Assalamualaikum,

Haji masa untuk 'honeymoon'.

Inilah yang boleh saya ucapkan. Kerana inilah yang saya perhatikan semasa berada di bumi Mekah dan Madinah tempoh hari.

Kebanyakan daripada kita yang pergi menunaikan haji adalah bersama suami isteri dan tanpa anak anak. Biasanya kita pergi dengan pasangan masing masing.

Setelah sekian lama berkahwin, rasanya kita kurang meluangkan masa bersama pasangan kita bersama. Ini kerana kebanyakan masa kita akan disertai oleh anak anak dan ahli keluarga yang lain.

Maka, bagi saya inilah masanya untuk kita merapatkan hubungan suami isteri.

Prof Kamil dalam ceramahnya menekankan suami dan isteri harus beribadah bersama di Tanah Suci. Beliau tidak menggalakkan kita pergi ke masjid dengan rakan rakan. Sebaliknya, pergilah ke masjid dengan pasangan masing masing.

Ini kerana apabila kita pulang ke Malaysia, suami isteri akan kekal hidup bersama. Suami isteri perlu memberi semangat kepada pasangan mereka untuk terus kuat beribadah seperti mereka berada di Mekah dahulu.

Pada pandangan saya, suami dan isteri harus pergi dan balik ke masjid bersama. Dan kemana sahaja pergi harus bersama. Lakukan ibadah bersama sama. Kita suami isteri harus saling memberi 'semangat' kepada yang lain untuk lebih kuat beribadah.

Percayalah, inilah masa yang terbaik untuk kita merapatkan hubungan kita suami isteri. Di Mekah, buanglah perasaan ego dalam diri. Tanamlah perasaan kasih sayang sesama kita. Dan jauhkanlah perasaan marah kepada pasangan kita.

Di Mekah, saya menyaksikan sendiri suami isteri yang 'bergaduh'. Suami berkata 'bodoh' kepada isterinya. Ya, ia berlaku di Tanah Suci. Selama ini saya membaca di buku dan akhbar tentang suami isteri yang berbalah di Mekah. Namun kali ini saya menyaksikannya sendiri.

Nauzubillah.

Alhamdulillah. Tidak ada perkara perkara yang tidak diingini berlaku antra saya dan Maria.

Jadikanlah masa 45 hari sepanjang berada di Tanah Suci masa untuk honeymoon buat kita berdua. Semoga kasih sayang kita berkekalan sehingga ke syurga.

Sepanjang berada di Tanah Suci, saya ingin memberikan satu penghormatan buat Prof Faizul dari UKM dan isteri serta Prof Mahmud dari Open University dan isterinya.

Bagi saya, mereka wajar dicontohi. Kemana mana sahaja mereka pergi pasti bersama. Jika saya jumpa Prof Faizul, mesti jumpa isterinya. Kalau jumpa Prof Mahmud, mesti jumpa isterinya. Pendek kata, mereka bagaikan 'belangkas' di sana. Saya seronok memerhatikan mereka.

Inilah Prof Faizul ( menolak kerusi roda ) dan isteri. Kemana mana sahaja mereka pasti bersama. Mereka mengambil pakej satu bilik 2 orang. Alangkah bahagianya 'honeymoon' selama 45 hari buat mereka.

Juga Prof Mahmud dan Isterinya. Sering saya lihat bersama dimana mana sahaja mereka berada. 'Keakraban' mereka sehingga mereka menerima Anugerah Pasangan Paling Romantik di kalangan jemaah Zahafiz.

Prof Mahmud

Bagi saya, masa haji adalah masa yang terbaik untuk kita ber'honeymoon'. Inilah masanya untuk merapatkan segala yang 'renggang'. Inilah masa terbaik untuk melupakan segala kesalahan pasangan kita.

Semoga, kebahagian suami isteri yang dikecapi akan terus berkekalan sehinggalah ke syurga Firdaus nanti. Amin.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
Travelog Haji © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top