya Allah, sekiranya kami dipanggil oleh Mu, Kau masukkanlah kami dikalangan orang yang beriman, mereka yang beramal soleh. Kau tempatkanlah kami di dalam syurga Mu yang paling istimewa. Syurga Firdaus ya Allah. Kami mohon keredhaan Mu.

Inilah doa yang saya kumpul dan saya ubah mengikut kesesuaian saya yang saya ambil dari buku THMSI hasil tulisan Prof Kamil.

Tahukah anda? Betapa kuatnya kuasa doa. Walapun tempoh saya membaca doa ini kurang dari dua minggu. Tetapi, kesannya amat hebat. Selepas saya melalui perjalanan haji, baru saya rasa apa yang saya doakan itu dimakbulkan Allah. Bukan satu dua permohonan saya dimakbulkan. Semua doa yang saya baca diatas dimakbulkan Allah. Alhamdulillah. Saya terasa segala permohonan saya dipermudahkan Allah. Alhamdulillah. Sujud syukur saya kepada Allah atas segala pertolongan yang diberikan semasa saya pergi menunaikan haji.

Saya akan menceritakan bagaimana setiap satu doa diatas yang dimakbulkan Allah dalam entry entry berikutnya nanti. Dan lepas itu, saya harap anda dapat merasai apa yang saya rasa. Allah itu Maha Berkuasa. Allah itu Maha Kaya. Dia yang mampu untuk memperkenankan doa doa hamba Nya. Tugas kita hanyalah berdoa, berusaha dan bertawakkal. Insya Allah, berjaya.

Kepada para pembaca, sekiranya anda hendak pergi menunaikan haji. Berdoa lah, mohon kepada Allah agar Allah memberi yang terbaik kepada anda. Mohon dipermudahkan segala urusan kita. Dan selepas itu, anda akan dapat merasai apa yang saya rasa.

Wassalam

* Saya mohon kepada anda untuk kongsikan dengan sahabat atau saudara mara anda mengenai perjalanan haji yang telah saya lalui ini. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat dan semoga ia menjadi 'pencen kubur' saya suatu hari nanti. 

* Anda juga bebas untuk copy & paste segala artikel berkaitan haji dalam blog ini di blog anda asalkan anda letakkan linknya di situ selagi ia tidak bertujuan komersial. Anda juga boleh print segala doa doa yang telah saya tulis di dalam blog ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin.

6 comments:

  1. Alhamdulillah saudara... Terima kasih atas perkongsian. Saya Mohon copy doa tersebut untuk saya juga berdoa kepada Allah bagi perjalanan Haji Saya tahun 2013 ini. Terima kasih

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum. Entry yang sangat terkesan. Saya mohon copy and amend. Walapun masih menunggu panggilan Ilahi sebagai Duyufurrahman 1436.. InsyaAllah masih berharap. Doakan kami. Terima kasih

    ReplyDelete
  3. اَلْحَمْدُ ألِلَّه...kerana share d sini ..saya mohon copy utk kegunaan sya di sana nanti ..
    ان شاء الله ﺗﻌﺎﻟﯽ..moga Alah permudahkan urusan haji sya nanti ..2016

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah.. izinkan saya share.. sangat terkesan ..Moga Allah memberi rahmaan kepada tuan.

    ReplyDelete

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top