Assalamualaikum,

Dalam entri terdahulu, saya sudah menceritakan pengalaman saya semasa melakukan ibadah wukuf di Arafah. Segala perjalanan saya telah direkodkan dan dipersembahkan kepada para pembaca se'detail'nya.

Matlamat saya adalah, para pembaca dapat memahami dan membayangkan perjalanan haji yang bakal ditempuhi. Sebelum saya pergi menunaikan haji, saya langsung tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan khemah, bagaimana keadaan tandas, bagaimana hendak tidur.

Saya tidak mahu anda mengalami masalah yang sama. Kalau boleh, biarlah anda yang akan pergi menunaikan haji, pergi dalam keadaan anda tahu apa yang anda akan lakukan.

Untuk entri kali ini, saya akan memasukkan gambar yang saya ambil sepenuhnya daripada website Tabung Haji. Berikut merupakan perjalanan haji jemaah tabung haji yang pergi secara muassasah dengan pihak Tabung Haji.

Pelekat pada bas menunjukkan No Maktab dan tempat tuju bas ini. Pastikan kita naik bas yang memaparkan No Maktab kita. Jika tidak, kita akan tersesat bila tiba di Arafah nanti. Misalnya, No Maktab saya adalah 98, maka saya akan menaiki bas no 98.

Para jemaah beratur menaiki bas untuk menuju ke Arafah

Sambil dibantu oleh para petugas Tabung Haji. Mereka yang berkerusi roda perlu diberi keutamaan. Bagi jemaah yang sihat, marilah kita bertolak ansur dan tidak berebut rebut menaiki bas. Ingat pesanan saya, tidak ada jemaah yang akan ditinggalkan.

Jemaah baru turun dari bas setibanya di Arafah

Para jemaah yang baru tiba di Arafah
Petugas Tabung Haji dengan ramahnya membantu jemaah haji yang kurang arif tentang selok belok tempat itu.

Para jemaah berehat di dalam khemah yang disediakan. Bersiap sedialah untuk tidur beralaskan karpet berbantalkan lengan. Gambar di atas adalah senario sebenar kebanyakan jemaah haji Malaysia di dalam khemah di Padang Arafah.

Petugas Tabung Haji mengagihkan makanan kepada para jemaah. Ingin saya ulang sekali lagi, para jemaah jangan takut makanan atau minuman tidak cukup di sana. Terlalu banyak makanan dan minuman disediakan untuk anda. Maggi bersepah sepah. Biskut diberikan sampai anda tak larat nak makan. Air minuman diberi banyak sampai boleh mandi. Anda tak perlu bawa bekalan makanan ke sana dari Mekah

Jemaah wanita yang sedang menikmati hidangan makanan
Lawatan Pak Menteri ke Khemah

Jemaah Haji wanita di dalam Khemah. Bersedia menunggu waktu Zohor.

Jemaah lelaki yang sedang berbaring berehat sementara menunggu waktu Zuhur. Perhatikan ada tong air di sini. Anda boleh minum sepuas puasnya di sana nanti.
Sudah masuk waktu Zuhur. Para jemaah khusyuk mendengar Khutbah Arafah

Ada yang berdoa, berzikir, bertasbih, beristighfar dan membaca Al Quran. Pastikan masa kita terisi sepenuhnya di sini. Peluang berada di bumi Arafah hanya sekali dalam seumur hidup kita. Pastikan kita gunakan sebaiknya.

Pastikan air mata kita mengalir di bumi Arafah. Setiap titisan air mata yang mengalir kerana takutkan Allah akan menjadi pemadam api neraka buat kita di akhirat kelak. Lembutkanlah hati kita. Buang perasaan 'ego' untuk mengalirkan air mata di bumi Arafah.

Para jemaah berdoa di luar khemah

Semua menggunakan kesempatan dan ruang yang ada untuk berdoa. Memohon ampun kepada Allah. Semoga semua dosa dosa kita diampunkannya.

"Ya Allah, ampunkan dosa kami ya Allah. Masukkanlah kami ke dalam syurga Mu tanpa dihisab. Jauhkan kami daripada api neraka Mu ya Allah"

Mengenang kembali dosa dosa silam

Air mata keinsafan. Semoga ia berterusan di bumi Malaysia.

Sekeras mana hati manusia, di bumi Arafah akan cair juga. Melainkan mereka yang tidak mahu mencairkan hati mereka.

Teruskan berdoa sehingga waktu Maghrib. Antara waktu Zuhur dan Maghrib itu pintu langit dibuka seluas luasnya untuk kita semua.

Para jemaah duduk di luar khemah sambil berdoa.

Cermin mata hitam amat membantu pada waktu ini. Untuk 'cover' mata yang dah merah akibat menangis.

Jemaah wanita di luar khemah. Kita digalakkan untuk berdoa di kawasan yang tidak berbumbung. Ini kerana Rasulullah pun berbuat begitu. Dan Rasulullah teramat khusyuk berdoa pada waktu ini.

Para jemaah yang berada di dalam khemah

Yang diluar khemah

Yang di dalam khemah

Sudah keletihan berdoa. Kalau boleh, jangan biarkan kita rasa letih pada waktu ini. Gunakan sepenuhnya masa antara Zuhur dan Maghrib

Jemaah wanita yang berdoa di dalam khemah

Setiap kawasan di Arafah dipenuhi dengan jemaah haji.

Berdoa dan terus berdoa. Mohonlah ampun sebanyak banyaknya kepada Allah. Semoga doa kita pada hari ini didengar Allah. Semoga kita kembali ke Malaysia dalam keadaan bersih seperti bayi yang baru lahir.

Keadaan tandas di Arafah di luar waktu puncak. Tak 'jam'' sangat. Kita perlu bijak untuk menggunakan tandas di luar waktu puncak.

Berpayung sedikit sebanyak membantu di bumi Arafah.

Pastikan doa doa sudah siap dikarang ketika di Malaysia lagi. Di sana, baca sahaja. Kalau di sana baru nak fikir apa yang nak didoakan, saya takut kita terlupa doa doa yang penting.

Para petugas Tabung Haji yang sedang berehat seketika.

Beginilah gambaran keadaan di Arafah semasa para jemaah menjalani ibadah wukuf. Saya berharap anda semua dapat gambaran yang jelas akan keadaan di padang Arafah nanti. Semoga ia menyemarakkan perasaan kita untuk ke sana.

Haji Itu Arafah. Semoga anda dapat merasai apa yang telah saya rasai.

Wassalam

* Kredit kepada Tabung Haji kerana semua gambar di atas diambil dari website Tabung Haji

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top