Assalamualaikum,

Pernahkah kita bersyukur menjadi rakyat Malaysia? Pernahkah kita bersyukur kita mempunyai Tabung Haji yang menguruskan urusan haji kita?

Berdasarkan pemerhatian saya semasa menunaikan haji dahulu, ada segelintir pihak yang selalu komplen itu dan ini kepada pelbagai pihak. Tabung Haji selalu menjadi sasarannya.

Dari hotel yang jauh, bilik yang tidak selesa, pengurusan yang tidak cekap, bas yang buruk, makanan yang tidak sedap dan seribu satu 'kelemahan' lagi yang dicari untuk meletakkan kesalahan pada pihak lain.

Segala kekurangan dicari sedangkan seribu satu kebaikan yang diberikan kurang disyukuri.

Menjelang hari wukuf, sekitar 2-3 hari lagi untuk menunaikan haji para jemaah diseluruh dunia mula memenuhi segala ruang di sekitar Masjidil Haram. Kedhaifan mereka menimbulkan keinsafan pada saya.

Para jemaah haji yang datang secara 'koboi' mula tidur disekitar kaki lima diluar Masjid. Ini adalah pemandangan sekitar 5 hari sebelum menunaikan haji.

Ini pula pemandangan sekitar 2-3 hari sebelum menunaikan haji.

Pemandangan mereka yang tidur di hotel 'seribu bintang'. Beralaskan kotak, berbantalkan lengan. Mampukah kita tidur seperti mereka?

Tidur dibawah bawah bangunan tempat parking kereta sementara.

Tidur di kawasan "Open Air" diluar masjid. Sekitar bahagian Marwah. Mereka ini menunaikan Haji Ifrad atau Haji Qiran. Sebab itulah kita lihat mereka memakai ihram sebelum menunaikan haji.

Pemandangan pada pukul 2-3 pagi ketika saya hendak pergi ke masjid.

Lagi gambar di luar masjid pada pukul 2-3 pagi sehari dua sebelum menunaikan haji.

Saya yakin dan pasti, anda tak akan terfikir ada jemaah haji dari negara negara yang miskin tetapi terlalu berhajat untuk menunaikan haji. Tidak kira apa jua aral yang melintang, akan mereka redahi juga. Pendek kata, "Membujur lalu melintang patah".

Mereka ini dari segi kewangan, memang miskin. Pada mata saya, mereka ini amat dhaif di negara mereka. Tapi, mereka betul betul 'dahagi' untuk menunaikan haji.

Mereka ini tidur di mana sahaja mereka boleh tidur. Makan apa sahaja yang boleh dimakan. Pakai apa sahaja yang boleh dipakai. Betul betul ala ala koboi.

Melihat kesungguhan dan kedaifan mereka, saya tersedar dan terfikir kita sebagai rakyat Malaysia tidak mempunyai 'kekuatan' fizikal dan mental seperti mereka. Kita amat 'lemah'. Termasuklah saya.

Saya pasti, sekiranya kita susah seperti mereka dan tinggal di Malaysia. Kita tidak akan pergi menunaikan haji seperti mereka. Mereka ini mempunyai tahap tawakkal yang amat tinggi terhadap Allah.

Mereka tak tahu apa yang akan berlaku esok. Segalanya diserahkan kepada Allah. Mereka pergi menunaikan haji dalam keadaan mereka tak tahu di mana mereka hendak tidur, apa mereka hendak makan, di mana mereka hendak mandi. Bagaimana hendak bergerak dari Mekah ke Arafah, dari Arafah ke Muzdalifah, dari Muzdalifah ke Mina dan kembali ke Mekah. Tahap pergantungan mereka kepada Allah amatlah tinggi.

Bolehkah kita makan begini? Hanya makan roti, beralaskan plastik di atas tar di luar masjid?
Mereka ini tidak ada tandas di hotel. Tandas mereka adalah tandas yang terdapat di sekitar Masjid. Cuba bayangkan 3 juta orang berkongsi tandas yang sama. Suasana beratur seperti ini adalah biasa seminggu sebelum dan selepas menunaikan ibadah Haji. Semasa semua orang sedang bertumpu di Masjidil Haram.

Kadang kala, saya terpaksa beratur dibelakang 4-5 orang. Setiap kali beratur mengambil masa sekitar 15-20 minit. Bergantung 'urusan' orang dihadapan kita. Sama ada 'urusan' kecil atau urusan 'besar'.

Dalam keadaan sebegini, usah dikenang bau 'semerbak' yang dihasilkan oleh orang ramai. Disebabkan tandas terlalu rapat, anda boleh dengar segala bunyi yang dihasilkan dari dalam bilik. Teramat amat tidak selesa mendengarnya.

Pernahkah anda terfikir? Dimana mereka letakkan beg beg mereka?

Disinilah beg beg pakaian mereka dan barang keperluan mereka diletakkan. Digantung di pagar pagar masjid.

Yang uniknya, tidak ada sesiapa pun nak 'mencuri' beg orang lain. Masing masing hanya mengambil barang barang sendiri. Jika 'hilang' sekali pun, mungkin kerana tuannya terlupa tempat letak asal beg itu.

Jika kita 'susah' seperti mereka, kita pasti dan pasti akan menggunakan alasan itu untuk 'menggugurkan' kewajipan menunaikan haji kerana kita tidak berkemampuan. Tetapi, tahap tidak 'mampu' mereka amat tinggi.

Kalau yang muda sahaja yang datang, saya boleh terima lagi. Tetapi mereka yang berusia juga turut ada dikalangan mereka. Tak kira jantina. Lelaki dan wanita. Mereka betul betul mahu menunaikan haji.

Hanya satu dihati mereka.

"Labbaikallah Hum Malabbaik. Labbai kala Syarikala Kalabbaik"

"Hamba Mu datang menyahut panggilan Mu. Hamba Mu datang tidak mensyirikkan Mu"

Mereka datang menunaikan haji semata mata kerana Allah. Semata mata kerana Allah.

Melihat 'kedaifan' mereka di sana menimbulkan seribu satu keinsafan dalam diri saya. Jika mereka yang susah dan miskin, datang dari negara yang bergolak misalnya dari Afghanistan bersusah payah untuk datang menunaikan haji.

Kita yang sihat dan sedikit 'berwang' tidak seharusnya memberikan alasan untuk menangguhkan lagi masa untuk menunaikan haji. Apa lagi alasan yang hendak kita berikan kepada Allah? Adakah alasan alasan itu diterima oleh Allah nanti?

Kita tidak sanggup untuk bersusah payah demi Allah. Rabbul Jalil yang telah menciptakan kita. Kita tidak sanggup untuk bersusah payah demi menziarahi jasad Rasulullah. Insan yang sepatutnya kita cintai melebihi yang lain.

Saya benar benar bersyukur kerana Allah memilih saya untuk menunaikan haji pada tahun ini. Dan saya lebih bersyukur kerana Allah memberi ilham kepada saya untuk memberi kesedaran kepada rakan rakan saya yang lain untuk kita sama sama berusaha dan berazam untuk melengkapkan Rukun Islam yang ke-5 ini.

Kita seharusnya bersyukur.

Kita seharusnya berterima kasih kepada Allah yang telah memberikan seribu satu nikmat kepada kita, rakyat Malaysia.

Jika mereka boleh datang menunaikan haji. Mengapa tidak kita? Kadang kadang, kita memberi seribu satu alasan untuk tidak mendaftar haji. Kita menangguh nangguhkan pendaftaran haji. Sedangkan, jika kita mendaftar hari ini sekali pun, kita hanya akan pergi menunaikan haji pada tahun 2042. Jadi, apa lagi yang hendak kita tunggukan.

Mulakanlah azam itu dari sekarang. Bertindaklah dengan membuat perancangan sewajarnya.

Apabila mereka para jemaah haji ini yang hidup 'merempat' disekitar Masjidil Haram. Saya insaf. Saya seharusnya bersyukur kepada Allah kerana Allah sediakan hotel buat saya sekeluarga menginap di sana.

Saya seharusnya bersyukur kepada Allah kerana makan minum saya dijaga oleh pihak pakej saya. Walaupun, saya akan berjumpa dengan menu yang sama sekitar 4-5 hari berselang. Kadang kadang, ada kekurangan dari segi kesedapan. Kadang kadang, ada kekurangan dari segi kelewatan makanan tiba. Kadang kadang, ada kekurangan dari lauk yang disediakan.

Bagi saya, tak perlulah kita terlalu komplen itu dan ini. Melainkan jika hendak komplen sekali pun, kita buatlah dengan cara dan saluran yang betul. Bukan dengan 'mengutuk' itu dan ini dibelakang mereka yang akhirnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan untuk sesiapa pun.

Jika kita rasa bilik hotel kita tidak selesa, tak perlulah kita terlalu merungut. Terimalah seadanya. Kita pergi menunaikan haji. Bukan untuk bermewah mewah dan bukan untuk mencari keselesaan.

Ingatlah, kita pergi untuk mencari keredhaan Allah. Jika ada sedikit kekurangan. Terimalah. Jangalah dibandingkan bilik hotel kita dengan bilik hotel 5-star di negara negara lain. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kadang kadang, Allah sengaja 'susahkan' kita untuk mengajar kita erti kesusahan. Agar kita bersyukur semasa kita kesenangan.

Maka bersyukurlah seadanya.

Semoga, semua gambar gambar yang saya kongsikan dalam entri kali ini menimbulkan rasa keinsafan dalam diri kita. Memberi kekuatan kepada kita untuk sentiasa menjadi hambaNya yang bersyukur.

Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua. Semoga kita semakin hampir kepada Nya.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top