Setiap orang yang pergi menunaikan umrah atau haji pasti ada cerita tersendiri bagaimana mereka mencium batu hajarul aswad. Alhamdulillah, saya berjaya mencium hajarul Aswad dalam ziarah-ziarah umrah saya yang terdahulu.
Pengalaman mengucup hajarul Aswad semasa mengerjakan umrah terdahulu sedikit sebanyak membantu saya untuk mengucup hajarul Aswad semasa mengerjakan haji kali ini.
Sebelum saya bercerita mengenai pengalaman saya mengucup hajarul Aswad semasa menunaikan haji, lebih baik saya berkongsi dengan para pembaca mengenai Sejarah dan Keistimewaan Hajarul Aswad itu sendiri.
Apabila kita faham keistimewaannya, barulah kita akan rasa teruja untuk mengucup hajarul Aswad ini.
SEJARAH HAJARUL ASWAD
Hajarul Aswad bermaksud batu hitam. Ia merupakan salah satu batu yang terdapat di penjuru Kaabah.
Apabila kita hendak mengerjakan tawaf, kita hendaklah memulakan tawaf itu dengan membetulkan bahu kiri kita ke arah Hajarul Aswad. Kemudian berpusing sebanyak tujuh kali mengelilingi Kaabah dan tawaf berakhir di Hajarul Aswad juga.
Menurut Sejarah Islam, Hajarul Aswad berasal dari syurga. Asalnya batu ini berwarna putih tetapi bertukar warna kerana ramai orang mengerjakan haji dengan membawa bersama-sama mereka dosa-dosa yang mereka lakukan.
Batu
Hajarul Aswad ini asalnya berwarna putih dan berkilauan. Namun kini ia
sudah berwarna hitam. Kita disunatkan mencium batu ini, tetapi kita
perlu mencium batu ini tanpa bunyi. Maksudnya, hanya sekadar melekatkan
mulut kepada batu ini tanpa bunyi.
Dikatakannya bahawa sesungguhnya Hajar Aswad adalah salah satu batu dunia yang berasal dari syurga yang dahulunya berwarna putih berkilauan, lalu berubah menjadi hitam kerana perbuatan keji dan kotor yang dilakukan oleh orang-orang musyrik.
Menurut riwayat Ibnu Abbas dan Abdullah bin Amr bin As, dahulu Hajar Aswad tidak hanya berwarna putih tetapi juga memancarkan sinar yang berkilauan. Sekiranya Allah tidak memadamkan kilauannya, tidak seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya.
Pada tahun 606 M, ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 35 tahun, Kaabah mengalami keruntuhan besar sehingga perlu dibina kembali oleh Nabi Muhammad dan kabilah-kabilah terdapat di Mekah ketika itu.
Ketika pembangunan semula itu selesai, dan Hajar Aswad hendak diletakkan kembali ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara kabilah-kabilah itu tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya.
Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum, sebagai orang yang tertua, mengajukan usul bahawa yang berhak untuk meletakkan Hajar Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki pintu Safa keesokan harinya.
Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi rasul. Dengan demikian, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajar Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan kebijaksanaannya, Muhammad tidak langsung mengangkat Hajar Aswad itu.
Ini
Batu Hajarul Aswad. Batu ini pernah terjatuh dari Kaabah satu ketika
dulu dan Rasulullah lah yang telah berjaya memberi jalan penyelesaian
untuk meletakkan kembali ia ke tempatnya.
Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di tengah-tengah serban itu. Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkannya Hajar Aswad.
Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkannya di tempatnya. Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.
KEISTIMEWAAN BATU HAJARUL ASWAD
Batu Hajarul Aswad akan dibangkitkan pada hari kiamat, dengan mempunyai 2 lidah dan 2 mata dan boleh berkata-kata serta memberitahu "Ya tuhanku dia kucup aku, dia betul-betul ikhlas"
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Allah! Allah akan membangkitkannya (Hajarul Aswad) pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada sesiapa yang mengusapnya dengan kebenaran.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Walapun ia adalah batu, ia hidup. Siapa yang menciumnya, ia akan menjadi saksi. Kalau tidak dapat mengucupnya, cukuplah sekadar istilam (mencium dari jauh secara isyarat).
Kedudukan Batu Hajarul Aswad di Kaabah
Amalan itu didakwa sebagai mencontohi kucupan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat yang boleh dilakukan semasa kita mengerjakan haji dan umrah.
Nabi Muhammad menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”
CIUMAN SEBAGAI SUNNAH SEMATA MATAMenurut ajaran Islam, mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi S.A.W. semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu, beliau berkata-kata:
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”
Maka sebelum kita mengucupnya, seharusnya kita niatkan dihati yang kita kucup batu itu semata mata bagi mengikut sunnah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W dahulu. Bukan dengan niat yang lain.
BAGAIMANA CARA MENGUCUPNYA
Cara yang paling afdhal untuk adalah dengan mengucupnya secara terus. Jika tidak dapat, sentuhlah batu itu dengan tangan dan ciumlah tangan itu.Jika tidak dapat, bolehlah menyentuh batu itu dengan tongkat benda kemudian, ciumlah tongkat/benda itu. Jika tidak, cukuplah dengan melambai ke arau batu itu sebagai isyarat menyentuh dan kemudian mencium tangan itu.
LARANGAN SEMASA MENGUCUP HAJARUL ASWAD
Rasulullah s.a.w berpesan kepada Sayyidina Umar yang pergi bersama rombongan 124,000 sahabat pergi membuat haji bersamanya "Ya Umar, jangan kamu menyusahkan orang lain dengan sebab kamu ghairah hendak mengucup hajaraul aswad."
Kalau ada peluang kucuplah, tapi jangan berebut hingga menyusahkan orang lain. Menyusahkan dan menyakitkan orang islam yang lain bererti kita melakukan sesuatu yang 'haram' semata mata untuk melakukan sunnah ini.
PENGALAMAN SAYA
Sejak dari Malaysia lagi, saya memang sudah 'memasang' niat dihati untuk mengucup Hajarul Aswad semasa saya pergi menunaikan haji.
Ditambah lagi dengan motivasi dan tips daripada Prof Kamil untuk mengucup batu ini. Lebih memberi semangat kepada saya untuk melakukannya.
Sebelum menunaikan haji, saya juga ada mendengar ceramah daripada Ustaz Shamsuri melalui CD MP3 berkaitan haji yang menceritakan khusus mengenai Fadhilat, Cara dan Larangan mengucup Hajarul Aswad.
Sedikit ilmu yang saya peroleh ini amatlah rugi jika saya tidak 'praktikkan' ketika berada di bumi Mekah ini. Ingin mengikut Sunnah Rasulullah.
Bagi saya apa yang penting, saya memang berhasrat untuk mencium batu ini. Namun yang memeningkan saya, bagaimana hendak mencium batu ini tanpa menolak orang lain.
Berada disekitar kawasan batu itu sendiri menyebabkan saya ditolak ke kiri dan ke kanan. Tanpa belas kasihan. Memang teramat sukar untuk 'menghampiri' batu ini. Perumpamaan yang boleh saya berikan, 'ibarat orang berebut makanan selepas seminggu tak makan'.
Inilah situasi di hadapan Batu Hajarul Aswad.
Terlalu ramai orang yang berebut dan terlalu kuat tolakan dari kiri ke kanan sehingga saya tak berani nak keluarkan kamera saya untuk mengambil gambar dari dekat. Saya takut kamera saya terjatuh. Dan kalau terjatuh, pasti tidak dapat diselamatkan lagi.
Untuk pengetahuan para pembaca, saya sering berdoa di kawasan Multazam. Kawasan Multazam ini terletak sekitar 1-3 meter dari Batu Hajarul Aswad. Disebabkan terlalu ramai orang yang berebut untuk mencium Batu Hajarul Aswad ini, kawasan di Multazam ini juga sesak.
Kerap berada di Multazam memberi saya gambaran bagaimana strategi yang perlu diatur bagi mencium Hajarul Aswad ini. Apa yang saya perhatikan, mereka yang dapat mencium batu ini adalah mereka yang menggunakan 'kekerasan'. Mereka menolak orang lain sekuat hati mereka untuk sampai ke Hajarul Aswad.
Aduh. Saya tidak mahu begitu. Saya sudah belajar. Hukum yang tadinya Sunat sudah bertukar kepada Haram jika saya menolak dan memudaratkan keselamatan orang lain.
Semasa saya baru tiba di Mekah, bilangan jemaah di Masjidil Haram masih kurang ramai. Keadaan pada waktu ini masih kurang sesak. Namun, pada waktu 'kurang sesak' ini pun saya masih belum dapat menghampiri kawasan Hajarul Aswad.
Saya mula terfikir, kalau saya tidak melakukannya 'sekarang'. Mana mungkin saya boleh melakukannya 'kemudian', iaitu apabila orang bertambah ramai datang ke Mekah.
Dipendekkan cerita, lagi lewat saya mencuba. Lagi sukar saya mendapat peluang ini.
Kalau
orang yang tawaf mengelilingi Kaabah seramai ini. Bayangkan bagaimana
hendak mencium batu Hajarul Aswad pada waktu ini. Sebab itulah saya
merasakan saya perlu bersegera mencium batu ini sebelum orang bertambah
ramai di Masjidil Haram.
Sehingga hari ke 7 saya di Mekah, saya masih belum berjaya mencium batu ni. Setiap waktu orang memang terlalu ramai berebut-rebut hendak mencium batu ni. Tak kira, pagi, tengah hari, petang atau malam, org sentiasa penuh berebut2 utk mencium batu ni.
Jika semasa menunaikan Umrah dahulu. Tipsnya amat mudah. Datang 1 jam sebelum Azan Asar. Beratur dan anda pasti dapat mencium Hajarul Aswad ini. Namun, tip yang sama tidak berlaku untuk kali ini.
Saya
cuba beratur untuk mencium batu ini seperti mana yang saya lakukan
semasa menunaikan Umrah pada tahun 2010. Namun, pada waktu haji tidak
boleh beratur. Kalau hendak mencium batu ini, mesti berebut juga. Aduh.
Macam mana nak berebut tanpa menolak orang lain. Inilah yang dikatakan
kita melakukan yang haram hanya untuk melakukan yang sunat.
Pada satu petang, saya datang awal ke Masjid. Saya beratur untuk mencium batu ini. Barisannya agak panjang. Tetapi rupa rupanya pada musim haji pihak masjid tidak melaksanakan sistem ini. Sia sialah saya beratur pada hari itu.
Saya semakin 'cuak'. Orang semakin ramai datang ke Baitullah. Bermakna semakin ramai orang akan berebut untuk mencium batu ini.
Usah dikenang dengan jemaah dari Afrika, jemaah dari Iran, jemaah dari Iraq dan dari seluruh dunia. Nak dibandingkan saiz saya dan mereka, saya jauh lebih kecil. Sekali mereka tolak saya, saya akan terus hanyut 'menjauhi' kumpulan itu.
Melihat keadaan ini, saya tidak mengesyorkan Maria dan Mak saya untuk mencium batu ini kali ini. Lagi pun mereka dah mencium batu ini semasa kami mengerjakan Umrah pada tahun 2010.
Bapa mertua saya pula tidak 'berminat' untuk berebut rebut bagi mencium batu ini.
Maka, hanya tinggal saya seorang yang jiwa bergelora untuk mencium batu ini. Saya keseorangan. Terdetik di hati saya, untuk menunggu kehadiran Cikgu Khairul, guru saya di MRSM Taiping dahulu. Dia berbadan besar. Dia pasti boleh menolong saya untuk menolak saya dari belakang. Tapi, 'still'... Saya perlu 'menolak' orang lain.
Suatu hari, semasa saya berada di Multazam berhampiran Batu Hajarul Aswad ini, secara tiba tiba saya 'ditolak' dan 'termasuk' dalam golongan mereka yang hendak mencium batu ini. Subhanallah. Siapa yang menolak saya. Saya tidak tahu. Tapi, saya 'termasuk' dalam golongan ini tanpa bersedia.
Saya memakai cermin mata ketika ini. Disebabkan saya rendah berbanding jemaah lain, siku mereka sahaja sudah menyamai kepala saya. Dan tiba tiba, salah seorang dari jemaah hadapan 'tersiku' cermin mata saya. Dan cermin mata saya tercabut keluar. Tangan saya pula pada waktu itu berada di bawah. Cermin mata saya jatuh ke dada saya dan tersangkut antara dada saya dengan badan orang dihadapan saya. Subhanallah.
Saya terus pucat. Kalau cermin mata ini jatuh dan pecah. Saya akan susah. Alhamdulillah, Allah membantu. Saya berjaya keluarkan tangan dari bahagian bawah dicelah celah badan orang lain. Saya ambil cermin mata saya dan terus keluar dari kumpulan itu. Fuh... Syukur Allah selamatkan saya.
Pada hari lain, saya lebih bersedia. Saya sudah membuka cermin mata saya dan diletak di dalam poket. Saya ingin mencuba sekali lagi. Saya tidak mahu menolak orang lain. Saya biarkan diri saya ditolak oleh orang dibelakang saya dan cuba mengikut arus ke arah Hajarul Aswad. Memandangkan batu ini terletak di penjuru Kaabah. Arus manusia datang dari pelbagai arah. Tepi, kanan, kiri, depan dan belakang. Tolakan orang amat kuat.
Secara tiba tiba, tolakan kuat dari belakang membawa saya begitu hampir dengan batu Hajarul Aswad.
Saya begitu hampir dengan Batu ini, saya sudah dapat memegang pemegangnya. Saya menyapu tangan saya ke Batu ini dan mengucup tangan saya. Tetapi saya masih tidak dapat mengucup batu ini dengan mulut saya secara terus.
Tiba tiba, orang dihadapan saya sudah berjaya mencium dan dia mahu keluar. Dia mengundurkan diri ke belakang. Memandangkan saya dibelakang dia, saya juga turut terkeluar sekali. Dalam sekelip mata, saya terus berada jauh dari Hajarul Aswad.
Sekali lagi saya gagal. Saya kecewa. Tetapi saya tidak mahu berputus asa.
Beginilah keadaan org ramai yg berebut-rebut untuk mencium batu Hajarul
Aswad. Ada seorang polis yang akan menunggu berhampiran batu tu ini.
Ikutlah laluan ini. Batu itu terletak betul betul dihadapan polis ini.
Di penjuru Kaabah.
Kawasan ini sentiasa padat. Dan bukan mudah untuk menciumnya. Berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan segalanya.
Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, saya sering berdoa di Multazam dan ia berhampiran dengan Hajarul Aswad. Saya terus membuat pemerhatian bagaimana cara terbaik untuk mengucup batu ini. Sekali lagi, saya rumuskan hanya mereka yang menolak dan merempuh orang lain akan lebih mudah mencium batu ini. Mereka yang berlembut agak sukar melainkan hanya dengan bantuan Allah.
Semasa berdoa di Multazam, terlalu ramai 'agen-agen' dari Indonesia yang mahu membantu saya mengucup Batu Hajarul Aswad ini.
"Pak, udah kucup batunya?"
Saya menjawab, "Belum."
"Mahu dibantu pak?", saya kemudiannya menjawab. "Tak apalah, saya minta bantuan Allah sahaja. Lagi pun, saya tak suka kamu 'meniaga' macam ni dihadapan Kaabah"
Kata kata saya ini menyebabkan mereka marah kepada saya. Saya biarkan sahaja.
Saya teramat tidak setuju jika ada jemaah yang menggunakan 'khidmat' agen agen ini untuk mencium Batu Hajarul Aswad. Agen agen ini akan membawa kita mencium batu ini. Caranya, mereka akan berjalan dihadapan, kita dibelakang mereka. Mereka akan menolak orang hadapan dan membuka ruang untuk kita mengucup batu ini.
Bayarannya, sekitar SR100-SR500. Bergantung kepada kesesakan manusia pada waktu itu.
Saya tak suka cara ini kerana kita hendak melakukan amalan Sunat, tetapi kita melakukan yang haram dengan 'membayar' kepada mereka untuk mereka menolak orang lain. Adakah ini yang kita mahukan? Hanya semata mata untuk mencapai matlamat kita untuk mencium batu ini.
Lebih menyedihkan, kalau jemaah wanita Malaysia yang terpedaya dengan mereka. Jemaah wanita ini akan 'dipeluk' oleh agen lelaki ini sehingga ke hadapan Batu Hajarul Aswad ini.
Bayangkan, kita melakukan dosa yang lebih besar. Iaitu membiarkan diri kita 'dipeluk' oleh lelaki lain. Nauzubillah. Janganlah kita buat begitu dihadapan Kabaah, di dalam Masjidil Haram pula. Sekali lagi ingin saya tekankan, janganlah melakukan yang haram semata mata untuk melakukan yang sunat.
Ada ketikanya, ketika saya dan Maria berada di Multazam untuk berdoa. Ada agen wanita Indonesia pula datang bertanya kepada Maria. "Mahu dikucup Hajar Aswad ibu? Di bantu oleh 5 wanita Indonesia. Kami bisa mengepung ibu. Ibu tak disentuh oleh lelaki. Bayarannya SR500 seorang"
Subhanallah. Mereka betul betul 'berniaga' dihadapan Kaabah.
Walaupun jemaah perempuan membawa jemaah perempuan, saya masih tidak bersetuju kerana mereka masih terpaksa berebut dengan jemaah lelaki yang lain. Pada pandangan saya, kalau jemaah perempuan mahu mencium batu ini sekali pun. Biarlah suami mereka yang membawanya.
Saya berazam untuk mencium batu Hajarul Aswad itu pada sebelah malam. Dengan harapan pada waktu malam akan kurang sesak.
Pukul 2 pagi, saya dan Maria terus bergerak ke Masjidil Haram. Kami terus melakukan tawaf sunat.
Setiap pusingan saya semasa tawaf, saya khususkan doa untuk mencium batu Hajarul Aswad sahaja.
"Ya Allah, aku mahu cium batu Hajarul Aswad ya Allah. Aku tak mahu menolak orang ya Allah. Kau bantulah aku".Selesai menunaikan tawaf, saya menunaikan Solat Sunat Tawaf dan Solat Sunat Hajat berbetulan dengan Multazam. Memohon doa yang sama. Hati saya hanya satu. Saya nak cium batu hajarul aswad pada malam ini juga tanpa menolak orang lain. Macam mana hendak melakukannya? Saya serahkan kepada Allah.
Saya membuka jam, gelang tangan tabung haji, cermin mata dan diserahkan kepada Maria. Saya minta dia tunggu di satu tempat sementara saya menuju ke batu Hajarul Aswad.
Mulut saya sentiasa berselawat meminta pertolongan dari Allah.
Di hati saya, saya akan cuba laluan yang digunakan oleh agen agen Indonesia untuk mencium batu Hajarul Aswad ini. Pada fikiran saya, pasti dan pasti laluan itu yang paling mudah. Kerana mereka sentiasa menggunakan laluan yang sama untuk mencium batu ini. Dan setiap kali itu mereka berjaya.
Allah Maha Kaya. Allah Maha Berkuasa. Setibanya saya di kawasan Multazam, saya 'berjumpa' dengan agen Indonesia yang baru hendak membawa 'mangsa' mereka seterusnya untuk mencium batu Hajarul Aswad.
"Bapak, bapak ikut saja saya. Ikut rapat rapat ya. Bapak buat apa yang saya suruh ya." Agen itu memberi arahan kepada 'mangsa'nya yang juga warga Indonesia.
Allah memberi ilham kepada saya.
Ikut sahaja dibelakang mereka ini. Agen itu dihadapan. Jemaah yang hendak mencium itu dibelakangnya. Dan saya terus mengikut dibelakangnya.
Mereka merapati batu Hajarul Aswad betul betul dari arah Multazam. Iaitu menghampiri Kaabah dari arah polis yang mengawal batu itu. Mereka merapati dinding Kaabah sebelah Multazam. Betul betul mengikut laluan polis itu.
"Pak, rapat ke dinding pak. Rapat ke dinding. Tangan pegang di sini" agen itu memberi arahan kepada jemaah yang dibawa.
Dia mahu jemaah itu merapatkan diri betul betul ke dinding Kaabah sebelah Multazam supaya mereka berada betul betul dihadapan polis itu.
Rupa rupanya, di hadapan polis itu ada tempat untuk kita pegang. Apabila kita pegang 'divider' itu, kita mempunyai 'pertahanan' yang kuat. Orang dari hadapan kita tidak boleh menolak kita ke belakang. Dalam masa yang sama, kita masih tidak menolak orang lain kerana kita berada berhampiran dengan dinding kaabah itu.
Saya terus mengikut mereka dari belakang.
"Pak, tangannya pegang disini. Pegang di sini." Agen itu memberi arahan supaya mereka semakin mara ke hadapan. Dan pastinya, saya menyusul di belakang mereka.
"Cepat pak cepat, saya kata maju bapa terus maju ya", mereka semakin hampir.
Saya
memasuki ke arah Hajarul Aswad melalui arah ini. Berada berdekatan
dengan Polis yang sedang berdiri ini. Tetapi, pastikan kita yang paling
hampir dengan Kaabah.
Sekelip mata, jemaah di depan saya sudah berada di hadapan Batu Hajarul Aswad dan saya berada di tempatnya sebentar tadi. Dia bersama agen sudah berjaya dan mulai keluar dari kesesakan itu.
Pada waktu itu, saya tidak berasa sebarang tolakan atau rempuhan kuat dari mana mana arah. Ini kerana saya berada betul betul bersebelahan dengan Kaabah. Dinding Kaabah itu menjadi 'pertahanan' saya daripada ditolak keluar. Bahkan saya semakin ditolak ke hadapan.
Dalam masa yang sama, saya masih belum menolak sesiapa pun.
Rupa rupanya, di hadapan Batu Hajarul Aswad itu akan ada satu pergerakan ke hadapan dan ke belakang. Ini akibat rempuhan dari pelbagai arah.
Apabila 'arus' manusia itu ke arah hadapan, saya terus keluar dari bucu yang saya pegang tadi dan Subhanallah. Sayalah yang seterusnya untuk mencium batu itu. Tanpa berfikir panjang, saya mencium dan terus keluar dari kesesakan itu.
Subhanallah. Air mata saya mengalir. Saya betul betul terasa kehebatan Allah. Saya betul betul terasa kekuasaan Allah. Saya mohon dan berdoa untuk mencium batu itu. Allah perkenankan. Dan yang lebih penting, saya dapat mencium batu itu tanpa perlu menolak orang lain. Sesuatu yang tak pernah saya fikir selama ini.
Bagi saya, tempoh saya mula masuk dari arah Multazam sehingga saya keluar adalah kurang dari satu minit. Teramat pantas.
Saya terus beredar mencari Maria ditempat yang kami janjikan.
"Aik, cepatnya. Dah dapat cium ker?" Saya terus menceritakan apa yang telah berlaku.
Maria agak terkejut kerana saya dapat masuk dan keluar dengan begitu pantas. Saya bersyukur dan terus melakukan sujud syukur.
Semua
jam, cermin mata dan barangan dalam poket perlu dikeluarkan bagi
mengelak kehilangan atau perkara perkara tidak diingini daripada
berlaku.
Alhamdulillah.
Bagi saya, inilah laluan yang paling mudah untuk kita mencium batu Hajarul Aswad. Ia teramat mudah. Kalau ia tidak mudah, masakan agen agen Indonesia ini menggunakan laluan itu setiap kali mereka hendak membawa jemaah mencium batu itu.
Setelah saya dapat mengucup batu ini, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca:
1) Laluan itu mudah, tetapi percayalah Allah jua lah yang memudahkannya.
2) Gunakan kesempatan yang ada. Sekiranya anda tiba awal di Mekah, kucuplah batu itu seawal mungkin pada masa orang masih kurang di Mekah.
3) Apabila kita ada sesuatu hajat atau masalah. Berdoalah kepada Allah. Berdoa semasa tawaf. Solat hajat memohon bantuan daripada Allah. Pasti Allah akan membantu kita.
Setuju. Sebenarnya tidak susah pun untuk kucup hajaratulaswad. Cuma perlu bersabar, banyak memerhati, yakin dengan pertolongan Allah. Cumanya, kita tak boleh bandingkan diri dengan jemaah yang berusia. Namun, sebab kita masih muda. Tak salah kita mencuba untuk buat ibadah sunat ini. Perasaannya sgt amazing, terasa bibir ini dikucup kembali. Bertambah manis bila diberi pertolongan Allah untuk kucup disaat jemaah haji sangat ramai. Berkenaan agen indonesia itu, sy amat setuju dengan pandangan saudara.
ReplyDelete