Di dalam buku Prof Kamil, beliau menceritakan pengalaman beliau yang hampir 90% -95% menunaikan solat di Dataran Kaabah. Beliau meletakkan satu penanda aras yang amat tinggi untuk saya ikuti.
Kalau nak dikira baik. Itu memang yang terbaik. Seperti yang saya ceritakan dalam entri di Madinah. Bersolat di saf pertama lebih baik dari saf kedua. Bersolat di saf ke dua lebih baik dari saf ketiga. Bersolat di saf kesepuluh lebih baik dari bersolat di saf ke dua puluh. Begitulah seterusnya.
Pokok pangkalnya, bersolat di saf hadapan amat besar ganjarannya. Inilah yang patut kita kejarkan.
Apa yang saya ceritakan dalam entri kali ini lebih relevan untuk jemaah lelaki. Ini kerana pada musim haji, jemaah wanita tidak dibenarkan bersolat Fardhu di dataran Kaabah. Jemaah wanita perlu bersolat di dalam kawasan bangunan masjid sahaja. Jemaah wanita hanya boleh bersolat di dataran Kaabah di luar waktu puncak.
Semasa di Madinah, saya bertanya kepada Prof Kamil macam mana hendak menahan 'panas' ketika bersolat di dataran Kaabah.
"Tak panas ka Prof solat waktu Zuhur di dataran Kaabah, panas terik tu?"
Mudah sahaja jawapan Prof.
"Panas is very subjective. Bahang panas boleh dirasa oleh satu orang sebagai panas. Bahang panas yang sama juga boleh tidak dirasai oleh orang lain"
"Ingat tak kisah Nabi Ibrahim, api yang marak menjulang tidak memanaskan Nabi Ibrahim. Sebaliknya ia menyejukkan Nabi Ibrahim. Mengapa? Sebab Allah yang jadikan api yang sifat ia panas menjadi sejuk untuk Nabi Ibrahim"
"Jadi, mohonlah kepada Allah agar bahang panas itu tidak dirasai oleh kita ketika hendak bersolat di dataran Kaabah"
"Yang pentingkan Firdaus, niatkan semata mata kerana Allah. Insya Allah. Allah akan bantu. Saya nak cerita pengalaman saya sendiri. Saya sendiri tak rasa panas apabila bersolat di dataran. Mengapa? Saya berdoa kepada Allah. Jadi berdoa dan mintalah kepada Allah. Berceritalah kepada Nya"
Kata kata Prof itu memotivasikan saya. Bagi saya sangat mudah untuk bersolat di dataran. Pokok pangkalnya kita mesti datang awal ke masjid. Insya Allah. Ruang itu akan tersedia untuk kita.
Sebagai contoh, saya keluar ke Masjidil Haram sekitar jam 2.00 pagi. Pada waktu itu, saya masih sempat untuk melakukan tawaf sunat dan kemudian saya boleh memilih untuk duduk dimana mana sahaja kerana orang masih kurang pada waktu itu.
Pada
awal pagi, jemaah wanita masih boleh menunaikan Solat Sunat di dataran
Kaabah. Namun, sekitar jam 4 pagi, jemaah wanita akan disuruh masuk ke
dalam bangunan masjid bagi memberi ruang kepada para jemaah lelaki
bersolat di dataran Kaabah.
Gambar di atas diambil sekitar jam 3 pagi. Lihat pada waktu ini masih banyak lagi ruang ruang kosong untuk kita bersolat di sini. Yang penting, datang awal ke Masjid.
Gambar di atas diambil sekitar jam 3 pagi. Lihat pada waktu ini masih banyak lagi ruang ruang kosong untuk kita bersolat di sini. Yang penting, datang awal ke Masjid.
Yang penting, saya perlu datang awal. Sekiranya datang selepas pukul 4.00 pagi, ruang di dataran akan penuh dan pihak polis yang mengawal Masjidil Haram tidak akan membenarkan kita untuk turun ke dataran lagi. Itu sahaja tips untuk bersolat di dataran pada waktu pagi.
Jika
terlewat datang ke Masjid. Inilah akibatnya. Kita akan terperangkap
didalam kesesakan jemaah yang sudah memenuhi kawasan ruang masjid.
Cabaran menunaikan solat di dataran Kaabah bermula pada waktu Zuhur. Sekitar jam 10.00 pagi. Cuaca mulai panas di dataran Kaabah. Panas yang saya maksudkan adalah panas terik.
Sekitar jam 10 pagi, cuaca mulai panas di dataran Kaabah.
Ketika melakukan tawaf sunat sekitar jam 10.00 pagi, saya dan Maria sudahpun berpayung. Walaupun tidak ramai yang berpayung, saya dan Maria memilih untuk menggunakan payung bagi menahan 'panas terik' matahari.
Selepas tawaf, saya dan Maria meninggalkan dataran dan masuk ke dalam bangunan masjid dahulu. Sementara menunggu masuk waktu Zuhur.
Saya berazam untuk menunaikan solat Zuhur di dataran.
Pada
waktu Zuhur, cuaca agak panas di dataran Kaabah. Hanya insan insan
terpilih sahaja akan memilih untuk bersolat di sini. Semoga kita
termasuk ke dalam golongan yang terpilih ini.
"Ya Allah, aku mohon kepada Mu ya Allah. Aku mahu bersolat fardhu di dataran Kaabah ya Allah. Kau bantulah aku untuk hilangkan rasa panas semasa aku bersolat di dataran Kaabah nanti. Aku lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Bantulah aku ya Allah"
Apabila tiba untuk bersolat waktu Zuhur, saya pergi minum air zam zam untuk menghilangkan rasa kering di tekak.
Alhamdulillah. Allah ilhamkan saya bagaimana untuk menghilangkan rasa panas di dataran Kaabah. Semasa saya pergi minum, saya terlihat ada satu jemaah haji mengambil air zam zam dan membasahkan sedikit baju dan kepiahnya. Kemudian, beliau meluru ke dataran Kaabah.
Saya yakin. Dengan cara itu. Beliau tidak akan terasa panas apabila bersolat di dataran nanti.
Saya mencuba. Saya basahkan keseluruhan kepiah saya. Saya basahkan serban yang saya bawa dengan air zam zam. Kemudian saya pun menuju ke dataran Kaabah.
Subhanallah. Bahang panas yang saya rasa sebentar tadi hilang. Bahkan seluruh kepala saya berasa sejuk. Serban yang saya gunakan untuk menutup kepala itu juga membantu untuk menyejukkan badan saya. Ini kerana saya tidak 'mengikat' serban ini dikepala, sebaliknya saya hanya meletakkan kain serban itu diatas kepala sehingga ke bahu.
Alhamdulillah. Saya terasa dingin berada di dataran Kaabah. Benarlah apa yang Prof Kamil katakan dahulu. Mohon dengan Allah. Insya Allah, Allah akan sejukkan kita walaupun berada di tempat yang akal mengatakan panas.
Syukur kepada Allah.
Berdasarkan pengalaman saya, bersolat di dataran pada waktu Zohor dan Asar adalah yang paling mudah. Ini kerana cuaca pada waktu itu 'panas' dan orang kurang berminat untuk bersolat di dataran pada waktu itu.
Setiap waktu pasti ada ruang untuk saya menunaikan solat di dataran Kaabah pada waktu ini.
Selepas menunaikan solat Asar, saya keluar dari dataran Kaabah dan kembali masuk ke dalam bangunan masjid. Saya mengambil kesempatan untuk menghafal Al Quran sementara menunggu masuk waktu Maghrib.
Apabila
keadaan di dataran Kaabah sudah redup, para jemaah haji mula memenuhi
ruang dataran Kaabah. Saya mula turun ke dataran bagi bersolat di situ.
Menjelang masuk waktu Maghrib. Dataran Kaabah akan mulai penuh.
Dan apabila sudah berada di dataran Kaabah pada waktu Maghrib, kebiasaannya saya akan terus duduk di dataran Kaabah sehingga waktu Isyak sambil membaca Al Quran. Jika tidak, saya akan pergi melakukan tawaf sunat. Kebiasaannya, saya sempat untuk menghabiskan tawaf 7 pusingan sebelum masuk waktu Isyak.
Lakukanlah
tawaf sunat selepas Solat Maghrib. Insya Allah. Anda akan sempat
menghabiskan tawaf 7 pusingan sebelum masuk waktu Isyak.
Dengan cara ini, saya rasa saya tidak ada alasan lagi untuk tidak bersolat di dataran Kaabah.
Walaubagaimana pun, disebabkan ada beberapa faktor lain saya tidak dapat bersolat sepenuhnya di dataran Kaabah. Namun, saya akan cuba sedaya upaya untuk bersolat di situ.
Pandangan di dataran Kaabah selepas waktu Maghrib sementara menunggu waktu Isyak
Kebiasaannya, mereka yang bersolat di dataran pada waktu Maghrib akan terus duduk disitu sehingga waktu Isyak.
Para jemaah sedang menunggu waktu Isyak. Jika tidak mampu melakukan tawaf sunat atau solat sunat, maka lihatlah Kaabah. Amat besar pahalanya dengan hanya melihat Kaabah.
Para jemaah sedang menunggu waktu Isyak. Jika tidak mampu melakukan tawaf sunat atau solat sunat, maka lihatlah Kaabah. Amat besar pahalanya dengan hanya melihat Kaabah.
Sekiranya saya mahu bersolat di 20 saf dihadapan Kaabah. Tipsnya mudah. 15 minit sebelum masuk waktu Solat Fardhu, saya akan melakukan tawaf sunat. Dan semasa saya bertawaf, para jemaah akan mula membuat saf berhampiran dengan Kaabah. Bermula dari saf pertama, kemudian saf kedua. Dan begitulah seterusnya.
Para jemaah yang melakukan tawaf sunat akan berhenti apabila masuk waktu solat fardhu. Buatlah saf pada ketika itu dan anda akan berada di 20 saf pertama dihadapan Kaabah.
Pada waktu ini, saya akan berhenti melakukan tawaf sunat untuk membuat saf bagi menunaikan solat fardhu. Selepas solat fardhu, saya akan menyambung kembali tawaf sunat saya bagi melengkapkan tawaf 7 pusingan.
Saya berharap, dengan sedikit perkongsian ini para pembaca dapat sedikit panduan untuk menunaikan solat di dataran Kaabah apabila anda berkunjung ke Masjidil Haram nanti.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment