Assalamualaikum,

Selesai ibadah wukuf di Bumi Arafah, kami para jemaah dibawa ke Muzdalifah untuk melakukan Wajib Haji yang seterusnya iaitu Mabit di Muzdalifah. Memandangkan jutaan manusia perlu dipindahkan dari Arafah ke Muzdalifah, ia dilakukan secara berperingkat.

Kita para jemaah dinasihatkan agar mengikut arahan yang diberikan. Jangan 'komplen' mengapa kita lewat. Semua pihak mahu melakukan yang terbaik. Dan yakinlah, tiada siapa yang akan tertinggal di bumi Arafah. Semuanya akan dibawa ke Muzdalifah.

Sebagai gambaran untuk anda, inilah peta kedudukan Makkah, Arafah, Muzdalifah, Mina. Arafah ke Muzdalifah adalah sekitar 13km. Perjalanan menaiki bas mengambil masa sekitar 30 minit. Bergantung kepada keadaan trafik pada waktu itu.

Sebagai ulangan, kita semua berasal dari Mekah, dan dibawa ke Arafah, seterusnya dibawa ke Muzdalifah. Perjalanan yang seterusnya akan diceritkan dalam entri entri selepas ini.
Anda boleh melihat jadual ini mengenai bila sesuatu ibadah haji itu bermula dan bila ia berakhir. Kalau diperhatikan, Bermalam Di Muzdalifah bermula pada tengah malam 10 Zulhijjah. Iaitu selepas kita selesai berwukuf di Arafah.
Kami para jemaah Zahafiz dibawa menaiki bas ke Muzdalifah. Memandangkan kami dari Maktab 98, kami hanya dibenarkan menaiki bas 98. Perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit. Ada juga jemaah yang menaiki bas selama satu jam dari Arafah ke Muzdalifah. Seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada keadaan trafik pada waktu itu.

Di dalam bas, perbanyakkan talbiah. Kepada jemaah lelaki dan muda, kuatkan suara anda semasa bertalbiah untuk membangkitkan semangat dan roh perjalanan haji itu sendiri. Insya Allah, jemaah lain akan turut serta bersama anda.

Semasa menaiki bas, saya duduk bersebelahan dengan seorang pak cik yang agak uzur. Saya tak tahu yang dia sakit. Namun apa yang saya lihat, dia seperti sukar untuk bernafas. Apabila saya bertanya, beliau mengatakan yang beliau sakit dan sesak nafas. Dan dia baru keluar dari hospital. Masya Allah. Saya berasa simpati dengan nasib pak cik ini. Pada waktu ini, saya terasa beruntungnya saya datang menunaikan haji pada usia muda. Alhamdulillah Allah memilih saya pada usia ini.

Gambar semasa ketibaan bas di tempat untuk bermabit di Muzdalifah.

Mabit di Muzdalifah bermaksud berada di bumi Muzdalifah walaupun seketika mulai separuh malam 10 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari tersebut. Dan ia termasuk dalam WAJIB HAJI. Jika tertinggal tanpa uzur syarie adalah berdosa dan dikenakan dam.
Para jemaah mengutip anak batu di sini. Kita disunatkan mengutip anak batu di Muzdalifah. Kutiplah sekitar 70 biji anak batu untuk digunakan semasa melontar nanti.

Para jemaah akan tidur dihotel seribu bintang pada malam ini. Berlantaikan pasir, berbantalkan lengan, berbumbungkan langit. Tiada khemah disediakan disini.

Para jemaah berehat di sini. Ada yang duduk, ada yang berbaring. Perlu diingat, para jemaah masih di dalam ihram. Ini bermakna segala pantang larang ihram perlu dijaga.

Yang berkerusi roda diletakkan di satu tempat berhampiran pintu pagar. Bukan mudah hendak menolak kerusi roda di atas pasir.

Para jemaah ada yang tidur. Kita terpaksa mengusung beg yang kita bawa dari satu tempat ke satu tempat. Inilah sebabnya pihak Zahafiz mengehadkan satu jemaah satu beg sahaja.

Bapa mertua saya berehat di atas tikar yang disumbangkan oleh TM. Terima kasih Telekom Malaysia.
Mencari anak anak batu dibawah tikar.

Mengutip anak batu. Kita perlu mengorek dalam sedikit. Baru kita akan bertemu dengan lebih banyak batu di sini.

Inilah contoh anak batu yang akan digunakan semasa melontar nanti. Kalau anda tanya saiznya, saiz anak batu yang perlu dicari adalah sebesar kacang kuda sahaja. Jangan pilih batu yang besar. Susah kita nak bawa nanti.

Anak beranak sedang tidur. Selepas masuk waktu tengah malam, sekitar jam 11.28 malam kami sudah boleh mula meninggalkan bumi Muzdalifah. Sekitar jam 12.00 malam. Bas pertama tiba dan mula membawa kami ke destinasi seterusnya iaitu ke Mina.

Di dalam bas, saya tidak mendapat tempat duduk. Saya terpaksa berdiri untuk perjalanan kali ini. Perjalanan dari Muzdalifah ke Mina tidak mengambil masa yang panjang. Hanya sekitar 15 minit sahaja untuk perjalanan sekitar 7km.

Kami mula tiba ke khemah di Mina.

Alhamdulillah. Kami sekeluarga berjaya melakukan Wajib Haji yang seterusnya iaitu Bermalam Di Muzdalifah. Syukur kepada Allah.

Saya berharap anda dapat mengikuti perjalanan haji saya ini. Dan saya harap anda faham. Setakat ini ia amat mudah.

Saya sudah selesai ibadah A,B,C ( Masih dalam pantang larang ihram ) ,D,E. Dan ibadah haji yang seterusnya adalah F iaitu Melontar di Jamrah Aqabah yang akan bermula pada hari esok. Iaitu 10 Zulhijjah.

Insya Allah saya akan menceritakan pengalaman saya tiba di Mina untuk ibadah melontar dan bermalam di Mina.

Semoga Allah permudahkan saya menceritakan kepada anda semua. Ini kerana mulai entri selepas ini, anda akan pening kepala kerana ibadah haji ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

Sama sama kita berdoa. Semoga yang membaca lebih memahami daripada yang menulis.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top