Assalamualaikum,

Alhamdulillah. Semua kerja haji saya sudahpun disempurnakan. Saya masih ada sekitar 10 hari lagi di bumi Mekah sebelum pulang ke Malaysia.

Pada 12 Zulhijjah, saya sekeluarga semuanya sudahpun berada di Mekah. Kami sudahpun pulang ke hotel.

Pada waktu Zuhur, saya pergi ke Masjidil Haram untuk menunaikan Solat Zuhur. Saya juga pergi ke Masjidil Haram untuk menunaikan Solat Asar.

Namun... Saya terkejut.

Kawasan sekitar Masjidil Haram teramat sesak. Sesak yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Setiap ruang dan tempat dipenuhi oleh orang ramai. Subhanallah.

Pemandangan di luar Masjidil Haram. Orang ramai sesak di mana mana sahaja. Jika anda berkumpulan, kebarangkalian kumpulan anda berpecah amat tinggi. Berhati hatilah jika anda membawa warga emas bersama anda.

Saya bercadang untuk masuk ke Masjidil Haram melalui pintu Babul Salam.
Namun, setibanya saya di eskalator untuk turun ke pintu Babul Salam. Pihak polis sudah pun menghalang orang ramai daripada memasuki masjid. Ini kerana keadaan di dalam masjid sudah padat dan tidak terkawal. Orang ramai berebut rebut untuk melakukan ibadah tawaf dan saie setelah habis ibadah melontar di Jamrah.

Hanya orang di dalam Masjid dibenarkan keluar. Orang dari luar tidak dibenarkan masuk ke dalam Masjid.

Kawasan di luar pintu sekitar Babul Salam. Orang ramai sesak kerana tidak dapat bergerak. Nak masuk ke dalam masjid pun tak boleh. Dan orang dari belakang pula sentiasa menolak ke hadapan.

Saya menuju ke pintu Babul Fatah. Kebiasaannya, kawasan di sini tidak terlalu padat. Namun, hari ini orang terlalu ramai. Perhatikan di pintu, lampu merah sudah menyala. Menandakan tidak boleh masuk.

Beginilah keadaan di tandas sekitar seminggu sebelum dan selepas waktu haji. Saya lebih rela balik ke hotel dari beratur di sini.

Dalam Masjidil Haram. Kawasan dataran Kaabah sentiasa penuh.

Pada waktu Maghrib dan Isyak. Sudah tidak ada solat sunat sebelum Solat Fardhu. Selepas azan, Muazzin akan terus Iqamah. Ini kerana kawasan di dataran Kaabah terlalu padat. Mereka perlu menyegerakan solat fardhu pada waktu ini.

Apa yang saya perhatikan, imam juga turut membaca surah yang paling pendek semasa solat Maghrib dan Isyak. Segalanya untuk memastikan mereka yang hendak menunaikan tawaf boleh bertawaf segera.

Semasa menunaikan solat Maghrib, saya perhatikan ribuan manusia di dataran Kaabah tidak dapat bersolat. Ini kerana keadaan terlalu padat. Tiada ruang untuk mereka bersolat. Di kiri kanan hadapan dan belakang dipenuhi dengan jemaah haji yang sedang bertawaf.

Bayangkanlah jika anda berada di dalam kumpulan ini. Potensi untuk tawaf dalam keadaan terapung amat tinggi. Syukur Alhamdulillah. Saya sudahpun menyelesaikan ibadah tawaf saya pada malam 11 Zulhijjah yang lalu.

Keadaan diluar masjidil haram
.
Dalam sejarah hidup saya, inilah keadaan dimana saya berkumpul dalam jumlah manusia yang paling besar. Saya tidak pernah menyaksikan keadaan padat sebegini.

Alhamdulillah. Pada waktu ini, saya tidak perlu lagi berebut rebut dengan jemaah lain untuk melakukan tawaf dan saie. Ini kerana ibadah haji saya telahpun sempurna. Syukur kepada Allah. Yang menggerakkan hati kami sekeluarga untuk pulang ke Mekah lebih awal untuk menyempurnakan ibadah tawaf dan saie.

Semoga anda para pembaca mendapat gambaran keadaan di Masjidil Haram pada 11,12 dan 13 Zulhijjah. Semoga mentaliti anda bersedia untuk menghadapi situasi sebegini.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top