Assalamualaikum

Saya tiba di Mekah 21 hari sebelum hari Wukuf. Ini bermakna saya masih ada banyak masa sebelum menanti hari menunaikan haji.

Pihak Zahafiz ada mengatur ziarah luar Mekah di tempat tempat yang bersejarah untuk kami lawati.

Sekitar jam 7.00 pagi kami berkumpul di lobi hotel sementara menunggu bas tiba bagi membawa kami ke tempat tempat yang bakal dilawati.

Antara tempat yang bakal dilawati adalah Jabal Thur, Jabal Rahmah, Arafah, Mina, Mudzalifah dan berakhir di Ja'ranah.

Berikut merupakan gambar gambar yang sempat saya ambil sepanjang ziarah kami di sana.


Kawasan sekitar Masjidil Haram yang sedang pesat membangun

Mekah dikelilingi oleh bukit dan gunung batu sebegini. Pemandangan sebegini disekitar bandar Mekah memang menjadi kebiasaan.

Tempat pertama yang saya ziarahi adalah Jabal Thur. Maka eloklah jika saya berkongsi dengan para pembaca dengan sejarah yang pernah berlaku di Jabal Thur ini.

SEJARAH JABAL THUR

Jabal Thur, disinilah Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar menyorok atas perintah Allah daripada ancaman pembesar Banu Quraish. Peristiwa ini berlaku ketika baginda sedang dalam perjalanan Hijrah ke Madinah.

Gua tersebut memiliki 2 pintu iaitu disebelah barat dan sebelah timur. Pintu disebelah baratlah yang digunakan Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar untuk masuk. Pintu gua barat tingginya hanya 1 meter sekaligus lebih kecil dari pintu timur. Pintu timur hanya baru dikorek bagi membolehkan pelawat masuk dan melihat keadaan gua. Pendaki atau pelawat yang berhasrat masuk ke gua thur harus mendaki sampai ke pintu gua, dakian memakan masa 1 jam setengah bergantung kepada kekuatan stamina.

Gua Thur banyak menyimpan sejarah pahit getir Rasullullah dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh umat manusia.

Dalam kisah Hijrah Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah. Rasulullah telah diperitahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah pada malam hari, umat Islam pada waktu itu telah berbondong-bondong meninggalkan Makkah dan pergi berhijrah ke Madinah lebih awal, Rasulullah dan Saidina Abu Bakar pula menyusul kemudian.

Pada malam hari 26 Safar 1 Hijrah Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar telah meinggalkan rumah baginda dan berhijrah ke Madinah. Sebelum Nabi Muhammad meninggalkan rumah Nabi telah meminta Saidina Ali Bin Abi Talib dengan izin Allah untuk menggantikan baginda tidur diatas katil baginda.

Nabi Muhammad juga telah membaca Surah Yaasin sebelum meninggalkan rumah, dalam pada itu para pemuda dan pemuka Qurasy yang sedang mengawal rumah Nabi telah tertidur nyenyak beramai-ramai atas kuasa Allah. Tujuan mereka semua mengawal di perkarangan rumah Nabi adalah untuk memastikan mereka dapat membunuh Nabi apabila Nabi keluar menunaikan Solat Subuh.

Menjelang larut malam, Rasulullah SAW keluar tanpa pengetahuan pemuda Quraisy. Bersama-sama dengan Abu Bakar baginda bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur. Sesampai ke pintu gua, Saidina Abu Bakar akan memasuki dahulu pintu gua, beliau akan memastikan tiada kelibat ular, kala jengking, dan lain-lain binatang atau duri bahaya didalam gua.

Sesudah dipastikan tiada binatang dan anasir bahaya, barulah Nabi memasuki gua. Dalam perjalanan malam itu, mereka berdua juga ditemani oleh Abdullah bin Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar). Pada waktu siang hari keesokannya, Abdullah telah meninggalkan mereka dan kembali ke Makkah untuk melihat keadaan di kota Makkah serta mengkhabarkan berita dari Makkah kepada Nabi.

Pada malam seterusnya Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar telah tidur dalam gua, Nabi telah membaringkan kepalanya diatas peha Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar membiarkan Nabi tidur diatas peha tidak meggerakkan kakinya sedikitpun kerana beliau tidak mahu mengganggu Nabi tidur.

Tiba-tiba tapak kaki Saidina Abu Bakar yang dikujurkan itu telah dipatuk oleh ular berbisa. Dalam menahan kesakitan dan kepedihan yang amat atas patukan Saidina Abu Bakar telah menitiskan air matanya, airmatanya telah menitis jatuh ke pipi Rasulullah, lalu membuatkan Rasulullah terjaga dari tidur.

Melihat Saidina Abu Bakar menangis, Rasulullah terus bertanya mengapa beliau menangis, Saidina Abu Bakar memberitahu bahawa kakinya telah dipatuk ular sehingga beliau tidak dapat menahan kesakitan akibat patukan itu.

Mendengar jawapan itu, Rasululah terus meludahi kesan patukan dan mengusapnya, maka secara langsung kesan patukan hilang serta-merta dan tiada lagi rasa sakit. Kerana mukjizat Rasul suci itu mereka berdua bersyukur atas rahmat Allah.

Paginya, kelihatan pihak Quraisy berusaha sungguh-sungguh mencari mereka berdua. Pemuda-pemuda Quraisy membawa pedang dan tongkat sambil mundar-mandir mencari ke segenap penjuru.

Ketika itu pemuka Quraisy telah bergerak menuju ke gua tempat sembunyi. Lalu orang-orang Quraisy itu terdengar bunyi bising cicak yang datang dari arah gua. Pemuka Quraisy mula syak bahawa adanya orang didalam gua tersebut. Nabi telah membaling batu kearah cicak, dan langsung cicak itu mati.

Pemuda Quraisy tetap datang menaiki gua itu, tetapi kemudian ada yang turun kembali. Pemuka berbicara antara sendiri “Kenapa kau tidak menjenguk ke dalam gua?” tanya kawan-kawannya. “Ada sarang labah-labah di tempat itu, yang memang sudah ada sejak sebelum Muhammad lahir,” jawabnya. “Saya melihat ada dua ekor burung merpati hutan membuat sarang di lubang gua itu. Jadi saya mengetahui tak ada orang di sana.”

Demikanlah kuasa Allah yang maha esa menyelamatkan hambaNya sekelip mata sahaja, jika pemuka-pemuka itu ada yang menjengok ke dalam gua pasti akan melihat mereka berdua didalam. Tetapi orang-orang Quraisy itu makin yakin bahawa dalam gua itu tak ada manusia tatkala dilihatnya ada cabang pohon yang terkulai di mulut gua. Tak ada jalan orang akan dapat masuk ke dalamnya tanpa menghalau dahan-dahan itu. Sesungguhnya Allah telah membuat sesuatu itu dengan sekelip mata tanpa ada yang menduga. Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar tinggal dalam gua itu selama tiga hari tiga malam.

Kini gua ini masih kekal dikunjungi sebagai salah satu destinasi pelancongan ziarah ke tanah suci oleh penganut Islam (Muslim) khususnya ketika Muslim menunaikan ibadat Umrah atau pada musim Haji di bulan Zulhijjah.

Kami baru turun dari bas di tempat pertama yang kami lawati. Iaitu Jabal Thur.
Inilah puncak Jabal Thur. Perjalanan mendaki puncak ini mengambil masa sekitar 1 jam setengah - 2 jam.

Kami sekeluarga bergambar. Di belakang itulah terletaknya Jabal Thur. Tempat persembunyian Rasulullah sebelum berhijrah.

Tanpa disangka sangka, saya mengerjakan Haji bersama Cikgu Khairul Anuar. Guru saya di MRSM Taiping dahulu.

Tempat lawatan kami yang kedua adalah Jabal Rahmah. Ia terletak dalam kawasan Arafah. Tempat untuk kami ber Wukuf nanti semasa mengerjakan Rukun Haji.

Arafah Starts Here. Papan tanda untuk menunjukkan bermulanya kawasan Arafah. Mereka yang mengerjakan haji perlu memasuki kawasan ini sebelum habis waktu wukuf agar sah haji mereka.

Pemandangan dari jauh. Jabal Rahmah.
Unta unta yang terdapat di Jabal Rahmah.

Saya bergambar bersama Cikgu Khairul di Jabal Rahmah. Jabal Rahmah juga terletak dalam kawasan Arafah. Tempat untuk kita melakukan Wukuf nanti semasa menunaikan haji.

Di puncak Jabal Rahmah, terdapat ramai peniaga yang menjual pelbagai jenis barang seperti batu cincin, cincin, tasbih dan pelbagai jenis cenderamata.

Puncak Jabal Rahmah. Tempat Nabi Adam dan Hawa bertemu setelah dicampak keluar dari syurga. Nabi Adam diturunkan di India dan Hawa diturunkan di Jeddah. Namun disinilah mereka berdua bertemu setelah berpuluh tahun terpisah.

Di Jabal Rahmah terdapat unta hiasan untuk kita bergambar. Untuk naik bergambar bayarannya hanyalah SR5.

Masjid Namirah di Arafah. Separuh binaan Masjid ini terletak di Tanah Halal dan separuh lagi terletak di Tanah Haram.

Seterusnya kami dibawa ke Muzdalifah dan Mina bagi kami melihat sendiri tempat yang akan kami lakukan kerja kerja haji nanti.

Pihak Zahafiz turut membawa kami menziarahi kawasan Mina. Tempat untuk kami Melontar nanti iaitu tempat kami melakukan Wajib Haji nanti. Ini bagi memberi gambaran kepada kami akan kawasan melontar itu sendiri nanti.

Gambar dibelakang macam tempat 'parking kereta' itulah tempat untuk melontar. Setinggi 5 tingkat. Khemah khemah disekitar kawasan melontar ini bagi mereka yang pergi menggunakan pakej mahal.

Kalau anda lihat di sebelah kanan itu terdapat 5 buah hotel yang hanya digunakan selama 3 hari dalam tempoh satu tahun. Hotel ini akan diduduki oleh VVVIP seperti para pembesar negara negara Islam. Untuk melontar, mereka akan menaiki kereta melalui terowong bawah tanah yang membawa mereka terus ke Jamrah tanpa perlu berebut dengan jemaah biasa.

Kami jemaah Zahafiz hanya duduk di khemah yang jauh sekitar 2.5km dari tempat melontar ini. Kami terpaksa berjalan kaki untuk pergi dan balik ke tempat melontar dari khemah tempat kami tinggal.
Inilah gambar tempat perhentian keretapi LRT di Muzdalifah untuk kegunaan para jemaah haji dari Arab Saudi.
Pemandangan Jamrah tempat melontar setinggi 5 tingkat.

Dan akhir sekali kami dibawa ke Masjid Ja'ranah untuk kami ke tempat berniat Miqat bagi melakukan Umrah Sunat seterusnya. Di sini saya mula memakai ihram untuk melakukan Umrah sunat.

Kami mula memasuki Tanah Haram kembali.

Inilah sahaja gambar gambar yang dapat saya kongsi bersama dengan para pembaca untuk entri kali ini. Insya Allah, akan bersambung esok dengan entri yang lebih menarik lagi.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top