Sebelum ini, saya sudah pergi menunaikan umrah sebanyak 4 kali. Ketika berumur 12 tahun, 17 tahun, 20 tahun dan 29 tahun.
Dan setiap kali balik ke Malaysia. Saya sakit. Sama ada demam ataupun batuk yang serius. Ini 'penyakit' biasa bagi mereka yang pergi menunaikan Haji atau Umrah.
Mungkin perubahan cuaca menjejaskan keadaan kesihatan kita di sana. Hakikatnya, Allah jua yang memilih siapa yang akan sihat dan siapa yang akan sakit.
Untuk menunaikan haji kali ini, saya benar benar berdoa kepada Allah. Berdoa dengan setulus hati dengan penuh pengharapan agar Allah memelihara kesihatan saya sepanjang berada di Tanah Suci nanti.
Dan sekiranya Allah hendak menguji saya sekalipun, saya harap ia tidak menjadi alasan kepada saya untuk tidak pergi ke Masjid.
Dari segi persiapan, saya membawa bekalan ubat Panadol Activefast, ubat batuk, ubat selsema dan Multivitamin. Saya turut membawa minyak panas.
Ini sebagai 'persiapan' yang saya sediakan andai kata Allah hendak menguji saya. Yang lain, saya 'serahkan' kepada Allah.
Di Tanah Suci, ada orang yang berkata kita tidak boleh terlalu 'kuat beribadah'. Kita hanya beribadah seadanya. Kita tak boleh terlalu kuat beribadah untuk menjaga kesihatan kita semasa menunaikan haji nanti. Pastikan kita sihat semasa perjalanan haji nanti. Itu kata mereka.
Mereka menjelaskan, kita pergi ke Tanah Suci adalah untuk menunaikan haji. Maka, pastikan kita sihat semasa kerja kerja haji berlangsung. Mereka berkata tak salah kita menunaikan solat di hotel. Kita perlu rehat yang cukup di sana.
Ada juga jemaah haji yang tidak menggalakkan saya 'menolak' pak cik ke masjid. Hujahnya masih sama.
Saya pergi haji untuk diri saya, mengapa perlu saya 'mengambil berat' hal orang lain. Dan apa yang saya lakukan itu boleh menjejaskan kesihatan saya di sana nanti. Saya perlu 'tenaga' dua kali ganda untuk 'membantu' pak cik.
Beliau memberi contoh isterinya yang menolak seorang jemaah wanita ke masjid menggunakan kerusi roda, Dan kemudian isterinya demam. Sedangkan mak cik yang ditolak masih sihat. Beliau memarahi isterinya kerana 'membantu' mak cik ini. Maka, beliau nasihatkan saya agar tidak menolak pak cik ke Masjid.
Namun, saya berlainan pendapat.
Satu yang kuat di hati saya. Kesihatan saya Allah yang akan tentukan. Kalau Allah takdirkan saya sihat. Maka sihatlah saya. Kalau Allah takdirkan saya sakit. Sakitlah saya.
Saya kurang bersetuju jika kita memberi alasan bersolat di hotel dan tidak ke Masjid untuk menjaga kesihatan.
Tahukah anda, saya perhatikan semasa di Tanah Suci. Ada jemaah yang berkata dia tidak mahu ke Masjid dan bersolat di hotel kerana 'sakit'. Siap atur lagi, dalam sehari hanya boleh pergi ke Masjid 3-4 kali. Waktu lain dia nak rehat.
"Doktor suruh rehat" seolah olah menjadi lesen besar untuk tidak menunaikan solat di Masjid.
Di Mekah, kalau kita selalu menyebut "kita tidak sihat". Maka tak sihatlah kita. Kalau Allah uji kita sekalipun di sana, janganlah kita mengalah. Sebaliknya, berdoalah kepada Allah. Doa di sana amat mustajab.
Saya juga tidak bersetuju mengatakan apabila saya menolak pak cik ke masjid, kesihatan saya akan terjejas.
Apa yang saya perhatikan, di Tanah Suci terlalu ramai jemaah haji yang tidak sihat. Sedangkan mereka ini tak ada menolak jemaah lain yang pun. Mereka ini tak lah terlalu buat itu dan ini. Dah banyak berehat pun di hotel. Tapi, masih sakit.
Apa pengajarannya di sini?
Kesihatan adalah milik Allah. Kuat beribadah dengan selalu ke masjid tak bererti kita akan sakit. Duduk bersolat dan berehat di hotel tak bererti kita akan sihat. Menolak jemaah yang sakit ke masjid tak bererti kita akan sakit. Tak menolak pak cik dan berehat di hotel tak semestinya akan sihat.
Mengapa?
Ini kerana Allah jualah yang memilih siapa yang akan sihat dan siapa yang akan sakit.
Sering saya berdoa.
"Ya Allah, aku hendak melakukan umrah sunat pada hari ini. Apa yang aku lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Untuk mendekatkan diri kepada Mu ya Allah. Aku mohon kepada Mu, peliharalah kesihatan ku. Agar mudah aku beribadah kepada Mu"
Kuatkanlah diri kita untuk beribadah kepada Allah. Berdoa dan berharaplah kepada Allah.
Secara keseluruhannya, saya bersyukur kepada Allah. Bersyukur sesyukur syukurnya. Allah pelihara kesihatan saya sepanjang 45 hari saya berada di Tanah Suci.
Saya hanya batuk sedikit. Alhamdulillah, selepas minum ubat batuk. Kesihatan kembali seperti biasa. Allah mudahkan saya.
Dan kalau terasa hendak demam pun, Alhamdulillah makan ubat panadol. Allah sembuhkan saya.
Saya bersyukur secara keseluruhannya. Saya sihat. Saya boleh menunaiakn solat di Masjid. Saya boleh menunaikan umrah sunat dan umrah badal untuk ahli keluarga saya yang sudah meninggal dunia. Saya boleh menolak pak cik berulang alik ke Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram.
Saya boleh lakukan segala galanya. Pendek kata, saya tak boleh beri alasan 'tak sihat' untuk tidak melakukan ibadah ibadah di sana.
Beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia, badan saya terasa seram seram sejuk. Rasa macam hendak demam. Saya teringat nasihat Prof Kamil di dalam buku Motivas Haji beliau. Jangan dilayan perasaan seram seram sejuk ini.
Jangan dilayan demam dan sakit di sana.
Saya bertekad. Selepas Solat Subuh, walaupun badan terasa macam hendak demam. Saya kuatkan lagi beribadah kepada Allah. Dalam keadaan badan rasa macam nak demam. Dalam kesesakan orang ramai di dataran Kaabah. Saya melakukan Tawaf Sunat.
Saya tak mahu melayan perasaan demam ini. Jika dilayan. Ia pasti akan melarat dan bertambah teruk. Semasa melakukan tawaf, saya berdoa kepada Allah agar Allah menghilangkan rasa nak demam ini.
Alhamdulillah. Allah perkenankan doa saya. Kesihatan saya kembali sedia kala.
Syukur kepada Nya.
Selain itu, mengambil multi vitamin sedikit sebanyak membantu saya untuk mendapat 'tenaga tambahan'. Di Tanah Suci, saya perlu 'kuat' kerana banyak aktiviti ibadah yang perlu saya lakukan. Peluang ini hanya datang sekali. Gunakanlah ia sebaiknya.
Akhir sekali, saya menasihatkan kepada bakal jemaah haji dan umrah untuk sentiasa berdoa kepada Allah. Mohonlah kepada Allah. Agar Allah memelihara kesihatan kita.
Sebagai persiapan ke sana, bawalah bekalan ubat ubatan yang perlu dan bersesuaian dengan keperluan kita. Dan berdoalah agar kita tidak perlu menggunakannya di sana.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment