Assalamualaikum,

Wudhuk. Ia mudah. Tapi untuk ibadah haji. Ia amat signifikan.

Bulan lepas, saya ada mendengar ceramah Ustaz Shamsuri di Parit Buntar, beliau menceritakan yang di akhirat kelak, ramai orang Islam akan 'menyesal' kerana ibadah mereka tidak diterima oleh Allah.

Puncanya?

Wudhuk yang tidak sempurna.

Di akhirat, mereka yang tidak sempurna akan melihat 'pahala' ibadah mereka menjadi debu debu yang berterbangan. Segalanya sia sia dan tidak diterima Allah.

Nauzubillah.

Ustaz Shamsuri dalam ceramahnya menekankan ramai orang hari ini terlalu berfikir untuk melakukan ibadah yang 'hebat hebat'. Tapi, tak ramai yang mengambil berat hal yang paling 'mudah'. Iaitu berwudhuk.

Untuk sesuatu ibadah menjadi sah, wudhuk perlu sah. Jika wudhuk tidak sah, segala amal ibadah yang kita lakukan tidak sah dan ia sia sia. Solat kita menjadi sia sia. Dan segalanya sia sia.

Mahukah kita begitu?

Saya ingin menceritakan pengalaman haji yang berkait rapat dengan wudhuk. Iaitu TAWAF.

Jika kita melakukan TAWAF, kita mesti dalam keadaan berwudhuk. Jika wudhuk tidak sah. Maka TAWAF tidak sah. Apabila Tawaf tidak sah, maka Haji tidak sah.

Apabila haji tidak sah, ini bermakna kita balik ke Malaysia dalam keadaan kita tidak bebas dari pantang larang ihram sepenuhnya. Kita masih terikat dengan pantang larang dalam Tahalull Thani.

Dan apabila kita bersama suami isteri, 'hubungan' itu berdosa. Apabila menjadi wali anak bernikah, pernikahan tidak sah. Jika berkahwin, kahwin itu tidak sah.

Semuanya terjadi hanya kerana wudhuk.

Dalam pemerhatian saya, ada dikalangan jemaah haji yang berkuku panjang. Mengambil wudhuk di Masjidil Haram tak semudah mengambil wudhuk di Masjid di Malaysia. Jika hendak ke tandas untuk berwudhuk, ia agak jauh. Jika menggunakan spray atau gelas air untuk berwudhuk. Ia bukan mudah.

Bukan mudah untuk mengalirkan air ke celah celah kuku agar wudhuk itu sempurna.

Dan jika ada yang tidak sempurna wudhuknya. Maka hancurlah segala galanya.

Sia sialah segala ibadah yang kita lakukan. Habislah duit RM10,000-RM10,000 yang kita keluarkan untuk melakukan ibadah haji ini.

Semua ini berlaku hanya kerana masalah pada diri kita sendiri. Kita tidak mengambil berat mengenai masalah kuku kita. Kuku tangan dan kaki jika panjang, ia menghalang air daripada terkena ke tempat yang sepatutnya.

Dan kesannya amat besar dalam hidup kita.

Jika di Malaysia sendiri, kita perlu menjaga kebersihan kuku. Untuk memastikan wudhuk kita sempurna. Dan agar solat kita juga sempurna. Agar di akhirat kelak, kita tidak melihat segala amal ibadah kita 'menjadi debu debu yang berterbangan'.

Semoga, entri kali ini dapat menjadi pengajaran buat kita semua. Ia mudah. Ia ringkas. Tapi amat signifikan dalam kehidupan kita.

Semoga entri kali ini dapat menjadi pengajaran kepada kita.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top