Assalamualaikum,

Saya memohon kepada Allah agar menemukan saya dengan mereka yang baik baik. Mereka yang boleh membantu saya untuk mendekatkan diri saya kepada Nya.

Allah bukan sahaja menghantar Hani kepada saya untuk mengajar teknik teknik menghafal Al Quran. Allah juga telah menghantar seorang lagi guru agama untuk saya.

Suatu hari, ketika saya sedang membuat ulangan hafalan di dataran Kaabah. Saya duduk disitu kerana saya mahu mengulang surah surah yang sudah dihafal sambil melihat Kaabah.

Tiba tiba saya ditegur oleh orang disebelah saya.

"Haji, dari Malaysia ka?" tegur haji ini.

"Ya, saya dari Malaysia."

"Saya dari Patani, Thailand" beliau menjawab.

Kami bersembang seketika. Dia menceritakan yang dia merupakan guru Tahfiz di Maahad Tahfiz di Pattani. Dan dia merupakan pakar bahagian Tajwid Al Quran.

Subhanallah. Allah sekali lagi menemukan saya dengan orang yang betul betul boleh membantu saya.

Beliau ada melihat kesungguhan saya untuk menghafal juzuk terakhir di dalam Al Quran itu. Beliau kemudiannya berkongsi sedikit pengalaman beliau dalam mendidik para pelajarnya untuk menghafal Al Quran.

Antara nasihat yang diberikan kepada saya adalah untuk memperbanyakkan Solat Sunat Taubat. Mohon ampun kepada Allah dengan sebenar benarnya. Lakukan Taubat Nasuha sebanyak mungkin bagi membersihkan hati saya.

Dia menceritakan, Al Quran hanya akan masuk ke dalam hati orang yang bersih. Ia lebih mudah dihafal oleh mereka yang kurang dosa berbanding mereka yang banyak dosa.

Dia juga menerangkan, untuk menghafal Al Quran seseorang itu tidak boleh melakukan dosa dosa besar dan tidak boleh berkekalan melakukan dosa dosa kecil. Ini bagi memastikan Al Quran yang ada di dalam hati tidak 'terhakis' oleh dosa dosa yang dilakukan.

Dari segi tips teknik hafalan, beliau menceritakan teknik yang sama seperti yang digunakan oleh Hani. Seperti yang saya ceritakan dalam entri saya yang terdahulu.

Beliau juga menasihatkan perkara yang sama. Untuk menghafal Al Quran, saya perlu berdoa daripada Allah kerana Al Quran yang masuk ke dalam hati seseorang adalah "Anugerah Allah". Bukan semua orang memperoleh 'anugerah' ini. Maka saya perlu berdoa agar Allah memudahkan hafalan saya ini.

Ini hanya sebahagian kecil dari nasihat beliau sebagai seorang guru tahfiz kepada saya.

Perbualan kami berakhir di situ.

Haji Yatim. Guru Tajwid yang Allah temukan dengan saya di bumi Mekah. Dia menjadi kawan baik saya selama 2 minggu terakhir saya di sana. Syukur Allah temukan saya dengan beliau.

Keesokannya harinya, saya duduk berhampiran dengan bahagian Babul Fatah. Pada waktu itu saya sedang menghafal Surah Al Buruj. Secara tidak sengaja, Allah temukan saya dengan beliau sekali lagi.

Beliau mendengar bacaan saya.

"Haji, saya dengar haji baca Quran bagus. Suara bagus. Intonasi bagus. Orang 'biasa' akan kata haji baca Quran bagus. Tapi bagi saya sebagai guru Tajwid, saya rasa haji perlu memperbaiki beberapa cara sebutan huruf dan tajwid," beliau memberi nasihat kepada saya.

Mengetahui beliau merupakan pakar tajwid dari Maahada Tahfiz berkenaan. Saya memohon bantuan beliau.

"Boleh tak haji bantu untuk mengajar saya cara menyebut huruf dengan betul dan hukum tajwid sekali?" Saya meminta bantuan daripada beliau.

"Insya Allah. Boleh. Sebagai permulaan. Kita belajar dahulu untuk memperbaiki bacaan Al Fatihah. Kalau boleh sebut semua huruf dalam Al Fatihah dengan betul. Insya Allah boleh baca surah surah lain dengan betul."

Sebelum ini, saya sudah pun mengikuti kursus "Memperbaiki Bacaan Al Fatihah" secara informal dengan seorang ustaz. Tujuannya bagi memastikan saya menyebut dengan betul setiap huruf di dalam surah Al Fatihah.

Bukan mudah untuk bertemu dengan seorang pakar Tajwid. Peluang sebegini tidak boleh dilepaskan.

Saya mula memperdengarkan Bacaan Al Fatihah kepada beliau.

Secara asasnya, beliau mengatakan bacaan saya tidak banyak kesalahannya. Hanya ada beberapa huruf yang beliau minta saya tekankan agar sebutan huruf itu bertambah baik. Supaya bacaan Al Fatihah 100% dibaca dengan betul.

Kalau saya yang sudah mengikuti kursus "Memperbaiki Bacaan Al Fatihah" dengan beberapa Ustaz sebelum ini, masih ada beberapa tempat untuk diperbaiki. Saya rasakan kita semua ummat Islam perlu berusaha untuk memastikan bacaan Al Fatihah kita betul.

Kerana, jika kita tidak belajar untuk membaca Al Fatihah dengan betul, dan bacaan kita salah. Ini bermakna Solat yang kita lakukan setiap hari tidak sah. Betapa ruginya kita kerana amal ibadah kita yang utama ini tidak diterima oleh Allah.

Semua ini hanya kerana bacaan "Al Fatihah" yang tidak betul.


Contoh bacaan Al Fatihah yang baik. Kita semua WAJIB untuk menyemak bacaan Al Fatihah kita. Bacaan Al Fatihah anak anak kita dan ahli keluarga kita supaya bacaan kita betul seperti yang disyariatkan. Jika bacaan Al Fatihah kita tidak betul, solat kita tidak diterima oleh Allah.

BELAJAR TAJWID
Saya mengambil masa sekitar satu jam hanya untuk memperbaiki bacaan Al Fatihah bersama beliau. Beliau mahu memastikan mulut saya mengeluarkan bunyi huruf yang betul. Bukan mudah.

Beliau menceritakan pengalaman beliau yang mengambil masa seminggu hanya untuk belajar Al Fatihah. Beliau mengatakan perkara ini TERAMAT penting.

Mengapa?

Kerana jika bacaan Al Fatihah tidak betul, solat kita tidak akan sah. Tak gunalah kita solat 'tungging terbalik' tetapi tidak membawa apa apa makna di akhirat kelak.

Puncanya apa? Hanya kerana bacaan Al Fatihah kita tidak betul sedangkan ia merupakan Rukun di dalam solat kita.

Jadi Ustaz Yatim menyarankan untuk terus belajar Al Fatihah apabila pulang ke Malaysia nanti. Dia amat menekankan perkara ini kepada saya. Ia 'kecil tetapi amat signifikan'.

SAYA JUGA BERHARAP AGAR PARA PEMBACA TURUT MENGAMBIL INISIATIF YANG SAMA. MARILAH KITA MEMPERBETULKAN BACAAN AL FATIHAH KITA SUPAYA SOLAT KITA DITERIMA ALLAH.

Beliau juga menceritakan, Al Fatihah adalah asas kepada seluruh bacaan Al Quran. Jika kita boleh membaca dengan tajwid yang betul. Insya Allah mudah untuk kita membaca Al Quran dengan betul.

Alhamdulillah. Terima kasih Ustaz Yatim atas segala ilmu yang dicurahkan kepada saya.

Selepas itu, beliau banyak menjadi 'mentor' saya untuk menghafal surah surah dari Juzuk Amma. Beliau menjadi 'pendengar' untuk memastikan saya menghafal dengan betul.

Dalam masa yang sama, beliau juga menegur saya jika tajwid yang saya baca tidak betul.

Kami bertukar tukar nombor telefon di Mekah untuk memudahkan kami berhubung. Saya selalu berjumpa dengan beliau di dalam Masjidil Haram untuk kami sama sama melakukan amal ibadah bersama.

Kami melakukan tawaf sunat bersama. Kami melakukan Umrah sunat bersama. Masuk ke Hijir Ismail bersama. Bersolat di saf saf hadapan Kaabah bersama. Pendek kata, saya menjadi rakan baik kepada beliau di sana.

Saya gembira kerana dalam kebanyakan waktu, beliau akan menggunakan kesempatan yang ada untuk membantu saya menghabiskan hafalan saya. Bagi saya, beliau antara orang yang 'memotivasikan' saya untuk menghabiskan hafalan di sana. Terima kasih banyak banyak saya ucapkan kepada beliau.

Beliau menasihatkan saya agar membaca Al Quran dengan perlahan. Tidak terlalu laju dan terburu buru. Ini bagi memastikan sebutannya betul. Biarlah ia bacaan yang berkualiti.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Yatim. Semoga Allah sentiasa memberkati hidup beliau.

Wassalam

1 comments:

  1. bab ini yg paling menggerunkan saya.Haji yg dari sekolah agama asrama penuh,lancar menbaca Alquran dan belajar lagi memperbetulkan bacaan Alftihah,masih ada salahnya dari pandangan bijak pandai.betapa ramainya menurut pendapat saya orang2 yg tidak betul bacaan Alfatihahnya?termasuk saya sendiri.betapa saya rasakan Sholat saya selama ini telah tiada arti mengikut pandangan ini?dan teramat rugilah semua yg Sholat karena tidak betul bacaan Alfatihah.Auzubillah..bab ini minta diperbetulkan kalau boleh,kita beribadat karena Allah ,maka Allah yg akan menentukan sah atau tidaknya Sholad seseorang hamba itu.bukan semua berpeluang mendapat guru yg bagus,dan bukan semua lidah senang nak di bentuk,beruntung orang2 melayu yg punya lidah lembut,agak senang nak dilentur.kita tengok bangsa2 lain,mohon ampun pada Allah,kadang2 kita dengar pelik bacaan mereka,contoh yg senang bila ada Musabaqah di Malaysia,kita boleh dengar bacaan mereka,terasa ganjil bagi saya yg teramat kurang ilmu ini. kalau nak dibandingkan dgn bacaan Imam Mesjidil Haram,Auzubillah,macam mana nak menilai Alfatihah kita?jadi iktibar bagi semua ustad2 yg mengajar.tegurlah murid2 dengan cara yang betul dan berhemah.terjadi pada anak saya,betapa gembira saya bila anak saya ini rajin membaca Alquran,tak pernah mist malam jumaat,suatu hari entah macam mana dalam klas,ustar tegur dia :,kalau membaca Alquran itu biar betul semua sarat2nya.kalau tak berdosa dan tiada faedahnya.sejak hari itu saya tidak..tidak pernah mendengar dia membaca Alquran lagi.bila saya tanya jawabnya selamba,buat apa nak baca kalau nak menambah dosa.nak belajarpun bukan senang,asik kena marahje,semua salah.saya tunggu dia belajar memaca,2 hari saja,dia fed up,cukuplah dia tau membaca,tak berlagu tak bertajuid ,tak sanggup jadi macam manusia terlalu bodoh bila semua salah dan saypun terkesima tengok ustazahtu asik menyalahkan bacaannya,telalu bodohkah anak saya?bagi saya betul rasanya cuma tajwid agak kurang.dia belajar mengaji dari umur 5th.mudah2an suatu hari nanti saya boleh mendengar dia baca Alquran lagi In Shaa Allah.setiap manusia ada kekurangan dan ada kelebihan,mungkin karena bacaan Alfatihak kita tak betul,dan seluruh sholat kita tidak diterimaNya,mungkin ada jalan lain yg diredhaiNya untuk kita masuk surga In Shaa Allah.

    ReplyDelete

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top